KUALA LUMPUR - Tindakan pemimpin UMNO menolak cadangan Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim agar debat diadakan antara calon Ketua Menteri (KM) Melaka membuktikan parti tersebut masih mengamalkan ‘prinsip’ pemikiran sempit dengan cara politik lama yang tidak relevan.
Seharusnya, ahli politik dari parti utama dalam Barisan Nasional (BN) itu tidak mengelak dengan memberikan pelbagai alasan, kerana tindakan berkenaan dilihat sebagai satu penghinaan buat rakyat yang sudah boleh berfikir secara matang dan terbuka.
Perkara itu turut disuarakan oleh Penganalisis Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff yang berpendapat, penolakan cadangan tersebut menunjukkan Malaysia kehausan pemimpin berani dan mempunyai idea bagi berhadapan secara langsung bersama rakyat.
“Kita amat memerlukan ahli politik yang berwawasan dan bertaraf dunia. Dalam keterbatasan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), debat ini perlu diadakan namun calon KM Melaka dari BN menolak cadangan pengerusi PH agar debat diadakan di antara calon KM. Alasannya kerana mahu tumpukan masa pada kempen pilihan raya.
“Kenapa tolak bila diajak berdebat sedangkan ini juga adalah untuk berkempen? Apakah takut atau tidak mampu? Sepatutnya, jika ada wawasan, idea, prinsip, fakta, kebijaksanaan, falsafah serta nilai perjuangan yang baik, terima sahaja pelawaan debat itu,” katanya hari ini.
Kelmarin, Anwar mencadangkan satu debat terbuka dianjurkan antara calon ketua menteri daripada PH, BN dan Perikatan Nasional (PN) yang disiarkan menerusi saluran televisyen dan radio rasmi kerajaan.
Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, cadangan berkenaan wajar diberi perhatian kerana ia mampu mengangkat imej Malaysia di mata dunia sebagai pengamal demokrasi yang matang.
Namun, Ketua Menteri sementara Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menolak cadangan terbabit dan memberi alasan, beliau lebih berminat untuk memberi tumpuan kepada kempen PRN, yang hanya berbaki tujuh hari.
Mengulas lanjut Mohammad Agus menegaskan, debat merupakan satu platform terbaik bagi pemimpin membentangkan hala tuju pemerintahan dan janji politik sekiranya menang pada pilihan raya di negeri berkenaan.
Sehubungan itu, beliau yang juga merupakan Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, UKM berkata, pemimpin BN perlu menerima perubahan landskap politik di negara ini sepertimana diinginkan rakyat dan harus bersedia tampil berdebat secara terbuka demi kepentingan semua.
“Debat bagus untuk pemimpin menunjukkan kebolehan, kecerdikan dan kesesuaian memikul tugas sebagai KM tetapi di Malaysia, setiap kali debat dicadangkan, akan ada sahaja calonnya yang menolak. Akan ada sahaja yang mengatakan debat bukan budaya politik kita.
“Di negara demokrasi matang, debat calon presiden atau perdana menteri diadakan setiap kali pilihan raya berlangsung. Tujuannya untuk membolehkan calon menunjukkan pengetahuan dan keupayaan inteleknya memimpin negara,”katanya.
Terdahulu, kerajaan sedang mempertimbangkan ruang untuk semua calon PRN Melaka berkempen menerusi saluran media rasmi kerajaan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, perincian perkara berkenaan masih dalam perbincangan bersama pihak berkaitan terutama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Jelasnya, beliau memahami kesulitan dialami semua parti politik terutama calon baharu ketika berkempen dalam norma baharu apabila perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Sebelum ini, jawatankuasa Komunikasi, Digital dan Multimedia PH memohon sekurang-kurangnya 30 minit bagi setiap parti berceramah di TV1, TV2, dan Bernama TV pada setiap malam serta 60 minit ke udara di Melaka FM dan Bernama Radio pada setiap hari. - Getaran, 13 November 2021.