KUALA LUMPUR – Seramai 3.45 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bawah umur 55 tahun telah membuat pilihan untuk memindahkan sejumlah wang daripada simpanan mereka dalam Akaun Fleksibel, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
MOF dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat berkata setakat 10 Jun sebanyak RM10.86 bilion telah dipindahkan ke dalam Akaun Fleksibel, manakala RM4.82 bilion lagi dipindahkan ke Akaun Persaraan (Akaun 1).
Menjawab pertanyaan Puzi Ali (BN-Pekan), kementerian itu memaklumkan seramai 2.93 juta ahli atau 22.6% pencarum di bawah umur 55 tahun telah membuat pengeluaran melalui Akaun Fleksibel (Akaun 3) melibatkan RM6.98 bilion.
Puzi bertanyakan statistik semasa pengeluaran wang pencarum daripada Akaun Fleksibel dan kesan jangka panjang terhadap kestabilan simpanan persaraan.
MOF berkata, tujuan utama penstrukturan semula akaun KWSP adalah untuk memastikan kesejahteraan kewangan semasa persaraan yang lebih mampan dan pada masa sama mengimbangi keperluan semasa ahli.
"Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka mempunyai pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak.
"Inisiatif ini bukan sekadar tindak balas Kerajaan terhadap keperluan semasa, tetapi merupakan langkah proaktif untuk membantu rakyat menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan demografi penduduk serta keperluan kitaran hayat ahli KWSP.
"Dengan inisiatif ini, Kerajaan berusaha untuk memastikan setiap ahli KWSP dapat menguruskan kewangan mereka dengan yakin dan berdaya tahan dalam persekitaran yang dinamik serta mencabar pada masa kini," katanya.
Bermula 11 Mei lalu, KWSP membuat penstrukturan semula akaun bagi pencarum berusia 55 tahun ke bawah kepada tiga iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.
Kadar nisbah pengkreditan caruman ahli adalah sebanyak 75:15:10 iaitu 75% dikreditkan dalam Akaun Persaraan, 15% Akaun Sejahtera , dan baki 10% dalam Akaun Fleksibel.
Bermula 12 Mei hingga 31 Ogos, ahli akan mempunyai pilihan untuk memindahkan satu pertiga daripada baki simpanan mereka daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel. – The Malaysian Insight, 27 Jun, 2024