KUALA LUMPUR- Mantan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dijangka memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan berlangsung 13 hingga 18 Mei depan.
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, Dr Ilyas Abdullah berkata, aura dimiliki Rafizi adalah antara faktor penyumbang yang mampu memberi kemenangan kepada beliau, sekali gus mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH).
"Karisma dimiliki Rafizi selama ini banyak membantu PKR dan PH menggoyah keyakinan rakyat terhadap UMNO serta Barisan Nasional (BN), khususnya apabila pendedahan mengenai kepincangan kerajaan terdahulu dibuat.
"Rafizi juga mempunyai kekuatan kerana berada di barisan kelompok muda dalam PKR bersama Nurul Izzah. Rafizi sememangnya mempunyai pengaruh yang cukup kuat," katanya kepada Getaran, hari ini.
Rafizi bakal berentap bersama Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam merebut jawatan kedua tertinggi parti diasaskan pada tahun 1998 itu.
Menurut Ilyas, masih ramai dalam kalangan ahli politik pembangkang yang amat menantikan kedatangan mantan Naib Presiden PKR itu walaupun Rafizi dengan berani menolak strategi khemah besar seperti dirancangkan pimpinan tertinggi PH.
Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran Dan Pengajian Polisi UiTM Pahang, Kampus Raub itu berkata, pemilihan PKR ketika ini dilaksanakan dalam keadaan PH terumbang-ambing dan berusaha meraih semula sokongan rakyat.
"Strategi khemah besar yang sering dicanang oleh pimpinan tertinggi PH nampaknya kurang mendapat sokongan daripada akar umbi kerana gabungan itu dan PKR seolah-olah mahu kembali menerima pihak yang pernah mengkhianati mereka sebelum ini.
"Justeru, pemilihan kali ini dilihat mampu membuka peluang terbaik kepada Rafizi untuk kembali berada dalam saf kepimpinan tertinggi PKR," katanya.
Ditanya berkenaan kekuatan yang dimiliki Saifuddin, Ilyas menjelaskan bahawa Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu sememangnya mendapat sokongan penuh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Bagaimanapun, suara akar umbi tidak boleh dipandang sepi kerana PKR dan PH telah mengalami kekalahan berturut-turut dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Strategi khemah besar yang cuba diusahakan walaupun belum ada tanda-tanda ia berlaku, menjadikan seolah-olah pimpinan PKR sudah mati akal untuk mendapatkan kembali sokongan akar umbi," katanya.
Tegasnya, perpecahan dalaman PKR khususnya selepas pemilihan perlu dielakkan jika parti itu mahu berada di landasan tepat demi mendapatkan kembali sokongan masyarakat.
"Meskipun UMNO-BN menang dalam beberapa siri pilihan raya, namun sokongan rakyat di peti undi tidak banyak berubah.
"PKR harus menjadi parti utama yang menggerakkan PH dan perlu menumpukan usaha untuk mendapatkan sokongan darpada pengundi atas pagar," katanya.
Pencalonan pemilihan PKR 2022 bermula semalam hingga esok membabitkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara.
Ia akan dilaksanakan secara dalam talian sekali gus menandakan kempen pemilihan dimulakan secara rasmi.
Bagaimanapun pusat pencalonan secara fizikal akan dibuka sepanjang tempoh berkenaan bagi membantu anggota yang ingin mencalonkan diri mereka melalui aplikasi ADIL.
Bagi pencalonan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), ia akan dilaksanakan 11 April di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya.
Bagi Sabah dan Sarawak, calon boleh hadir ke pusat pencalonan disediakan di dua negeri itu.
Selepas selesai proses pencalonan, senarai calon akan dipaparkan di aplikasi dan laman sesawang ADIL sebelum tempoh bantahan dibuka selama dua hari iaitu pada 13 dan 14 April.
Ia diikuti pemakluman bantahan pada 15 April, manakala tempoh rayuan bermula 16 hingga 18 April sebelum senarai muktamad calon dipamerkan pada 19 April.
Bagi proses pengundian pula, ia akan dilaksanakan secara hibrid iaitu pada 13 hingga 17 Mei secara fizikal dan 18 hingga 20 Mei secara dalam talian.
Pengundian secara fizikal akan dilaksanakan di pusat pengundian yang disediakan di cabang masing-masing, dengan satu cabang membuka sekurang-kurangnya satu pusat pengundian, tertakluk permintaan Majlis Pimpinan Negeri (MPN). - Getaran, 9 April 2022.