Rumahku, syurgaku! Memang menjadi impian semua orang untuk memiliki sebuah rumah yang boleh digelar sebagai syurga.
Rumah bukanlah sekadar tempat untuk berteduh, tetapi rumah adalah tempat di mana kita mencipta bahagia, tempat di mana kita membina keluarga dan tempat di mana kita berasa selamat daripada sebarang bahaya.
Jadi tidak hairanlah ramai yang sanggup berhabis untuk memiliki rumah impian. Biarpun ia bukanlah sebuah mahligai ataupun banglo, tetapi hati tetap berbunga-bunga kerana akhirnya ia menjadi hak mutlak empunya nama.
Namun begitu, ada satu perkara yang sering diabaikan oleh ramai pemilik rumah apabila kunci kediaman sudah berada di tangan, iaitu tidak mendapatkan khidmat perunding hiasan dalaman!
Mengapa begitu? Kerana ‘yakin’ boleh menggalas tanggungjawab itu dengan sendiri.
Benar, ada yang berjaya melakukannya sendiri, tetapi ramai juga yang kecundang sehingga akhirnya perlu menemui perunding hiasan dalaman untuk membetulkan kesilapan.
Peranan perunding hiasan dalaman
Mengulas tentang peranan perunding hiasan dalaman, Pengasas IDW Design & Build Sdn. Bhd. (IDW), Lokman Hakim Ahmad Saberi, menjelaskan tugas perunding hiasan dalaman sebenarnya adalah amat penting untuk memastikan pemilik rumah boleh mendapat rumah impian seperti yang dibayangkan di dalam fikiran.
“Memang benar rakyat Malaysia masih belum benar-benar terbuka untuk mendapatkan khidmat perunding dalaman. Ramai masih beranggapan mereka boleh lakukannya sendiri, tetapi akhirnya terpaksa akur apabila ‘projek’ yang dilakukan sendiri itu tidak menjadi sehingga menjejaskan kondusi rumah.
“Tugas perunding hiasan dalaman adalah untuk menterjermahkan susun atur dan reka letak yang menjadi imaginasi seorang pemilik rumah.
“Dalam masa yang sama, perunding juga akan memberi nasihat sama ada apa yang dihajati oleh pemilik rumah itu bersesuaian dengan gaya hidup mereka atau sebaliknya,” jelas Lokman.
Beliau juga menasihatkan agar pemilik rumah tidak takut atau teragak-agak untuk bertemu dengan perunding hiasan dalaman kerana pada asasnya khidmat yang diberikan mengikut bajet yang dipersetujui.
“Apa-apa pun, perunding hiasan dalaman akan memberi sebut harga mengikut bajet yang ‘sudi’ dikeluarkan oleh pemilik rumah. Perunding hiasan dalaman yang bagus, sudah tentu akan memberi cadangan tentang gaya dan bahan yang sepatutnya digunakan.
“Kadang-kadang pemilik rumah tidak tahu bahan yang mereka mahukan sebenarnya memakan kos yang tinggi, sedangkan mereka punya pilihan yang lebih murah tetapi masih cantik dan bergaya,” ujar Lokman lagi.
Sementara itu, Lokman juga memberitahu, syarikatnya yang sudah 15 tahun berada di dalam industri sentiasa peka dengan keperluan dan kehendak pengguna di Malaysia yang semakin terbuka tentang kepentingan hiasan dalaman sama ada untuk rumah sendiri mahupun unit komersial.
“Kami sentiasa maklum tentang selera rakyat Malaysia. Ada yang sanggup mengeluarkan belanja yang besar dan ada juga yang terikat dengan bajet. Terus-terang saya katakan, kami mampu memenuhi kehendak pengguna ini.
“Jika mereka punya bajet dan sanggup membayar, mereka boleh mendapatkan khidmat rundingan penuh dan kami akan buat rekaan yang khas untuk mereka.
“Bagi mereka yang bajetnya tidak tinggi, bolehlah melihat rekaan sedia ada yang kami pamerkan di galeri bangunan pejabat kami. Rekaan-rekaan sedia ada tiada sebarang caj rundingan dikenakan,” ujar beliau lagi.
