web statsweb stats

Berita Terkini

1 hari yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Di Sebalik Moratorium, Pastikan Peniaga Makanan Kampus IPTA Tidak Naikkan Harga

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 06 Jul 2022 7:00AM

Kesatuan mahasiswa meminta pemberian moratorium bayaran sewa kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di kampus IPTA disusuli kajian terperinci - Gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Meskipun menyambut baik langkah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberikan moratorium bayaran sewa selama enam bulan kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kesatuan mahasiswa meminta usaha itu disusuli kajian terperinci, khususnya pelan jangka demi terus menjaga kebajikan pelajar.

Eksekutif Umum Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Muhammad Noraiman Zulkifli berkata, kajian itu penting bagi mengelakkan golongan terbabit tidak mengalami kejutan budaya, sekiranya moratorium berkenaan ditamatkan pada penghujung tahun ini.

Katanya, perancangan teliti juga perlu dilakukan KPT bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga makanan dengan sewenang-wenangnya sepanjang tempoh itu.

Menurut beliau, pihaknya tidak mahu peniaga mewujudkan pelbagai alasan, khususnya menggunakan peluang peningkatan harga barang ketika ini untuk menaikkan harga makanan di universiti.

“Pandangan saya, ada keperluan untuk penetapan pelarasan harga sebab ini satu tuntutan ketika kita berdemontrasi hari itu. Sebagai contoh, kalau ambil nasi dengan ayam dan sayur, berapa harga ditetapkan.

“Dengan cara ini tiada yang ambil kesempatan kerana ketika ini di UM, walaupun ambil lauk sama, harganya akan berbeza bergantung kepada siapa yang mengira. Oleh itu, mekanisme terbabit perlu ada agar mudah mahasiswa menyusun perbelanjaan mereka,” katanya kepada Getaran ketika dihubungi.

Muhammad Noraiman turut mencadangkan agar kerajaan melaksanakan sumbangan ‘one-off’ kepada mahasiswa memerlukan, khususnya golongan B40 yang ketika ini terkesan akibat kenaikan pelbagai harga barang.

“Ada bantuan kepada mahasiswa sebelum ini, namun jumlah RM100 diberikan terlalu sikit, tidak sampai sebulan sudah habis. Pelaksanaan moratorium itu membantu, tetapi keperluan bantuan kewangan untuk mahasiswa wajar disediakan.

“Ini kerana harga barang naik, tak turun sehingga kebanyakan mahasiswa terpaksa membuat kerja sambilan. Kenaikan itu bukan terpakai untuk makanan sahaja (di kampus), malah membabitkan keperluan harian seperti sabun, syampu, semuanya naik.

“Kalau kerajaan nak bagi secara one off boleh, namun diharap sepadan dengan harga kos sara hidup sekarang atau sebagai bantuan bulanan pun cukup baik serta perlu disalurkan kepada B40, selain M40 yang turut terasa kesannya,” katanya.

Terdahulu, KPT bersetuju melaksanakan moratorium bayaran sewa selama enam bulan mulai Julai ini kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus IPTA.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, langkah itu bagi membolehkan tanggungan kos sewaan tersebut diserap untuk menurunkan harga makanan dijual kepada pelajar.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zaim Mustaqim turut senada dan menggesa kerajaan melakukan pemantauan harga makanan di IPTA agar objektif inisiatif berkenaan tercapai.

“Ini adalah satu kemenangan kecil hasil suara mahasiswa mengadakan ‘kempen #turun’ dengan bersuara melalui media sosial berikutan kenaikan harga barang. Satu inisiatif bagus cuma KPT kena tengok tuntutan kita untuk pantau harga makanan di kampus.

“Moratorium sepatutnya akan memberi kesan untuk turunkan harga barang, sebab itu perlu dipantau agar tujuan asal ia dilaksanakan mampu tercapai, iaitu boleh tampung peniaga dalam universiti untuk kurangkan harga makanan,” katanya

Jelasnya, penetapan harga di peringkat universiti boleh dilakukan, namun ia patut dilaksanakan di bandar dan tidak di kawasan pedalaman, di samping keperluan kajian secara holistik serta menyeluruh terhadap perkara itu.

“Ini kerana faktor geografi terbabit memberi kesan kepada kenaikan harga barang, kalau nak samakan itu bagus, tetapi praktikaliti ia dilaksanakan harus diutamakan sebab kita semua faham kalau di Lembah Klang harganya lebih tinggi, berbanding negeri lain, lebih murah,” katanya.

Sementara itu, Zaim menggesa agar Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa kerap turun padang bertemu mahasiswa agar pelaksanaan moratorium itu mampu mencapai objektif pelaksanaannya.

“Kalau moratorium dilaksanakan, jangan nanti harganya tak turun. Lantaran itu, Annuar perlu berterusan adakan lawatan seperti beliau pernah datang ke UIAM bagi mendengar pandangan selepas mahasiswa bersuara di media sosial.

“Kerajaan perlu kaji mekanisme peningkatan harga barang ini supaya tidak terus naik mendadak sebab sehingga hari ini, kita sudah nampak kenaikan harga minyak dan barang lain. Kita kena fikir tujuh bulan akan datang apa akan terjadi.

“Perlu kajian terperinci kerana saya nampak moratorium ini satu ruang berniaga dalam kampus untuk bernafas sebentar,” katanya. – Getaran, 6 Julai 2022

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara

Disyorkan untuk anda

Politik 1 hari yang lalu

Undi Cina Meningkat Di PRK Mahkota, Terima Kasih Tiong King Sing!

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Malaysia Gesa Pelantikan Utusan Khas PBB Untuk Tangani Islamofobia, Seru Toleransi Global

Semasa 1 hari yang lalu

Mangsa Banjir Di Kedah Meningkat 451 Orang Pagi Ini

Semasa 1 hari yang lalu

Remaja Dihanyut Arus Deras Ditemukan Lemas, Ibu Masih Hilang