KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil segala langkah yang perlu untuk meningkatkan tahap keselamatan dari semua aspek susulan ancaman keselamatan dikeluarkan Israel.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata PDRM memandang serius ancaman diberikan negara Zionis itu, namun pada masa sama, orang ramai dinasihatkan agar terus bertenang.
“PDRM memandang serius ancaman keselamatan oleh Israel terhadap pemimpin Palestin yang berada di seluruh dunia termasuk Malaysia, tapi kami minta orang ramai tetap bertenang
"Kami akan terus mengambil langkah perlu untuk meningkatkan tahap kawalan keselamatan dari semua aspek bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terpelihara,” katanya hari ini.
Menurut pemimpin nombor satu PDRM itu, pihaknya juga sentiasa bersiap siaga dan sentiasa memantau isu terbabit dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Dalam perkembangan sama, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi jaminan akan setiasa memantau aspek keselamatan dan pertahanan bagi memastikan segala ancaman yang mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan ATM dapat ditangani.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, tindakan serta langkah sewajarnya yang perlu dilaksanakan oleh pentadbir sistem siber sebagai langkah menangani apa juga kemungkinan tindak balas serangan siber oleh anasir asing yang boleh mengganggu pengoperasian sistem siber ATM serta Kementerian Pertahanan.
"Adalah ditegaskan bahawa ATM sentiasa memantau dan mempertingkat aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa melalui peranan yang digerakkan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber ATM (CDOC).
"BSEP dan CDOC bukan sahaja memperkukuh rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM malah melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara," katanya.
Menurut beliau, arahan dan langkah dikeluarkan CDOC yang tular menerusi media sosial sebelum ini adalah arahan amalan biasa sebagai peringatan. - Getaran, 17 Mei 2021