Rotary Club of Ara Damansara (RCAD) baru-baru ini memperkenalkan anugerah istimewa untuk seorang penyanyi serta penulis lagu lagenda, Datuk Irwan Shah, atau lebih dikenali sebagai DJ Dave, bagi mengiktiraf kepimpinan cemerlang beliau dalam mempromosikan agenda perpaduan negara.
Anugerah yang dikenali sebagai RCAD Award for Unity itu dianugerahkan kepada DJ Dave atas sumbangannya dalam satu projek yang diilham serta diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah iaitu lagu patriotik bertajuk Setia Perpaduan.
Selain itu, lagu Setia Perpaduan juga dianggap istimewa kerana ia dinyanyikan oleh 13 artis dalam pelbagai bahasa dan dialek bagi memaparkan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum serta bangsa.
Presiden RCAD, David Cheah Yik Qin berkata, DJ Dave akan menerima anugerah itu pada Majlis Makan Malam RCAD Kali Ke-7 yang berlangsung pada 20 Januari depan. DJ Dave juga bakal menerima hadiah wang tunai RM10,000.
Menurut Cheah lagi, anugerah itu amat wajar kerana sumbangannya dalam memupuk perpaduan, integriti negara dan keharmonian sosial di Malaysia, sekali gus mencerminkan keperibadian serta kesatuan masyarakat majmuk di Malaysia.
Cheah berkata, DJ Dave tidak hanya mencipta lagu terbabit tetapi turut mendendangkannya bersama lain-lain rakan artis dan bekerjasama dengan pemuzik terkemuka bagi menyokong hasrat Yang di-Pertuan Agong berkenaan.
“Di bawah pimpinannya, kita kini mempunyai lagu patriotik Setia Perpaduan dengan gabungan lirik oleh sasterawan negara, Prof Madya Dr Lim Swee Tin dan gubahan muzik oleh Datuk S.
Atan,” katanya.
Barisan penyanyi yang sukarela menyumbangkan suara mereka adalah Datuk Awie, Marsha, Suki Low, Jaclyn Victor, Sabhi Saddi, Asad Motawh, Melissa Francis, Bob Yusof, Sissy Iman, Iesya Toh, Hacharan Singh dan Cikgu Asani.
Justeru, Cheah percaya bahawa anugerah ini akan membantu membangkitkan perpaduan negara dan seterusnya memberi harapan kepada Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang lebih baik kepada rakyatnya.
“Ianya sesuai dengan tema Rotary International iaitu ‘Create Hope In the World’,” ujar Cheah.
Sementara itu, DJ Dave melahirkan rasa syukur atas anugerah berkenaan. Ini kerana, beliau percaya bahawa muzik dan sukan berperanan besar dalam menyatupadukan masyarakat, menghentikan kebencian serta mewujudkan negara yang aman dan makmur.
“Saya berbesar hati dan terkejut menerima anugerah berharga daripada RCAD ini dan saya berharap ini akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk hidup dalam semangat muhibbah sebagai rakyat Malaysia sejati.
“Sebagai seorang rakyat Malaysia yang bersederhana dan cakna, saya akan mendermakan wang daripada anugerah ini kepada pelbagai badan kebajikan sebagai tanda perpaduan negara,” ujar beliau.
Mengimbas kembali proses pembikinan lagu itu, DJ Dave memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan mencipta sebuah lagu patriotik untuk menyatupadukan semua rakyat Malaysia pada bulan Ogos tahun lalu.
“Yang di-Pertuan Agong perkenan gunakan istilah klasik berusia 36 tahun ‘Setia’ (loyal atau loyalty) yang diraikan sebagai lagu kebangsaan kedua, bagi menggalakkan masyarakat untuk meninggalkan ketidaksetaraan dan menerima satu sama lain sebagai satu kesatuan.
“Tuanku bertitah supaya nyanyian lagu itu dimulakan dengan bahasa Melayu, kemudian didendangkan oleh lain-lain penyanyi dalam dialek masing-masing bagi mewakili setiap kumpulan etnik utama di Malaysia,” ujar DJ Dave lagi.
Lagu patriotik Setia Perpaduan itu akhirnya menjadi lagu tema sambutan Minggu Perpaduan Negara, yang dilancarkan oleh Al-Sultan Abdullah di Kuching pada Mei lalu. – Getaran, 18 Oktober 2023