web statsweb stats

Berita Terkini

10 jam yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Tekanan Kewangan Atau Penjimatan? Implikasi Pembayaran Bersama Insurans Perubatan

Tekanan di hospital awam semakin meruncing dan semakin ramai rakyat Malaysia beralih ke pekhidmatan perubatan swasta.

Kolum Dikemaskini 2 bulan yang lalu ยท Diterbitkan pada 12 Jul 2024 8:17AM

Keadaan hospital awam yang sentiasa sesak menyebabkan orang ramai mula beralih ke hospital swasta, - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Baru-baru ini Bank Negara Malaysia (BNM) mewajibkan pengenalan ciri pembayaran bersama dalam polisi insurans perubatan mulai 1 September 2024.

Keputusan ini dibuat di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai tekanan di hospital awam yang semakin meruncing dan peralihan semakin ramai rakyat Malaysia ke pekhidmatan perubatan swasta.

Laporan terkini di dalam media menyerlahkan kesesakan di hospital awam di seluruh negara.

Pesakit melaporkan waktu menunggu berlanjutan sehingga 24 jam di jabatan kecemasan untuk kemasukan, dengan beberapa wad pesakit terpaksa masa menunggu dua hingga lima hari untuk katil hospital.

Kelewatan lanjutan ini tidak terhad kepada penjagaan kecemasan; temu janji dengan pakar di hospital awam selalunya melibatkan tempoh menunggu berlarutan berbulan-bulan lamanya.

Akibatnya, semakin ramai rakyat Malaysia beralih kepada insurans perubatan swasta. Trend ini didorong oleh tempoh temujanji yang lebih pendek, keupayaan untuk memilih doktor yang merawat dan persepsi perkhidmatan yang lebih baik di kemudahan swasta.

Ramai majikan juga mula menawarkan insurans kesihatan swasta sebagai sebahagian daripada pakej faedah mereka, seterusnya menyemarakkan peralihan ini.

Berlatarbelakangkan inilah BNM memperkenalkan mandat pembayaran bersama. Di bawah peraturan baharu itu, syarikat insurans wajib menawarkan polisi di mana pemegang polisi membayar lima peratus daripada jumlah yang boleh dituntut atau RM500 sebelum perlindungan insurans mereka membayarkan bakinya.

BNM berhujah langkah ini boleh menggalakkan pengurangan harga premium perubatan yang ditwarkan syarikat insuran dan takaful.

Ia berpotensi mengurangkan kos premium sebanyak 19 peratus hingga 68 peratus berbanding polisi tanpa pembayaran bersama.

BNM juga percaya ia akan menggalakkan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih bertanggungjawab dalam kalangan pemegang polisi dan membantu mengekang tuntutan berunsur penipuan.

Penyokong sistem pembayaran bersama telah mengenal pasti beberapa manfaat yang berpotensi. Mereka berpendapat ia boleh membendung kos perubatan yang semakin meningkat dengan mengurangkan prosedur perubatan yang tidak perlu dan penggunaan perkhidmatan perubatan yang berlebihan.

Terdapat juga harapan bahawa ia akan meningkatkan kesedaran pesakit tentang kos penjagaan kesihatan, yang membawa kepada keputusan berkaitan rawatan perubatan yang lebih termaklum.

Bagaimanapun, bukan semua pihak bersetuju dengan langkah terbaru ini. Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyuarakan kebimbangan bahawa pembayaran bersama boleh menimbulkan tekanan kewangan tambahan kepada pesakit, terutama mereka daripada kumpulan berpendapatan rendah.

Terdapat kebimbangan bahawa sesetengah individu mungkin menangguhkan mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan kerana bimbangkan perbelanjaan yang perlu ditanggung sendiri.

Langkah ini juga bakal memberikan implikasi yang besar kepada pembekal perkhidmatan perubatan swasta. Hospital mungkin perlu menyesuaikan diri dengan perubahan tingkah laku pesakit yang lebih sensitif dengan harga rawatan yang mereka terima.

Mungkin terdapat tekanan yang semakin meningkat untuk mendapatkan maklumat harga yang lebih telus dan terperinci. Untuk kekal berdaya saing, pembekal mungkin perlu meningkatkan kecekapan operasi tanpa menjejaskan kualiti penjagaan yang diberikan.

Bagi industri insurans dan takaful, mandat pembayaran bersama akan menjadi pencetus kepada satu gelombang perubahan yang besar.  

Penanggung insurans perlu merekabentuk semula produk mereka, melaraskan premium dan menyesuaikan sistem pemprosesan tuntutan mereka.

Terdapat juga keperluan mendesak untuk pendidikan pelanggan yang meluas untuk menerangkan sistem baharu ini dan implikasinya kepada pemegang polisi.

Penggubal dasar menghadapi cabaran untuk mencapai keseimbangan antara memastikan kemampanan sistem penjagaan kesihatan dan mengekalkan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti untuk semua rakyat Malaysia.

Cadangan untuk menangani cabaran ini termasuk melaksanakan sistem pembayaran bersama berperingkat berdasarkan tahap pendapatan, melancarkan inisiatif pendidikan awam yang komprehensif, dan mewujudkan mekanisme yang mantap untuk memantau kesan pembayaran bersama terhadap penggunaan dan hasil penjagaan kesihatan.

Ketika Malaysia memulakan lembaran baharu dalam pembiayaan penjagaan kesihatan ini, kejayaan sistem pembayaran bersama bergantung pada sejauh mana ia dapat mengimbangi keperluan pesakit, penanggung insurans dan penyedia penjagaan kesihatan.

Ia memerlukan dialog berterusan, pemantauan yang teliti dan kesediaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa yang sentiasa berubah dalam masa yang singkat.

Apabila tarikh pelaksanaan 1 September semakin hampir, ramai akan memerhatikan bagaimana perubahan ketara ini memberi kesan kepada landskap penjagaan kesihatan di Malaysia.

Harapannya ialah ia akan membawa kepada sistem yang lebih mampan dan cekap, tetapi hanya masa yang akan menentukan sama ada faedah dapat mengatasi cabaran yang bakal dihadapi. – Getaran, 12 Julai 2024

 

Berita Berkaitan

1

Ekonomi 6 bulan yang lalu

Malaysia Merekodkan 11.5 Bilion Transaksi E-Pembayaran Pada 2023

2

Ekonomi 6 bulan yang lalu

BNM Fokus Tingkatkan Kekukuhan Ekosistem Kewangan Islam Tahun Ini

3

Ekonomi 6 bulan yang lalu

BNM Pastikan Pendirian Dasar Monetari Kekal Kondusif Untuk Pertumbuhan Mampan Ekonomi Negara

4

Ekonomi 6 bulan yang lalu

Google Sekali Lagi Siar Data Kadar Pertukaran Asing Ringgit Tidak Tepat - BNM

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara