SHAH ALAM - Kerja- kerja merobohkan Stadium Shah Alam yang secara rasmi bermula semalam akan dibuat dengan teliti tanpa menggangu kawasan sekitar.
Jaminan itu diberikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI), Saipolyazan M Yusop menerusi hantarannya di Facebook.
“Alhamdullilah, sempat singgah ke Stadium Shah Alam untuk melihat kerja perobohan dimulakan pada hari ini 1 Julai 2024.
“Saya mengarahkan pasukan projek dan kontraktor memastikan parameters pemantauan seperti bunyi, habuk, air, trafik dan lain-lain sentiasa dipantau bagi memastikan seminimun gangguan kepada penduduk sekitar,” katanya.
Sementara itu memetik laporan portal Selangor Kini, Saipolyazan berkata kerja perobohan Stadium Shah Alam dilaksanakan melalui kaedah konvensional tanpa bahan letupan.
Beliau seterusnya menjelaskan kerja- kerja perobohan stadium itu akan memakan masa selama setahun.
"Sejurus perobohan berada di peringkat pertengahan sekitar Oktober depan, kontraktor akan memulakan kerja tanah seperti tambakan bagi mempercepat proses pembinaan stadium baharu," katanya seperti dilaporkan portal berkenaan, semalam.
Kerajaan Selangor memutuskan untuk merobohkan Stadium Shah Alam, yang merupakan ikon pembangunan sukan negeri, susulan kerosakan teruk yang dialami.
Stadium itu akan diganti dengan pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dijangka siap pada 2029.
Pembangunan semula stadium baharu turut menyaksikan pengurangan kapasiti tempat duduk penonton dengan jumlah lebih ideal iaitu antara 40,000 hingga 45,000 berbanding jumlah asal 80,372 penonton. - Getaran, 2 Julai 2024