LABUAN - Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan menggesa pengusaha kedai makanan dan minuman (F&B) di pulau bebas cukai itu menugaskan sekurang-kurangnya seorang kakitangan untuk memeriksa status vaksinasi COVID-19 setiap pelanggan sebelum dibenarkan menikmati makanan dalam premis.
Pengarahnya Mohd Hafiez Daud berkata pemeriksaan rapi oleh kakitangan premis makanan (ke atas status vaksinasi pelanggan) akan membawa kepada keberkesanan peraturan baharu iaitu hanya pelanggan yang telah lengkap divaksin boleh makan di premis (dine-in).
“Kami percaya semua kedai makan di pulau ini akan memeriksa status vaksinasi pelanggan sebelum mengalu-alukan mereka masuk untuk makan, memandangkan pengusaha F&B ini sedar jika mengabaikan peraturan tersebut operasi perniagaan mereka mungkin terdedah dengan penularan COVID-19 dan perniagaan terpaksa ditutup sementara.
“Pengendali premis F&B mempunyai hak untuk tidak membenarkan mana-mana individu yang tidak memberi kerjasama dan gagal menunjukkan sijil vaksinasi COVID-19 digital seperti diminta,” katanya dalam sidang akhbar bersama selepas pemeriksaan mengejut terhadap peraturan baharu dine-in di beberapa premis makanan, di sini hari ini.
Beliau berkata sesi perbincangan telah diadakan Jumaat lepas dengan beberapa dewan perniagaan dan pengusaha F&B di Labuan mengenai kepentingan peraturan baharu tersebut di premis-premis perniagaan.
Mohd Hafiez berkata kerjasama daripada orang ramai pada tahap ini sangat penting bagi memastikan Labuan terus menikmati fleksibiliti dan kelonggaran dalam sekatan pergerakan.
“Kita mengambil masa lama untuk memastikan Labuan mencapai imuniti kelompok dan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Kita tidak harus membiarkan Labuan kembali melalui waktu sukar dengan kes positif yang tidak terkawal dan muncul kluster-kluster baharu. Oleh itu orang ramai mesti bersama-sama dengan pasukan petugas barisan hadapan COVID-19 mengekang pandemik ini yang masih lama lagi pengakhirannya,” kata beliau.
Mohd Hafiez juga menasihatkan kakitangan F&B (yang ditugaskan memeriksa status vaksinasi pelanggan) melaporkan segera kepada polis jika mendapati ada pelanggan menunjukkan sijil vaksinasi digital palsu.
“Sijil digital bercetak adalah inisiatif individu itu sendiri dan tidak digalakkan oleh kerajaan memandangkan boleh dipalsukan dan dimanipulasi,” katanya sambil menambah kad janji temu vaksin COVID-19 yang menyatakan telah lengkap divaksin masih boleh digunakan untuk memasuki premis F&B. - Bernama