KUALA LUMPUR - Saranan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) agar kerajaan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mendapat reaksi berbeza dalam kalangan penganalisis ekonomi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pakar ekonomi Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, dasar percukaian itu sememangnya memberi manfaat tersendiri, namun ia tidak sesuai dilaksanakan buat masa ini kerana rakyat sudah sedia terbeban dengan pelbagai masalah.
Menurut beliau, pelaksanaan semula GST masih memerlukan pelbagai kajian kewangan secara terperinci, khususnya dari aspek potensi produktiviti cukai terbabit dan mengambil kira situasi semasa, termasuk kos sara hidup yang membebankan orang ramai.
“Belum sampai masanya kerana perlu mengambil kira situasi ketika ini, malah isu kenaikan kos sara hidup masih lagi membelenggu rakyat. Rakyat belum bersedia.
“Kerajaan perlu memastikan perbelanjaan terkawal dan mengelakkan pembaziran, ketirisan dan perbuatan rasuah,” katanya kepada Getaran ketika dihubungi.
Senator Tan Sri Low Kian Chuan pada 3 April lalu semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Negara berkata, pelaksanaan semula GST dengan kadar lebih munasabah berupaya meluaskan pendapatan secara lebih mampan dan komprehensif.
Langkah itu jelas beliau, dapat mengukuhkan pungutan hasil negara.
Mengulas isu sama, Ahmed Razman berpendapat, kerajaan perlu meneliti mekanisme pelaksanaan terbaik dalam memperkasakan cukai sedia ada, bagi memastikan pengguna tidak terkesan seperti yang berlaku sebelum ini.
Beliau yang juga Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), PBS berkata, mekanisme tersebut perlu dilihat adil, lestari dan dapat mencapai matlamat untuk meringankan kos sara hidup rakyat tanpa merugikan peniaga serta kerajaan.
“Cukai adalah satu bentuk hasil yang digunakan untuk menampung perbelanjaan kerajaan, Jadi, selain hanya menumpukan kepada kutipan hasil luar, lebih baik juga melihat perbelanjaan yang mengutamakan isu ketirisan, pembaziran dan juga rasuah.
“Itu satu perkara yang perlu kerajaan perangi,” katanya.
Jelas Ahmed Razman, kerajaan perlu memastikan hasil kutipan dan perbelanjaan dilaporkan secara telus agar pelbagai pihak, khususnya orang ramai mengetahui secara terperinci sumber kewangan yang dikeluarkan oleh kerajaan.
“Saya mengharapkan agar hasil kutipan dan perbelanjaan itu melalui proses telus, maknanya kita tahu ia digunakan untuk maksud apa. Saya rasa rakyat tidak akan persoal mereka perlu bayar cukai lebih tinggi jika tidak timbul sebarang keraguan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pelaksanaan semula GST dipersetujui Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman yang berpendapat, ia mewujudkan kesan positif kepada peniaga dan orang ramai, selain berupaya meningkatkan pendapatan kerajaan.
Menurut beliau, GST bagaimanapun perlu diperkenalkan pada kadar serendah mungkin, berdasarkan penelitian terperinci oleh kerajaan terhadap suasana ekonomi negara.
“Kalau semua pihak bertanggungjawab, tidak akan timbul isu percukaian berganda yang akhirnya akan membebankan pengguna.
“Seharusnya orang ramai tidak akan terbeban sekiranya sistem percukaian itu benar difahami dan dilaksanakan. Mahu tidak mahu mereka juga akan menanggung sistem GST atau cukai jualan dan perkhidmatan (SST), sedia ada,” katanya.
Jelas Dr Maamor, sistem SST sedia ada banyak dicemari penipuan yang merugikan kerajaan dan orang ramai.
“Justeru, tiada sebab untuk tidak melihat semula pelaksanaan GST kerana kita juga pernah mengaplikasikannya, malah banyak negara berjaya menggunakan sistem berkenaan dengan sebaiknya,” katanya.
Dr Ma’amor berkata, GST merupakan percukaian lebih telus dan mudah untuk menjalani audit forensik oleh kerajaan, sekiranya terdapat sebarang salah laku.
Jelasnya, walaupun GST adalah sistem yang efisien bagi mengelakkan pengusaha lari daripada membayar cukai namun peningkatan kos sara hidup tidak dapat dielakkan.
“Isunya pendapatan kita tidak meningkat, malah ada pendapatan merudum, khususnya orang Melayu dan peniaga kecil yang menyebabkan ramai mengalami tekanan perasaan,” katanya.
Sementara itu, aktivis masyarakat, Mohamad Nizam Abdul Samar Zammi berkata, kadar yang dikenakan haruslah lebih rendah, dengan unjuran pada kadar 4.0 peratus hingga 5.0 peratus jika kerajaan bersetuju untuk memperkenalkan semula cukai kepenggunaan itu.
Katanya, sebarang perubahan dasar percukaian juga perlu dimaklumkan dengan jelas supaya tidak berlaku kekeliruan dan tempoh pelaksanaan juga perlu lebih realistik.
“GST itu perlu ditambah baik dengan caj servis lebih tinggi dikenakan pihak industri, melibatkan kadar peratusan sehingga 7.0 peratus ke 8.0 peratus. Cukai barang terhadap orang ramai biarlah dalam kadar 4.0 peratus sehingga paling tinggi 5.0 peratus.
“Sistem percukaian ini mesti dilaksanakan kerana mengurangkan peniaga taikun yang berleluasa dalam aspek pengeluaran bahan mentah, malah pendapatan kerajaan juga (akan menjadi) lebih tinggi, mudah untuk mengawal harga barang,” katanya.
Ketua Eksekutif Yayasan Generasi Malaysia (YGM) itu turut menegaskan pelaksanaan GST tidak boleh tergesa-gesa kerana membabitkan kos tambahan untuk perpindahan sistem, lebih-lebih lagi dalam keadaan pertumbuhan ekonomi yang lembap ketika ini.
“Paling penting, perlu ada ketulusan dan kena lihat kesan positif dan negatif kepada pelbagai pihak. Segala langkah atau tindakan kerajaan dalam memperhalusi sistem terbabit perlu dijelaskan kepada awam.
“Rakyat pun perlu bersedia jika GST dilaksanakan oleh kerajaan, mereka perlu menyokong dengan sebaiknya sistem cukai yang cekap dan lebih berkesan yang membolehkan kutipan hasil negara meningkat lebih banyak jika dibandingkan dengan sistem SST,” katanya. - Getaran, 8 April 2023