KUALA LUMPUR - Pergerakan merentas negeri akan dibenarkan oleh kerajaan dalam tempoh beberapa hari lagi tetapi perlu mengambil langkah berjaga-jaga, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan disampaikan di akaun Twitternya berkata, sekiranya aktiviti rentas negeri dibenarkan, orang ramai diingatkan supaya mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya lagi, ujian saringan COVID-19 secara kendiri iaitu menggunakan air liur dilakukan secara berkala sekiranya rakyat mahu pulang ke kampung.
“Sekatan rentas negeri akan dibenarkan dalam beberapa hari lagi, penting untuk mengambil semua langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka, mencuci tangan dan menjaga jarak fizikal walaupun sudah divaksin.
“Bagi menjaga keselamatan keluarga dan orang yang tersayang, ujian pantas (RTK) antigen secara kendiri menggunakan air liur perlu dilakukan dengan berkala,” tambahnya lagi.
Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa mengambil sikap bertanggungjawab dan berjaga-jaga.
Khairy juga menyarankan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman selepas rentas negeri dibenarkan, menjalani ujian menggunakan kit ujian kendiri COVID-19 RTK air liur bagi memastikan mereka selamat daripada virus itu sebelum bertemu keluarga. - Getaran, 7 Oktober 2021.