10 skim hiasan dalaman terbaik 2023 untuk inspirasi
Sempena meraikan pencapaian mereka yang dapat berpindah ke bangunan baru serba moden baru-baru ini, Lokman dan rakan-rakan sekerjanya telah menampilkan 10 skim hiasan dalaman 2023 bagi memberi inspirasi kepada pengguna yang mahu mengubah suai rumah atau unit komersial mereka.
10 skim hiasan dalaman 2023 ini diilhamkan ketika rakyat Malaysia masih bergelut dengan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).
“Kami menyedari bahawa rakyat Malaysia kini bersikap lebih terbuka apabila berbicara mengenai hiasan dalaman rumah mereka.
“PKP membolehkan orang ramai meluangkan lebih banyak masa di media sosial dan internet dan seterusnya mendedahkan mereka kepada pelbagai idea hiasan dalaman yang lebih bergaya dan up-to-date,” ujar pengasas bersama IDW, Rabiatul Adawiyah Rasol.
Tambah Rabiatul yang juga merupakan isteri kepada Lokman, konsep-konsep yang dipilih kali ini membolehkan rakyat Malaysia meneroka dengan lebih lanjut tentang bagaimana kehadiran perunding hiasan dalaman mampu memberi impak yang lebih ketara kepada hiasan kediaman mereka, sekali gus dapat mencipta suasana kediaman mengikut gaya atau mood yang mereka idamkan selama ini.
Berikut adalah 10 skim hiasan 2023 yang telah diperkenalkan oleh mereka.
1) Maximalism
Gaya reka bentuk ini sesuai dengan mereka yang suka bermain dengan tona warna, aksesori yang berpadanan dan menyerlah serta tidak takut memadankan pelbagai warna dan corak untuk gaya lebih berani. Sesuai dengan namanya maximalism, semuanya diberi perhatian semaksimum yang mungkin!
2) Kontemporari klasik London (London Classic Contemporary)
Gaya England ini adalah mengenai keanggunan yang diperhalusi, buatan tangan dan rekaan berkualiti yang digabungkan untuk mencipta gaya sofistikated dan mencerminkan gaya individu anda. Gaya yang sesuai untuk warga kota yang sentiasa sibuk.
3) Mewah (Luxe)
Mereka yang suka nampak mewah, glamor dan hebat, ini adalah gaya yang patut anda pilih. Segenap sudut dihiasi dengan material yang ditempah khas atau sukar ditemui, berkualiti tinggi dan lebih halus.
4) Pesisir pantai (Coastal)
Gaya pantai menekankan tona yang lebih cerah dan menerima perabot kasual dalam lapisan neutral untuk mencipta suasana yang selesa dan menenangkan. Unsur-unsur tepi laut semula jadi yang dipantulkan—pasir, kerang laut dan langit—sesuai dengan mereka yang menyukai lautan.
5) Desa (Country)
Reka bentuk dalaman desa ialah gaya hiasan kasual dan selesa yang menggambarkan kehidupan desa yang santai. Elemen yang paling banyak digunakan ialah kayu, batu-bata, bersama-sama dengan bahan semula jadi lain untuk mencipta suasana kediaman yang dekat di hati.
6. Indochina (Indochine)
Indochina ialah kombinasi nostalgia lama dari Asia Tenggara dan keindahan romantik Perancis. Ideal untuk pencinta estetik. Gabungan reka bentuk dalaman dari Timur dan Barat ini tidak pernah akan ketinggalan zaman untuk sebuah kediaman.
7) Tropika (Tropical)
Hiasan dalaman gaya ini tertumpu kepada penggunaan bahan semula jadi seperti buluh, rotan, kayu dan fabrik bercorak daun. Tona warna adalah percikan hijau terang, biru firus, merah jambu terang dan kuning.
8) Paris
Sesuai untuk yang berjiwa romantis dan mementingkan keanggunan. Ia adalah integrasi gaya klasik dan kontemporari. Keseluruhan gaya dipegunkan dengan lantai kayu dan panel dinding hiasan menawan.
9) Timur Tengah (Middle East)
Hiasan dalaman rumah Timur Tengah terkenal dengan warna-warna yang berani dan terserlah kemewahannya. Mereka yang meminati gaya ini selalunya seorang yang menghargai budaya dan kesenian sesebuah tempat.
