KUALA LUMPUR - Percubaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk menamatkan pemberontakan bersenjata yang masih utuh membelenggu negara berlangsung dalam masa enam bulan selepas putera raja Kedah itu dilantik menjadi Menteri Besar Malaya pada tanggal 1 Ogos 1955.
Tunku bersungguh-sungguh dan berkobar-kobar mahu bersemuka dengan barisan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang enggan meletakan senjata, meskipun Perang Dunia Kedua telah berakhir dan Tentera Jepun sudah berundur dari Malaya.
Namun, pihak British yang masih menjajah Malaya ketika itu tidak bersetuju dengan keputusan Tunku mahu bertemu dengan PKM di Sekolah Inggeris Baling, Kedah, kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Tunku Putra.
“British tidak setuju dengan rundingan di Baling itu,” tegas mantan ketua polis negara (KPN) keempat, Tun Mohammed Hanif Omar dalam satu temu bual bersama Getaran baru-baru ini.
“Mereka takut Tunku bersetuju dengan sebarang cadangan yang akan dikemukakan oleh PKM. Tapi Tunku nak pergi juga. Beliau sudah menang Pilihan Raya Umum 1955 dan dah jadi Menteri Besar Malaya.
“Orang Putih (British) ingat Tunku lemah, dari segi pemikiran apa semua. Mereka takut beliau dipermainkan oleh Chin Peng. Tapi Tunku nak pergi juga (ke Rundingan Baling),” jelas Hanif.
Sangkaan British terhadap keperibadian Tunku ternyata meleset, apabila beliau berkeras mahu PKM meletakan senjata dan membubarkan pertubuhan yang memulakan gerakan bersenjata mereka sehingga darurat terpaksa diisytiharkan pada tahun 1948.
“Tunku kata dekat Ching Peng, serah diri dan aku akan bagi pengampunan. Tapi Ching Peng tak mahu serah diri. Jadi rundingan itu gagal,” ujar Hanif.
Sikap Tunku yang enggan berlembut dengan pihak komunis jelas beliau, meskipun terpaksa menggadaikan peluang untuk mencapai keamanan melalui rundingan bukanlah satu pendirian yang memeranjatkan.
“Tunku sensitif terhadap kehendak rakyat. Majoriti Orang Melayu tak boleh terima komunis.
“Tunku punya sokongan politik adalah daripada kalangan Orang Melayu dan Orang Melayu berkeras pada masa itu,” tambahnya.
Menurut Hanif, 9,914 pengganas komunis telah berjaya dihapuskan sehingga 1954, manakala 4,034 anggota keselamatan mengalami kecederaan atau terbunuh,
Orang awam turut tidak terlepas daripada menjadi mangsa kekejaman pengganas PKM, apabila 4,393 individu diculik dan dibunuh.
Kegagalan Rundingan Baling menyebabkan Malaya terpaksa meneruskan peperangannya dengan PKM yang terkenal dengan taktik perang gerila, dan ia berlarutan sehingga penghujung 80an.
Antara serangan yang dilancarkan oleh PKM selepas negara mencapai kemerdekaan adalah pengeboman 63 buah jentolak Jabatan Kerja Raya pada 23 Mei 1974 semasa pembinaan Lebuh Raya Timur-Barat (Gerik-Jeli).
Malah, konflik bersenjata dengan PKM itu menjadi kian sengit sehingga perintah darurat terpaksa diisytiharkan buat kali kedua pada 1968 sehingga 1989, yang membawa kepada termeterainya Perjanjian Perdamaian antara kedua-dua pihak.
Perkara itu disahkan mantan KPN kelima, Tan Sri Abdul Rahim Noor yang terbabit secara langsung dalam rundingan berkenaan.
Menurut beliau, pasukannya membuat keputusan untuk berunding dengan PKM, setelah mendapat maklumat risikan bahawa Parti Komunis China tidak akan menghalang sebarang usaha damai oleh Malaysia bersama pengganas bersenjata itu.
“Pada masa itu saya merupakan Pengarah Cawangan Khas yang mengetuai pihak Malaysia dalam rundingan perdamaian berkenaan.
“Saya masih ingat lagi intipati lima siri perundingan yang berlaku sepanjang tahun 1988 hingga 1989,” katanya, mengimbas kembali peristiwa bersejarah itu.
Menurut, Abdul Rahim, Chin Peng ataupun nama sebenarnya, Ong Boon Hua, hanya memunculkan diri setelah kesemua perincian dan syarat perjanjian ditandatangani di Hat Yai pada 2 Disember tahun itu.
“Itulah kali pertama saya jumpa Chin Peng. Saya tanya dia, ‘apa sebab, awak mulakan pemberontakan (pada tahun 1948) tu? Dia jawab, ‘kami yakin kami boleh menang.’
“Dia menganggap, masanya sesuai untuk memberontak, untuk mengangkat senjata pada tahun 1948 itu,” tegasnya.
Rentetan daripada termeterainya perjanjian itu jelas Abdul Rahim, PKM yang diasaskan pada tahun 1930 dibubarkan.
“Pihak PKM sendiri mengisytiharkannya selepas menandatangani perjanjian itu.
“Mereka yang tidak mahu pulang, dibenarkan mendiami sebuah perkampungan yang dibina untuk mereka di Selatan Thailand, manakala jika mahu balik, harus bersumpah untuk taat setia kepada negara. Tiada tangkapan akan dibuat terhadap mereka. Kalau tidak ada IC, mereka boleh memohon.
“The past is the past (yang lepas biarkan berlalu),” ujarnya. - Getaran, 25 Ogos 2021.