BATU PAHAT - Polis sudah memanggil 12 individu bagi membantu siasatan berhubung penularan video ‘kenduri durian’ yang membabitkan Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.
Mohd Rashid yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dijangka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat secepat mungkin untuk memberi keterangan sebaik pulang dari Kuala Lumpur.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner (ACP) Ismail Dollah yang memaklumkan, beberapa individu lagi akan dipanggil pihaknya bagi melengkapkan siasatan.
“Sehingga kini, 12 orang sudah dipanggil untuk membantu siasatan. Ada beberapa orang lagi akan dipanggil.
“YB (Mohd Rashid) akan bagi kerjasama sepenuhnya dan akan datang ke IPD Batu Pahat untuk diambil kenyataannya secepat mungkin, sebaik balik dari Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Getaran.
Ismail turut memaklumkan pihaknya menerima lima laporan polis berhubung video berkenaan, setakat ini.
Kelmarin, video berdurasi 13 saat itu tular di media sosial, memaparkan Mohd Rashid berkumpul beramai-ramai di sebuah kebun dipercayai di Batu Pahat, sambil menikmati durian.
Ia mengundang kemarahan rakyat memandangkan insiden itu berlaku ketika seluruh negara masih berdepan sekatan pergerakan penuh.
Majoriti mempertikaikan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas tidak dipatuhi, selain membuat andaian perkara itu tidak salah bagi golongan kenamaan atau ‘kayangan’.
Semalam, Mohd Rashid dalam satu kenyataan memohon maaf atas kesilapan dilakukan dan berjanji akan memberi kerjasama kepada pihak polis.
“Saya mohon maaf atas kekhilafan ini dan menyerahkan siasatan lanjut (kepada polis) dan saya berjanji untuk memberikan kerjasama kepada pihak PDRM,” katanya.
Beliau juga memohon maaf atas kekeliruan yang timbul, berikutan penafian dibuat sebelum itu apabila mendakwa, insiden terbabit berlaku sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya mohon maaf di atas kekeliruan yang timbul apabila terdapat media yang menghubungi saya bagi bertanyakan mengenai video saya di kebun, dan saya menjawab soalan tersebut tanpa menonton sendiri video tersebut pada awalnya.
“Setelah selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam (kelmarin), barulah saya ada kesempatan untuk menganalisa video yang terkait pada saya itu,” ujarnya. - Getaran, 1 Julai