10) Minimalis moden (modern minimalist)
Minimalis moden ialah reka bentuk yang menggabungkan perabot yang ringkas dan bergaya. Warna-warna neutral digunakan untuk mencipta ruang yang elegan dan mencipta ilusi ruang yang lebih luas. Jika anda seorang yang sukakan hiasan yang tidak berlebih-lebihan, ini adalah gaya untuk anda.
Guna aplikasi untuk penjimatan
Jika anda mempunyai kekangan kewangan, khidmat perunding hiasan dalaman mungkin terpaksa dilupakan dahulu bagi memberi laluan kepada perbelanjaan yang lebih penting. Namun, ini bukanlah bermakna rumah impian perlu dikorbankan.
Anda masih boleh memiliki rumah impian, boleh buat hiasan dalaman dengan sendiri, tetapi mesti dapatkan rujukan. Buat banyak kajian dengan mencari sebanyak mungkin maklumat yang diperlukan.
“Jika anda tiada bajet, itu bukan bermakna anda harus lupakan konsep rumah impian anda. Anda masih boleh realisasikannya dengan membuat banyak rujukan dan kajian.
“Sekarang semuanya di hujung jari. Banyak maklumat yang boleh anda dapati jika anda rajin. Selain melihat-lihat konsep atau gaya yang anda mahukan, jangan sesekali abaikan gaya hidup anda.”
“Ini kerana hiasan dalaman rumah anda seharusnya praktikal dengan gaya hidup anda. Jika tidak, mungkin hiasan dalaman yang anda pilih itu pada akhirnya tidak menggembirakan hati.
“Contohnya, mereka yang berkeluarga dan punya anak-anak kecil mungkin memerlukan ruang penyimpanan yang lebih banyak berbanding mereka yang hidup sendiri,” jelas Lokman.
Selain itu, anda juga boleh bertindak bijak dengan menggunakan pelbagai aplikasi pintar yang boleh didapati dalam toko aplikasi pada telefon pintar anda.
Antaranya ialah IDW Design Super Apps yang merupakan aplikasi hiasan dalaman yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia. Dengan memuat turun aplikasi ini anda boleh mendapatkan idea untuk menambah baik atau memperbaharui hiasan dalam rumah anda dengan bijak dan menjimatkan.
Antara ciri-ciri yang terdapat dalam aplikasi ini ialah perkhidmatan reka bentuk dalaman dan seni bina (interior design and architecture services), rekaan inspirasi (design inspiration), tip dekorasi harian, surat berita (newsletter) mingguan dan juga ruang membeli (market hall).
“Aplikasi ini kami dedikasikan untuk mereka yang suka menghias rumah dan mengikuti perkembangan dunia hiasan dalaman. Tiada caj dikenakan untuk memuat turun aplikasi ini. Jadi sesiapa sahaja boleh muat turun aplikasi ini untuk memudahkan anda membuat rujukan.
“Salah satu ciri aplikasi ini ialah, ia disertakan dengan kalkulator untuk mengira anggaran kos untuk rekaan hiasan dalaman yang pelanggan mahukan.”
“Jadi, sebelum pelanggan bertemu dengan perunding hiasan dalaman, mereka sudah ada gambaran tentang jumlah kos yang diperlukan.
“Sekiranya pelanggan mahu buat ubah suai sendiri, mereka juga boleh dapatkan pelbagai jenis produk di ‘market hall’,” ujar Lokman mengakhiri perbualan panjang kami tempoh hari.
DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN
Editor Gaya Hidup & Hiburan : Shah Shamshiri
Teks : Rahayu MN
Penyelaras : Rahayu MN & Shamsul Bahrin Zainuzzaman
Suntingan Teks : Ili Farhana
Gambar, Arahan Seni & Penataan Gaya : IDW Design & Build Sdn. Bhd
Rekaletak : Abdul Hanif Zahari
(Sekalung penghargaan buat Lokman Hakim Ahmad Saberi, Rabiatul Adawiyah Rasol dari IDW Design & Build Sdn. Bhd.)