KUALA LUMPUR - Antara tanggapan salah yang sering membelenggu ‘Rukun Negara’ adalah ejaan digunakan.
Ejaan sebenar falsafah nasional yang lahir untuk memupuk perpaduan rakyat itu adalah seperti berikut, ‘Rukunegara.’
“Ia adalah satu perkataan. Bukan ‘Rukun Negara’, tetapi ‘Rukunegara’,” jelas penulis buku ‘Rukunegara: A Brief Introduction’, Eddin Khoo dalam temu bual bersama Getaran.
“Sampai hari ini, istillah Rukunegara itu pun tidak kita hormati. Kita tidak ingat pun bahawa perkataan itu telah diangkat darjatnya sebagai satu (kata) nama khas,” tambahnya.
Pengetahuan Eddin yang arif tentang ‘Rukunegara’ bukanlah memeranjatkan.
Ayahnya, mendiang Tan Sri Professor Emeritus Dr. Khoo Kay Khim merupakan antara tokoh ilmuan yang cekal dan rajin turun padang bagi berbicara dan berkempen tentang Rukunegara, selepas falsafah itu diwartakan pada 31 Ogos 1970.
“Pada hujung minggu, sayalah satu-satunya peneman mendiang ayah merentas negeri ke pelbagai daerah untuk berbicara (tentang Rukunegara) kepada murid sekolah, pegawai kerajaan malah kadangkala kepada polis,” kata Eddin, mengimbas kembali kenangan penuh bermakna itu.
Sejarah kelahiran Rukunegara bermula dengan sebuah insiden tragis, berlatarbelakangkan tragedi berdarah rusuhan kaum 13 Mei 1969, yang berlaku tiga hari selepas Malaysia mengadakan Pilihan Raya Umum ketiga.
Rentetan detik hitam itu, perintah darurat diisytiharkan tiga hari selepas rusuhan berkenaan terjadi, sekali gus menyebabkan Parlimen terpaksa digantung.
Malaysia pada ketika tu ditadbir sepenuhnya oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai Tun Abdul Razak Hussein sehingga tahun 1971.
“Sebenarnya orang Malaysia sendiri terkejut dan gempar dengan kejadian itu,” ujar Eddin.
Setelah MAGERAN berjaya mententeramkan keadaan, Majlis Perundingan Negara (MAPEN) ditubuhkan pada 6 Oktober 1969 dan diberi tanggungjawab untuk menangani pelbagai isu berkaitan perpaduan nasional.
Ia membawa kepada penubuhan ahli jawatankuasa Rukunegara yang dipengerusikan Presiden MCA ketiga, Tun Tan Siew Sin pada 4 Mac 1970, seperti diumumkan Pengerusi MAPEN, Tun Abdul Razak.
Enam bulan selepas itu, kerangka Rukunegara akhirnya diluluskan oleh MAPEN pada 13 Ogos 1970.
Kelima-lima prinsipnya dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidi bersempena dengan Hari Kemerdekaan ke-13 pada 31 Ogos 1970.
“Kerajaan Beta dengan nasihat dan kerjasama MAPEN telah menggubal beberapa prinsip untuk menjadi panduan bagi kita dalam segala urusan kita dalam bidang ekonomi, sosial dan politik.
“Pada hari mulia ini Beta dengan sukacitanya mengisytiharkan prinsip-prinsip itu sebagai Rukunegara bagi sekalian,” titah Seri Paduka Baginda, seperti dipetik dokumen yang diperoleh dari Arkib Negara Malaysia.
Kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan adalah lima prinsip digariskan menerusi Rukunegara itu.
Meskipun semua prinsip ini telah dimartabatkan sebagai tonggak perpaduan negara, Eddin berpendapat, nilai tersebut semakin luput dan kurang dipupuk mutakhir ini.
Pada Eddin, perbincangan dan perdebatan tentang Rukunegara tidaklah serancak berbanding dengan perbahasan mengenai falsafah Pancasila yang mendokong perpaduan pelbagai kaum di Indonesia.
“Tidak ada usaha sebenarnya untuk memberi nyawa baharu kepada Rukunegara yang bagi saya masih lagi relevan.
“Ia masih mempunyai gemanya yang harus didengari serta ditangani oleh rakyat kita dan bagi saya buat masa ini, kita hanya sekadar memberi Rukunegara satu restuan yang agak formal, itu sahaja,” katanya, mengakhiri perbualan. – Getaran, 22 Ogos 2021.