ANKARA – Selebriti di Festival Filem Cannes ke-77 di Perancis menunjukkan solidariti dengan Palestin pada Sabtu dengan menggunakan bendera Palestin dan motif tembikai pada pakaian mereka, lapor Agensi Anadolu.
Personaliti terkenal dunia yang menghadiri festival filem dari 14 hingga 25 Mei itu secara halus menyampaikan sokongan kepada Palestin melalui pakaian dan aksesori mereka semasa melangkah di karpet merah.
Model terkenal Amerika yang berdarah Palestin, Bella Hadid, menarik perhatian dengan gaun merahnya yang direka menggunakan keffiyeh.
Hadid, yang telah menyatakan sokongan untuk Palestin berulang kali, mendapat pujian di media sosial kerana menunjukkan solidaritinya dengan Palestin melalui gaun yang diinspirasikan oleh keffiyeh.
Pelakon pemenang Oscar, Cate Blanchett yang menghadiri festival itu, menjadi topik sohor kini di media sosial dengan pakaian yang mengingatkan pada bendera Palestin.
Blanchett, yang sebelum ini meminta gencatan senjata di Semenanjung Gaza, menarik perhatian apabila gabungan depan hitam dan belakang merah jambu serta hijau pada gaunnya, yang bersatu dengan karpet merah, mengingatkan bendera Palestin.
Pengguna media sosial memuji cara bijak Blanchett menunjukkan solidariti dengan gaunnya.
Sementara itu, pelakon British Pascale Kann mengenakan pakaian dengan tulisan Arab yang berbunyi Palestin bila dibaca dan pelakon India Kani Kusruti menghadiri tayangan perdana filemnya di festival itu dengan beg berbentuk sepotong tembikai.
Pelakon Perancis berdarah Algeria, Leila Bekhti, memakai kerongsang bermotif tembikai, simbol solidariti dengan Palestin.
Kerongsang di kolar gaun hitamnya semasa berjalan di karpet merah sepanjang 60 meter sebelum tayangan filemnya menerima pujian di media sosial.
Pelakon Itali Jasmine Trinca menunjukkan sokongannya dengan memakai kerongsang bermotif bendera Palestin, manakala pelakon Australia Guy Pearce memakai gelang yang terdiri daripada warna-warna bendera Palestin.
Pengarah Maghribi, Asmae El Moudir, bergambar untuk wartawan dengan menunjukkan bendera Palestin yang dijahit pada sarung tangannya. – BERNAMA-ANADOLU