Raja pop, Datuk Jamal Abdillah teruja menunggu detik menimang puterinya yang bakal dilahirkan mengikut kaedah pembedahan minggu hadapan.
Anak keempatnya bersama-sama Datin Zai Izzati Khiruddin itu dijangka bakal dilahirkan pada 14 April atas saranan dan nasihat pihak doktor.
“Kalau diikutkan kami mahu bayi dilahirkan pada 1 April kerana ia tarikh ulang tahun perkahwinan kami.
“Namun doktor menasihati tarikh itu terlalu awal untuk bayi dan mereka memberikan tarikh 14 April ini.
“Minggu itu pula saya agak sibuk menyiapkan projek dan beberapa persembahan, jadi banyak situasi yang akan saya tempuh Ramadan ini,” katanya ketika ditemui Getaran di majlis berbuka puasa dan pelancaran lagu 'Rindu di Hari Lebaran', semalam.
Sebelum ini, Jamal pernah membuka peluang kepada para peminatnya untuk memberikan cadangan nama buat puteri yang bakal dilahirkan itu di laman sosial.
Mengakui menerima banyak cadangan nama, namun Jamal akhirnya memutuskan untuk memberikan sendiri nama kepada anaknya kerana ia lebih singkat tapi bermakna.
“Nama yang dicadangkan peminat sedap juga, tapi nama yang saya cari sendiri lebih bermakna kerana ia ada kena mengena dengan ibu nabi Yusuf dan juga air mata syurga.
“Cuma bila saya sudah pegang dan iqamat di telinga anak saya, baru saya akan kongsikan namanya kepada umum,” tambahnya.
Bakal menyambut lebaran dalam keadaan isteri yang sibuk berpantang, pelantun lagu 'Perjalananku' itu mengakui tidak dapat bertandang lebih kerap ke rumah saudara-mara dan bakal meraikan Aidilfitri dalam keadaan yang serba sederhana.
“Tahun ini kami menyambut lebaran secara sederhana kerana keriuhan anak-anak sebenarnya lagi susah nak dijaga. Mereka tak boleh duduk diam.
“Raya ini saya akan bawa isteri berpantang di luar kawasan. Boleh dikatakan serampang dua mata juga kerana selain menguruskannya waktu dia dalam pantang, saya juga akan tengok projek yang sedang saya usahakan. Hari ini dia bersalin, esok tu saya ada kerja di Kuantan,” tambahnya.
Hasil perkahwinannya dengan Zai Izzati, Jamal sebelum ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nur Azura Yamani, 3, El Isaac Yamani, 3, dan Iskandar Rayyan Yamani, 1.
Jamal juga mempunyai dua lagi anak lelaki daripada hasil perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani bersama Intan Noraina Mohd Yusof dan Zaki Yamani dengan Fatimahuzahra.
Terkini, Jamal tampil dengan lagu raya terbaharu hasil ciptaan S. Atan dan lirik oleh Siso berjudul ‘Rindu di Hari Lebaran’.
Lagu tersebut menceritakan perasaan rindu anak rantau yang pulang ke kampung dan terkenang memori silamnya bersama-sama kawan yang sudah lama menghilang. Lagu terbitan FMC Music itu boleh didengari di YouTube dan semua platform muzik. - Getaran, 5 April 2023