Superbugs ialah bakteria, parasit, virus atau kulat yang berdaya tahan terhadap kebanyakan antibiotik atau ubat yang digunakan untuk merawat gejala penyakit. Tidak dapat dilihat dengan mata kasar, sebenarnya setiap manusia bertanggungjawab ke atas kewujudan musuh lutsinar ini!
Menurut sebuah kajian bertajuk The Lancet (2019), superbugs didapati menjadi punca kepada kematian hampir 5 juta nyawa di seluruh dunia. Ini termasuklah kira-kira 1.2 juta kematian yang berkaitan secara langsung dengan superbugs.
Pada 2017, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberikan amaran tentang ancaman superbugs terhadap kesihatan manusia. Antibiotik yang boleh melawan superbugs sepenuhnya tidak dapat dihasilkan tepat pada waktunya.
Kami mendapatkan Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Profesor Chin Beek Yoke dari International Medical University (IMU) untuk memberikan pencerahan serta berkongsi maklumat serba sedikit tentang pengalaman klinikalnya berkenaan superbugs.
Apa sebenarnya superbugs ini?
Profesor Yoke menjelaskan superbugs ialah satu istilah yang diwujudkan oleh pakar perubatan bagi menjelaskan bakteria yang tahan pelbagai ubat (MDR).
“Bakteria-bakteria ini berupaya memintas kesan antibiotik, lalu membiak secara tidak terkawal dalam perumahnya.
“Bakteria sangat bijak kerana ia mampu bermutasi untuk mengatasi keberkesanan antibiotik sedia ada.
“Apabila bakteria ini mempunyai gen rintangan, ia boleh berganda secara pembiakan kendiri atau bergabung untuk membiak dengan spesis bakteria yang berbeza.
“Begitulah caranya, bakteria ini secara semula jadi membina ciri rintangan terhadap pelbagai jenis ubat dan antibiotik.
“Namun, superbugs ini bukanlah tidak boleh dihapuskan, tetapi ‘senjata’ kita dalam bentuk antibiotik untuk menewaskannya adalah sangat terhad,” jelas Profesor Yoke.
Antara penyebab utama yang menyebabkan superbugs ini semakin berleluasa ialah kerana terlalu banyak pemberian antibiotik yang tidak perlu, antibiotik tidak diluluskan, antibiotik haram serta pesakit yang tidak menghabiskan preskripsi antibiotik mereka.
“Contohnya kes penyakit TB, di mana strain bakteria yang tahan rintangan ubat menjadi bertambah parah kerana pesakit tidak melengkapkan rawatan TB mereka.
“Superbugs juga boleh terjadi sekiranya pesakit diberikan rawatan yang salah, tidak mendapat ubat-ubatan yang betul atau mendapatkan ubat dari pasaran gelap.
“Perkara-perkara seperti inilah sebenarnya membuka laluan yang luas kepada terciptanya lebih banyak superbugs!” tegas Profesor Yoke.
Selain itu, ramai pesakit yang tidak peduli untuk menghabiskan antibiotik, “Ada masanya kita merasakan kita sudah sihat tetapi tiada bukti sahih untuk mengesahkan sama ada bakteria di dalam badan sudah ‘dibunuh’ sepenuhnya ataupun belum.
“Ada juga yang menyimpan antibiotik mereka untuk kegunaan masa hadapan. Apabila merasa tidak sihat, mereka mengambilnya semula tanpa preskripsi doktor tanpa mengetahui sama ada mereka menghidapi jangkitan virus atau bakteria.
“Tambah lagi, pengambilan antibiotik yang tidak lengkap, tidak mampu menghentikan pembiakan bakteria. Ini membolehkan MDR berkembang dan membenarkan bakteria dalam badan untuk membina ketahanan dan rintangan terhadap ubat-ubatan,” jelas Prodesor Yoke.
Hentikan pembiakan superbugs!
Superbugs berada di mana-mana! Tabiat-tabiat kebersihan seperti memastikan permukaan terbuka sentiasa dilap atau hanya membawa masuk barangan bersih ke dalam rumah adalah suatu perkara yang baik.
“Buah-buahan dan sayuran yang baru dibeli perlu dibasuh terlebih dahulu sebelum disimpan atau dimasak. Ia menghalang bakteria daripada membiak.
“Jangan membiasakan diri mencuba rasa buah-buahan di gerai buah atau pasar raya secara langsung. Jika mahu cuba sekalipun, lap atau kesatlah buah itu terlebih dahulu dengan tisu basah.
“Cara lain, kita sepatutnya memakai kasut semasa berjalan di kawasan luar. Elakkan berjalan di kawasan yang tanah dan airnya kelihatan tidak bersih. Ini kerana superbugs boleh melekat pada kulit dan memasuki tubuh melalui luka,” jelasnya.
Profesor Yoke turut menambah berhati-hati itu perkara baik, tetapi tiada sebab untuk berasa panik sekiranya anda termakan bakteria.
“Perut kita lazimnya mempunyai asid perut yang mencukupi untuk membunuh bakteria. Ramai antara kita turut mempunyai sel imun semula jadi yang memadai untuk melawannya.
“Namun begitu, orang yang mempunyai sistem imun yang lemah perlu lebih berjaga-jaga supaya tidak terkena jangkitan bakteria,” tambah Profesor Yoke.
Akhir sekali, Profesor Chin menegaskan, salah satu cara paling mujarab untuk melawan superbug ini ialah melalui pendidikan dan kesedaran. Masyarakat perlu memahami kewujudan MDR.
“Jika mereka tidak tahu, maka wujudlah ketakutan dan salah maklumat. Mudah sahaja sebenarnya, majoriti superbug ‘dicipta’ manusia sendiri iaitu melalui ‘pencemaran antibiotik’.
“Maka terpulanglah kepada kita bagaimana kita mahu melawan penjahat-penjahat mikro yang memberi kesan yang sangat besar terhadap kesihatan kita ini,” akhiri Profesor Yoke. – Getaran, 11 September 2022