ALOR SETAR - Seorang pegawai bomba berdepan lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana didakwa menerima rasuah berjumlah RM5,962 bagi urusan penyelenggaraan kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis pada 2020.
Tertuduh, Mohd Basri Othman, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut sebaik dibacakan jurubahasa di depan Hakim Harmi Thamri Mohamad.
Dalam dua pertuduhan pertama, tertuduh yang kini masih bertugas dengan jabatan itu didakwa menerima wang tunai berjumlah RM437 dan RM1,025 daripada seorang lelaki.
Rasuah itu merupakan upah kepada tertuduh untuk memberikan kerja menyelenggara kenderaan JBPM Perlis kepada sebuah syarikat yang mempunyai bengkel di Kangar.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 7 Oktober 2020 dan 10 Oktober 2020 di Maybank Cawangan Sungai Petani.
Dalam tiga pertuduhan lain, Mohd Basri didakwa menerima wang berjumlah RM1,000, RM1,500 dan RM2,000 bagi tujuan sama dengan wang tersebut dimasukkan secara terus ke dalam akaun Maybank miliknya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 2 November 2020, 29 Oktober 2020 dan 27 Oktober 2020.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM manakala tertuduh diwakili peguam, Pyara Singh.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut nilai yang mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 April depan dan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM12,000.
Tertuduh difahamkan membayar jaminan tersebut. - Getaran, 21 Mac 2022