web statsweb stats

Berita Terkini

2 minggu yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Kadar Pengangguran Individu 40 Tahun Ke Atas Membimbangkan - MEF

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 15 Nov 2021 8:32AM

Pandemik COVID-19 memberi impak besar kepada ekonomi seluruh dunia namun pemulihan semula ekonomi diharapkan dapat memberikan kesan dengan segera. - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Tidak dinafikan pandemik COVID-19 memberi impak besar terhadap ekonomi di seluruh dunia sehingga ada syarikat ‘gulung tikar’ kerana sudah tidak mampu menanggung kos operasi.

Akibatnya, ramai hilang pekerja terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan buat kali pertama 18 Mac tahun lalu.

Namun kelonggaran diberikan kerajaan bagi sektor ekonomi sejak Ogos bagaikan memberi nafas baharu kepada syarikat terjejas dan individu yang hilang punca pendapatan.

 Dr Syed Hussain Syed Husman
Dr Syed Hussain Syed Husman

Menurut Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, pasaran buruh di negara ini bertambah baik walaupun keadaannya tidak begitu kukuh pada suku pertama 2021.

“Keadaan pasaran buruh terjejas ketika kerajaan melaksanakan PKP untuk menangani kes baharu COVID-19 yang meningkat.

“Kebanyakan pemberhentian kerja berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang keseluruhannya melibatkan 78.3 peratus daripada jumlah pemberhentian kerja," katanya ketika dihubungi Getaran, hari ini.

Syed Hussain berkata, trend pemulihan pasaran buruh berlaku pada akhir suku pertama 2021, yang menyaksikan lebih ramai pencari kerja mendapat kerja baharu.

Katanya inisiatif kerajaan di bawah pakej rangsangan ekonomi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) telah memperbaiki  pasaran buruh di negara ini.

“Bajet 2022 memperkenalkan berbagai langkah dan inisiatif untuk menangani isu pengangguran yang agak tinggi dengan kadar 4.6 peratus pada Ogos lalu.

“MEF berpendapat bahawa peruntukan RM4.8 bilion dalam Bajet 2022 akan dapat mengurangkan kadar pengangguran kepada empat peratus sebagaimana yang disasarkan oleh kerajaan,” katanya.

Begitupun Syed Hussain berkata, kadar pengangguran terutamanya bagi individu berusia 40 tahun ke atas amat membimbangkan ketika ini.

Katanya, majikan dilihat lebih cenderung mengambil golongan muda yang dianggap lebih mudah dibentuk.

“Golongan berumur dikatakan sebagai kurang produktif, tidak cekap mengendalikan teknologi, sering mengambil pendekatan tradisional berbanding inovasi dan mengharapkan gaji lebih tinggi berdasarkan usia mereka.

“Berbeza pula dengan golongan muda yang dilihat penuh dengan idea-idea baharu dan mempunyai kecekapan lebih relevan dengan teknologi maklumat (ICT) dan ekonomi digital,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata, kadar pengangguran dalam kalangan golongan tersebut turut disebabkan kebanyakan majikan masih melaksanakan dasar pembekuan pengambilan pekerja.

“Kebanyakan majikan masih amat berhati hati dan tidak mahu mengambil pekerja kerana keadaan tidak begitu menentu.

“Jadi mereka masih ambil pendekatan tunggu dan lihat (keadaan ekonomi) dalam menguruskan perniagaan mereka,” katanya.

Baru-baru ini, golongan tersebut berkongsi masalah kesukaran mendapatkan pekerjaan di media sosial disebabkan faktor usia, meskipun kebanyakannya berpengalaman luas dan memiliki kelayakan akademik yang tinggi.

Keadaan itu amat membimbangkan, kerana ada di kalangan mereka masih lagi mempunyai komitmen seperti pembayaran rumah dan kereta yang perlu dibayar setiap bulan.

Prihatin mengenai nasib golongan tersebut, Syed Hussain berkata keadaan itu perlu diurus dan ditangani kerajaan dengan lebih baik.

“Di bawah PENJANA kerajaan memberikan insentif kewangan RM1,000 kepada majikan yang mengambil pekerja berusia 40 tahun ke atas bagi tempoh enam bulan.

“Namun langkah segera juga perlu diambil untuk meningkatkan kemahiran mereka terutamanya dalam bidang ICT dan digitalisasi bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyarankan golongan tersebut menceburi bidang keusahawanan dan juga ekonomi gig.

“Ekonomi gig memberi peluang kepada mereka yang terjejas akibat COVID-19 untuk menampung keperluan hidup dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

“Malah melibatkan diri dalam bidang ini juga memberi banyak ruang kepada mereka untuk menguruskan masa dengan lebih baik,” katanya.

Getaran difahamkan, setakat ini kira-kira 3.5 juta melibatkan diri dalam ekonomi gig berbanding hanya 400,000 sebelum negara diancam pandemik COVID-19 tahun lalu. - Getaran, 15 November 2021

Sorotan

1

Operasi Pencarian Sabari Meliputi Keluasan 13 Km Sungai Padang Terap

2

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

3

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

4

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

5

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

6

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

Disyorkan untuk anda

Semasa 15 jam yang lalu

Bayi Lelaki Ditinggalkan Berhampiran Pantai Paka