Pelakon Yana Samsudin selamat melahirkan bayi lelaki beberapa hari lalu dan kini sedang menjalani tempoh berpantang di sebuah pusat rawatan persendirian.
Menerusi satu hantaran di akaun Instagramnya pada Khamis, Yana meluahkan rasa syukur kerana selamat melahirkan anak ketiganya biarpun sebelum ini melalui masalah hormon yang tidak stabil.
“Alhamdulillah syukur, akhirnya baby boy selamat dilahirkan selepas hormon dah kacau bilau sebelum ini.
“Selepas empat hari berada di hospital hari tu tekanan darah masih tak stabil dari 140 sampai ke 170,” katanya.
Bagaimanapun, jelas Yana dia berasa agak pelik apabila Fadzil Zahari bertegas mahu membawanya keluar dari hospital.
“Suami buat keputusan untuk minta keluar juga dari hospital lepas bersalin walaupun tekanan darah tinggi. Alhamdulillah hari ke 5 doktor bagi yana keluar dari hospital,” kongsi Yana.
Rupa-rupanya Fadzil melakukan kejutan dengan membawa dirinya ke sebuah pusat penjagaan untuk ibu-ibu yang sedang berpantang.
“Ketika masuk ke dalam kereta, Yana cakap baju baby tak beli lagi, baru ada dua set. Itupun mana yang sempat, dia pergi beli masa Yana bersalin dan cari di kedai-kedai berhampiran hospital.
“Nak beli kelengkapan lain pun, dia kata tak perlu. Rupanya suami buat surprise! Dia bawak Yana ke @klcpostnatalcare. Tak terfikir yana akan berpantang di sini.
“Apa alasan dia hantar kat sini? Sebab dia nak ubah persekitaran Yana. Dari pemandangan hospital, dia mahu Yana selesa macam lepak rumah santai tengok movie jer. Ada jururawat jaga 24 jam untuk ibu dan anak, makan pakai semua ada dan tak perlu fikir apa-apa lagi,” kongsi Yana dengan menyertakan beberapa emoji ceria.
Sebelum ini, Yana terpaksa dikejarkan ke hospital dan disahkan menghidap ‘praeklampsia’ yang berpunca daripada tekanan.
Pasangan ini mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan sejak 2015 lalu iaitu, Aisy Mateen, 8, dan Aura Aisy Sofea, 4 tahun. – Getaran, 13 Januari 2024