KUALA NERUS - Pulau Redang yang menjadi antara destinasi terkenal untuk bercuti kerana kecantikan pantai dan kejernihan air lautnya kini sepi tanpa pelancong sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pelaksanaan PKP bagi menangani penyebaran pandemik COVID-19 itu melumpuhkan sektor pelancongan, sekali gus memberi kesan kepada penduduk kampung di sini yang majoritinya bergantung kepada industri berkenaan sebagai sumber pendapatan.
Seorang penduduk, Muhammad Ariff Shafieee, 28 yang bekerja sebagai petugas resort di pulau itu berkata, sumber pendapatannya terjejas kerana operasi premis tersebut terpaksa ditutup.
“Memang kita yang bekerja di sektor pelancongan sangat terkesan sebab COVID-19. Kami kehilangan pendapatan dan sekarang ini memang tak dapat nak buat apa-apa,” katanya kepada Getaran.
Sambung Ariff lagi, dia kini menolong abang iparnya mengusahakan kebun mini cili sebagai alternatif untuk menampung pendapatan mereka yang terjejas.
Namun, usaha itu juga terbantut kerana mereka terpaksa berdepan dengan penurunan harga cili di pasaran.
Sementara itu seorang lagi penduduk Sanudin Shafaei, 45, berkata, dia kini membuka kedai makan di depan rumahnya selepas tidak lagi bekerja sebagai ejen pelancongan.
Sanudin berkata, setakat ini kedai makannya mendapat sambutan daripada penduduk setempat dan berhasrat untuk meneruskan saja perniagan itu.
“Sejak PKP pertama lagi masa Mac memang kita dah terkesan, lepas itu pulau pun terpaksa tutup sebab musim tengkujuh. Jadi saya dan isteri fikir apa yang boleh kami buat untuk dapatkan duit, jadi kami ambil keputusan untuk berniaga makanan di depan rumah tahun lepas.
“Sambutan diterima Alhamdullilah, biarpun tidak ada pelancong dan hanya mengharapkan penduduk tempatan. Cukuplah untuk bertahan hidup, lepaskan perbelanjaan anak-anak,” katanya yang mengharapkan pandemik COVID-19 segera berakhir.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Pulau Redang, Maarop Ismail, 54 berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengerakkan projek gerobok rezeki bagi membantu penduduk yang terkesan kerana pandemik.
Maarop berkata, melalui projek itu, penduduk yang terkesan boleh mendapatkan barang makanan asas seperti beras, gula, susu dan pek me segera.
“Projek ini kita ikhtiar sendiri melalui sumbangan daripada Badan Bukan Kerajaan NGO, jadi penduduk bolehlah ambil barang makanan diperlukan dan kita harap ia dapat meringankan sedikit beban mereka.
“Selain itu kerajaan negeri juga ada bagi bantuan bakul makanan, malah sebelum ini, 40 bakul makanan sudah diagihkan dan minggu depan akan ada lagi 56 bakul makanan. Jadi penduduk pulau di sini memang tidak terputus bantuan," katanya, bersyukur kerana masih ada peluang untuk membantu penduduk setempat.
Jelas beliau, kerajaan negeri amat cakna dan tidak pernah meminggirkan penduduk, walaupun terletak jauh dari tanah besar.
“Biarpun Pulau Redang ini jauh terpisah dengan daratan, namun bantuan tetap sampai dan kerajaan sangat cakna dengan kebajikan penduduk di sini.
"Kami sememangnya amat bersyukur,” katanya. - Getaran, 28 Jun 2021