Bijak dan praktikal. Mungkin itulah yang boleh dikatakan mengenai penyanyi serta penulis lagu kelahiran Singapura, Taufik Batisah.
Meskipun pemenang pertandingan realiti Singapore Idol musim 2004 itu adalah antara yang terbaik di Singapura, beliau bijak melakarkan strategi kerjaya dengan menceburi bidang penyediaan makanan menerusi pembukaan sebuah restoran yang menghidangkan ayam goreng ala Nashville pada tahun 2018.
Cawangan kedua restoran Chix Hot Chicken menyusul di kawasan Tanjong Pagar, Singapura setelah cawangan pertama mendapat sambutan yang baik selama 3 tahun beroperasi.
Ketika dihubungi baru-baru ini, Taufik yang telah bergelar artis selama 18 tahun itu akui, “Perniagaan penyediaan makanan ini sebuah perjalanan yang panjang, bukan touch and go.
“Apa-apa duit kita buat pun kita simpan untuk kembangkan perniagaan buka cawangan kedua, ketiga, keempat kelima nanti. Alhamdulillah dengan sekatan pergerakan dulu sewaktu fasa pertama COVID-19, restoran harus ditutup, fasa 2 baru boleh dibuka.
“Kita harus ubah suai diri kita untuk kekal relevan dan kompetitif. Ini pemikiran yang sangat penting dalam apa jua bidang, harus bersedia memperbaiki diri sendiri, pelajari sesuatu yang baru, bersedia untuk menyesuaikan diri kepada apa juga situasi. Jangan selesa sangat dengan apa yang kita ada kalau tidak nanti kita tenggelam.”
Dengan fikiran terbuka, penyanyi yang pernah berduet dengan penyanyi Indonesia Rossa menerusi lagu ciptaan Taufik berjudul ‘Aku Bersahaja’ bersedia menerima pelawaan dari abangnya untuk menyertai bidang hartanah dengan menyertai pasukan abangnya.
Pada September 2019, Taufik Batisah sah menjadi ejen hartanah berdaftar di bawah Propnex Realty Pte. Ltd.
“Saya kena perluaskan diri dalam bidang lain, ambil peperiksaan dan lulus kali pertama. Abang sayalah kata apa tunggu-tunggu lagi? Jangan terlalu fokus pada satu benda saja, perlu ada back-up plan,” katanya yakin kepada penulis.
Inilah yang dinamakan rezeki yang tidak salah alamat kerana langkah yang diambil olehnya adalah sangat tepat lebih-lebih lagi apabila COVID-19 melanda dunia pada awal tahun lepas.
Lagipun beliau merasakan sudah agak lama juga beliau bergelar sebagai artis.
“Berlakon, nyanyian semua tertunda, pendapatan tak masuk, kedai saya pun terpaksa put on hold buat sementara waktu sebab kedai tak boleh buka pada awalnya. Alhamdulillah ada lesen sebagai seorang agen jadi saya teruskan 100 peratus. Dari saat itu sehingga kini, ia menjadi sesuatu yang baik untuk saya dan keluarga saya,” katanya lagi.
Beliau juga kurang aktif berulang-alik ke Malaysia untuk urusan persembahan sebagai penyanyi. Pada pendapatnya, ada baiknya sekiranya artis Singapura boleh duduk di Malaysia agar memudahkan urusan pekerjaan mereka.
“Saya tak buat sedemikian sebab mak saya tak selesa duduk di Malaysia kerana tidak ada kawan-kawan di sana, takut nak duduk rumah sorang-sorang. Mak saya jenis introvert, lebih senang duduk rumah. Saya kesiankan dia jadi saya duduk di sini saja,” terangnya.
Beliau tidak menafikan, pendapatan sebagai artis turut terjejas apabila COVID-19 melanda kerana tawaran berlakon berkurang dan persembahan secara live tidak dapat diadakan di Singapura.
Hanya nyanyian secara virtual sahaja dibenarkan. Sudah tentu pembayaran untuk show live berbeza dengan virtual katanya.
“Saya fokus pada hartanah sebab pendapatan utama datang dari situ alhamdulillah, dan ia agak bagus. Jadi sekarang saya tumpukan perhatian pada hartanah dan perniagaan F&B saya.”
Yang penting artis juga harus berusaha, jangan bersikap sambil lewa dan jangan take things for granted bahawa periuk nasi mereka tidak akan terjejas sekiranya sesuatu yang tidak diduga berlaku.
Apakah urusannya sebagai agen hartanah dimudahkan lagi kerana beliau dikenali sebagai artis popular?
“Kalau saya kata tidak memang saya bohonglah sebab branding Taufik Batisah ini dah ada dekat 18 tahun.
“Pada permulaannya kalau orang dengar Taufik Batisah itu bila nak jumpa client dan buat presentation, kita datang bukan sebagai orang asing. Tetapi bila kita dah mula berbual tentang nombor dan angka, tentang harga jual beli rumah, orang dah tak kisah awak siapa, artis mana, lagu hit apa sebab kita dah buka bab kewangan, kan?” katanya sambil tertawa.
Yang penting baginya, Taufik harus tahu apa yang dibentangkannya agar mereka merasa yakin melantiknya sebagai agen untuk penjualan rumah tersebut.
Antara pencapaian beliau sebagai ejen hartanah ialah apabila dinobatkan sebagai Champion Rookie 2020 di Singapura dengan mendapat tempat pertama.
Selain itu, dalam masa hanya setahun setengah sahaja, hampir 80-100 buah rumah berjaya diuruskan sama ada untuk penjualan atau pembelian.
Meskipun Taufik seronok menjadi agen hartanah kini, kerjaya seni jejaka tersebut tidak pernah dilupakan. Apabila masanya sesuai, beliau tetap akan berkarya dengan buah tangan terbaharu untuk peminat-peminatnya.
Selamat maju jaya kami ucapkan! Semoga peminat tidak perlu menunggu terlalu lama dan tertanya-tanya "Awak Kat Mane?” - Getaran, 30 Mei 2021
Semua gambar: Ihsan Taufik Batisah