KUALA LUMPUR - Orang ramai berpeluang mengunjungi Muzium Negara secara percuma bermula hari ini sehingga 8 Oktober ini sempena pembukaan semula, selepas peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Selepas hampir setahun setengah ditutup dan beroperasi secara 'on off', lokasi pelancongan negara itu kini dibuka sepenuhnya.
Pengarah Muzium Negara, Zamrul Amri Zakaria berkata, tawaran tiket percuma ini adalah antara cara menarik kehadiran orang ramai.
Menurut beliau, 10 pengunjung pertama hari ini diberikan hadiah misteri manakala 2,000 pengunjung pertama akan diberikan minuman percuma.
“Pihak Muzium Negara akan mengadakan banyak lagi program menarik untuk pengunjung sehingga penghujung tahun ini,” katanya semasa ditemui di Muzium Negara pada hari ini.
Zamrul Amri berkata, sejumlah petugas muzium sudah diarahkan untuk memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pengunjung bagi mengelak sebarang risiko penularan COVID-19.
"Sejumlah kakitangan muzium akan berperanan sebagai pengawal pemerhati untuk memantau pematuhan SOP pengunjung kerana kita tidak mahu berlaku jangkitan.
"Hanya pengunjung yang sudah melengkapkan dos vaksin masing-masing sahaja dibenarkan masuk, dengan pengecualian untuk kanak-kanak di bawah usia 17 tahun yang diiringi ibu bapa atau penjaga mereka," katanya.
Beliau berkata, setiap sesi lawatan akan dibuka selama sejam, terhad untuk 60 pengunjung sahaja.
Tinjauan Getaran dapati, pembukaan semula Muzium Negara itu mendapat sambutan baik daripada orang ramai.
Mohd Irfan Hanafi, 42 seorang pekerja sektor swasta yang hadir bersama keluarganya berkata, dia gembira dengan pembukaan semula premis pelancongan utama negara itu.
“Saya amat teruja dengan pengumuman pembukaan semula Muzium Negara kita, dan saya rasa sepatutnya premis ini harus dibuka semula sebelum pembukaan pawagam.
“Ini kerana, muzium merupakan antara medium yang mengajar anak kita tentang sejarah negara selain di sekolah,” katanya.
Jelas Irfan lagi, kunjungan ke Muzium Negara bersama keluarga mampu memberi pendedahan tentang sejarah negara kepada anaknya yang kini berusia 12 tahun.
“Saya amat risau tentang pendidikan anak saya dengan keadaan sekolah semua yang masih ditutup dan tidak pasti bila akan dibuka sepenuhnya.
“Dengan datang ke muzium seperti ini, diharapkan anak saya sedikit sebanyak mendapat pendedahan tentang sejarah negara kita, dan semoga ia boleh memberi inspirasi kepada anak saya untuk lebih menyayangi negara,” ujarnya. - Getaran, 2 Oktober 2021.