KUALA LUMPUR - Umat Islam di negara ini dinasihat berhati-hati dengan tawaran badal atau upah haji oleh agensi pelancongan dan individu tertentu.
Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, setiap individu dari luar Makkah perlu mendapatkan visa haji untuk melaksanakan ibadat terbabit, seperti ditetapkan kerajaan Arab Saudi.
Menurut beliau, penduduk tempatan pula perlu mendapatkan permit kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi.
"Tawaran badal haji sekitar RM1,000 sehingga RM3,500 itu terlampau murah jika dibandingkan dengan harga asal permit haji.
"Harganya yang paling rendah pun adalah sekitar SR4,000 (RM4,800), tidak termasuk lain-lain perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh penduduk tempatan Arab Saudi untuk menunaikan ibadat haji,” katanya.
Syed Saleh berkata, TH akan terus mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
"TH dan anak syarikatnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk promosi, penawaran dan penyediaan perkhidmatan badal haji," katanya.
Sebelum ini, Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) turun menggesa rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati dengan tawaran badal atau upah haji yang tumbuh bak cendawan, dengan menawarkan kos serendah RM1,500 hingga RM3,500 seorang.
MATA dalam kenyataan memaklumkan, pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah menetapkan empat kategori pakej haji disediakan untuk penduduk tempatan tahun ini, dengan kos antara SAR3,984 (RM4,819.79) hingga SAR 11,841 (RM14,325.08).
MATA berpendapat tindakan tegas perlu diambil pihak berkuasa kepada mereka yang menawarkan khidmat badal haji dengan harga tidak munasabah, demi mengaut keuntungan semata-mata dan mengetepikan soal halal atau haram.
Persatuan itu turut mencadangkan kerajaan mengawal selia khidmat perniagaan badal haji mengikut perundangan dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, berbanding membenarkan ia dilakukan sesuka hati tanpa pengawasan.
Malaysia menerima kuota haji untuk penghantaran seramai 31,600 jemaah daripada kerajaan Arab Saudi, tahun ini.
Pada tahun lalu, Kerajaan Arab Saudi meluluskan 14,306 kuota haji Malaysia iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima dan terpakai kepada semua negara.
Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas. - Getaran, 20 Mei 2023