web statsweb stats

Berita Terkini

1 minggu yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Sanitasi Tangan, Adakah Sudah Diabaikan?

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 26 May 2021 11:46AM

Sanitasi tangan merupakan salah satu cara untuk mengurangkan jangkitan COVID-19. - Gambar Syeda Imran

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

MELAKA - Sejak meletusnya pandemik COVID-19, cecair pensanitasi tangan atau ‘hand sanitizer’ dan pelitup muka menjadi antara barangan paling laris di pasaran sehingga ada yang menjualnya dengan harga yang mahal dan tidak masuk akal.

Malah jika berkunjung ke farmasi, pasar raya atau kedai serbaneka untuk mendapatkan cecair nyahkuman ketika itu, pastinya para pengunjung akan terkilan kerana kehabisan stok.

Namun, selepas lebih setahun pandemik tersebut membelenggu masyarakat dengan pelbagai pendekatan kebiasaan baharu diperkenalkan bagi mengekang penyebaran virus, penggunaannya kini dilihat seolah-olah dipandang sepi.

Tinjauan Bernama di beberapa farmasi terkemuka, kedai serbaneka malah stesen minyak di sini mendapati penjualan cecair pensanitasi tangan kini tidak ‘sederas’ pada permulaan wabak COVID-19 tercetus pada tahun lepas.

Seorang penjual di sebuah farmasi, Aina Razak, 25, berkata pensanitasi tangan serta penyembur nyahkuman yang dulunya menjadi rebutan kini semakin tidak dipedulikan walaupun harga jualan adalah mampu milik serta produk tersebut didatangkan dalam pelbagai saiz dan jenama. 

“Kalau dulu, memang tak sempat nak letak di atas rak. Memang cepat saja habis sampaikan kami terpaksa berulang kali membuat tempahan daripada pembekal dalam tempoh seminggu dan kadangkala, terputus bekalan.

“Tapi sekarang, pembelian tak macam dulu. Mungkin orang ramai lebih membeli pelitup muka berbanding pensanitasi tangan kerana ia wajib digunakan terutama di tempat awam,” katanya.

Bukan sekadar itu, pemerhatian yang dilakukan di beberapa tempat awam seperti stesen minyak, restoran, kedai serbaneka juga mendapati orang ramai tidak menggunakan cecair itu sebelum atau selepas memasuki premis tumpuan awam, walaupun disediakan secara percuma.

Lebih memburukkan keadaan, penyediaan cecair nyahkuman di beberapa premis tumpuan awam juga seolah-olah hanya ‘cukup syarat’.

Antara alasan yang diberikan pemilik premis adalah kekangan kos dan penggunaan tidak begitu memberangsangkan oleh pengunjung kerana mereka lebih mementingkan penggunaan pelitup muka serta mengimbas suhu. 

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar ketika dihubungi juga mengakui bahawa penggunaan cecair nyahkuman tangan ini kurang digunakan sedangkan ia antara cara berkesan untuk menghentikan rantaian COVID-19 selain daripada pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

“Lebih banyak kempen perlu diadakan untuk tingkatkan kesedaran mengenai kepentingan dan kebaikan penggunaan pensanitasi tangan sebab ia sangat berkesan dan mudah dibawa untuk digunakan di mana-mana sahaja.

“Sebab itu saya sangat galakkan agar setiap kita mempunyai satu (pensanitasi tangan) di dalam rumah, kereta, beg tangan serta poket,” katanya yang dihubungi Bernama. 

Turut senada, Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka Datuk Rahmad Mariman yang turut menegur orang ramai yang tidak peka dengan pensanitasi tangan sedangkan ia termasuk dalam tiga prosedur operasi standard (SOP) asas dalam mengekang penularan COVID-19.

“Sebenarnya tak semestinya menggunakan pensanitasi tangan, basuh tangan pun okey tapi sebab pensanitasi tangan dah ada dan mudah, pakai sajalah. Manfaatkan benda itu.

“Saya tengok orang simpan di dalam kereta, dalam beg tangan. Sekadar simpan tapi tak digunakan. Maknanya di mana tahap kesedaran orang ramai? Seolah-olah tak ambil berat dengan SOP asas ini,” katanya.

Bagi pemilik premis, Rahmad menasihati mereka agar menggunakan cecair nyahkuman yang diperakui serta jangan kedekut kerana bimbangkan kos.

“Jangan sekadar ada sebab kalau berlaku jangkitan dalam premis, mereka terpaksa tutup kedai dan ini akan jejaskan perniagaan. Jadi jangan kedekut dan takut dengan kos yang akan dikeluarkan,” katanya. - Bernama

Sorotan

1

Operasi Pencarian Sabari Meliputi Keluasan 13 Km Sungai Padang Terap

2

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

3

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

4

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

5

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

6

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia