KUALA LUMPUR - Wanita yang mendakwa vaksin COVID-19 keluaran Astra Zeneca boleh membekukan darah di jantung, sekali gus mengaitkan ia sebagai punca kematian pemanah nasional, Haziq Kamaruddin tampil memohon maaf, hari ini.
Dalam satu hantaran di Instagram, Nur Aqila Mohamad Yusri, mengaku memberikan kenyataan palsu berhubung vaksin AstraZeneca yang didakwa sebagai punca kematian Haziq pada 14 Mei lalu.
“Dalam pada itu saya juga ingin memohon maaf mengenai kenyataan saya yang melibatkan Subang Jaya Medial Centre, Dr. Vigneswaren serta mama saya, Rohayah Hussin.
“Saya mengetahui kesilapan saya mengenai pendapat saya telah menimbulkan salah faham kepada semua pihak. Saya salah faham dengan kenyataan Doktor mengenai kelebihan dan keburukan vaksin kepada setiap individu,” katanya dalam hantaran berkenaan.
Nur Aqila turut mengakui bahawa semua kenyataan itu adalah pendapat peribadi dirinya sendiri yang kurang arif dengan dunia perubatan.
“Saya berterima kasih kepada pihak-pihak yang menegur saya secara berhemah,” akuinya.
Pada 15 Mei lalu, Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Zahari Noor mengesahkan bahawa kematian Haziq adalah berpunca daripada komplikasi salur darah jantung yang tersumbat, akibat perubahan arterosklerosis (coronary artery atherosclerosis).
Pemanah berasal dari Johor itu pernah mewakili negara ke temasya Olimpik sebanyak dua kali, iaitu pada edisi London 2012 serta Rio 2016 di Brazil.
Dalam pada itu, polis membuka kertas siasatan terhadap individu yang disyaki menyebarkan berita palsu mengenai kematian Allahyarham Haziq yang didakwa meninggal dunia akibat pengambilan suntikan vaksin Astrazeneca.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata siasatan dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang pelajar perempuan pada Sabtu lepas yang melihat sebuah rakaman video dikongsikan menerusi aplikasi WhatsApp dan Instagram.
Beliau berkata video berdurasi tiga minit 34 saat itu, memaparkan dakwaan seorang wanita mengenai kematian Haziq disebabkan saluran darah tersumbat akibat pengambilan vaksin Astrazeneca dan melemparkan tuduhan terhadap Kementerian Kesihatan kerana menyembunyikan punca kematian sebenar serta melaporkan jumlah kes positif tidak tepat. - Getaran, 24 Mei 2021.