KUALA LANGAT – Setelah lebih setahun beliau bertungkus lumus tanpa jemu memujuk penduduk kampungnya supaya menerima suntikan vaksin COVID-19, Tok Batin Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Raman Pahat, menghela nafas lega semalam.
Tepat jam 9 pagi, berpuluh-puluh orang kampung, terdiri daripada suku kaum Temuan, hadir ke Balai Raya yang telah dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) oleh para petugas Pusat Kesihatan Daerah Kuala Langat.
“Saya bersyukur sangat dengan sambutan ini. Orang Asli selalunya takut dengan pegawai kesihatan. Mereka takutkan jarum. Ada yang bila dengar saja kena suntik, terus lari masuk hutan,” seloroh Raman ketika ditemui Getaran.
Kuala Langat merupakan daerah di Selangor yang memiliki penempatan Orang Asli terbesar iaitu sejumlah 18 kampung dan Kampung Orang Asli Pulau Kempas adalah kampung kedua menerima vaksin menerusi PPVB.
Program ini adalah anjuran Pejabat Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor untuk kawasan Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Kementerian Kesihatan Malaysia serta Pertubuhan Mujahideen98 Selangor.
Menurut Raman, pada mulanya amat sukar untuk beliau meyakinkan penduduk kampung, terutama warga emas yang majoriti termakan momokan berita palsu perihal bahana vaksin COVID-19 di media sosial.
“Cucuk vaksin boleh mati, lumpuh tangan. Kita rasa macam mengarut tapi ramai Orang Asli terpedaya dengan berita-berita macam ini. Masa saya mula berkempen, hanya 20 peratus sahaja yang mahukan suntikan vaksin.
“Hanya setelah saya serta Tok-Tok Batin dari kampung Orang Asli yang lain menawarkan diri secara sukarela pada bulan lepas untuk menerima suntikan vaksin terlebih dahulu barulah hilang rasa takut mereka itu,” jelas Raman.
Keengganan Orang Asli untuk mengambil vaksin juga kelihatan menerusi statistik terkini Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang pada 21 Jun lalu mendedahkan, hanya 18.9 peratus Orang Asli berumur 18 tahun ke atas telah berdaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Suntikan dos pertama kepada penduduk Kampung Orang Asli Pulau Kempas ini membabitkan seramai 84 individu dan selepas dua minggu, petugas kesihatan akan melawat semula untuk memberi dos kedua.
Mereka yang tidak berkesempatan untuk mendapat suntikan vaksin pada lawatan pertama berpeluang berbuat demikian semasa kunjungan kali kedua itu nanti.
Selain daripada penerimaan vaksin, Raman juga mengeluh mengenai impak negatif lain rentetan daripada pandemik COVID-19, khususnya kepayahan anak-anak Orang Asli menyertai Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
“Anak-anak kami memang berkobar-kobar mahu belajar namun, kebanyakan kampung Orang Asli tidak dilengkapi dengan infrastruktur yang mencukupi, seperti pencawang telekomunikasi untuk membolehkan PdPR dilakukan dengan berkesan.
“Saya sudah berjumpa dengan Telekom untuk memohon bantuan mereka namun dibalas dengan pelbagai jenis alasan. Antaranya adalah, penduduk di kampung saya dikatakan tidak cukup padat untuk membolehkan pencawang tersebut dibina.
“Saya risau, nanti anak-anak Orang Asli di kampung saya akan hilang minat dan semangat untuk belajar jika kekangan ini berterusan,” keluh Raman. – Getaran, 9 Julai, 2021.