BUKIT KAYU HITAM - Berbeza dengan suasana di Tambak Johor yang meriah dengan kepulangan beramai-ramai rakyat Malaysia ke tanah air sebaik sempadan negara dibuka tepat jam 12 tengah malam tadi, keadaan di pintu masuk Malaysia - Thailand di sini, cukup lengang.
Data dikongsikan Timbalan Pengarah Imigresen Negeri, Ketua Penolong Pengarah Rosmaliza Mohamed Rashid memaklumkan, hanya kira-kira 10 individu dari Thailand memasuki Malaysia setakat 10 pagi ini.
Manakala, individu dari Malaysia ke negara berkenaan menyaksikan tidak lebih 20 orang, selepas sempadan dibuka bermula 6 pagi ini .
Namun, keadaan itu tetap menarik perhatian susulan pertemuan semula seorang ibu yang berasal dari Thailand, Siti Zubaidah Acara Abdullah, 62, dengan anaknya, Noor Asyikin Bunnawi, 31, yang menangis berpelukan kerana terlalu rindu selepas terpisah beberapa bulan.
Noor Asyikin berkata, dia terlalu merindui Siti Zubaidah selepas ibunya yang pulang ke kampung halaman di Trang, Thailand bersama ibu saudara, Pawana Che Wa Abdullah pada Oktober lalu kerana neneknya meninggal dunia, terkandas di negara gajah putih berkenaan selepas sempadan Malaysia ditutup.
“Selama ini, ibu memang tinggal dengan saya di Shah Alam dan kami tak pernah terpisah lama. Hanya selepas sebulan ibu balik ke Thailand, saya terlalu rindukan ibu memandangkan kami hanya boleh berhubung melalui telefon.
“Kami mencuba pelbagai cara untuk membolehkan ibu pulang ke Malaysia tetapi tidak berjaya. Justeru, apabila pintu sempadan dibuka hari ini, kami cukup gembira kerana dapat kembali bertemu dan urusan kepulangan juga cukup mudah,” katanya ketika ditemui media di pintu sempadan tanah air, hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Asyikin berkata, selama ini dia cukup bimbang dengan kesihatan ibunya yang terpaksa menunda pemeriksaan tiga kali di Institut Jantung Negara (IJN) kerana tidak dapat pulang ke tanah air.
“Disebabkan terlalu teruja untuk bertemu ibu, saya tak mampu lelap sejak semalam kerana bimbang jika ibu tidak dapat melepasi sempadan untuk kembali ke Malaysia.
“Saya sebenarnya bekerja sebagai jururawat di Hospital Shah Alam dan baru habis bekerja, malam tadi. Selepas tamat waktu kerja, saya terus bertolak ke sini untuk menyambut ketibaan ibu,” katanya.
Sementara itu Siti Zubaidah berkata, sepanjang berada di Thailand, dia sememangnya ternanti-nanti berita gembira daripada kerajaan untuk pembukaan pintu sempadan negara kerana terlalu merindui tiga anak dan lima cucunya di sini.
“Rasanya terlalu lama kami terpisah. Apabila dapat tahu saja pintu sempadan akan dibuka hari ini, saya sudah buat persiapan lengkap untuk pastikan saya dapat kembali ke Malaysia hari ini juga untuk bertemu dengan anak-anak.
“Selain itu, ada juga saya bawa barangan untuk anak dan cucu seperti baju serta mainan,” katanya. – Getaran, 1 April 2022