Kumpulan Ubi menepati ramalan ramai apabila diumumkan juara Muzikal Lawak Superstar musim ketiga (MLS3) yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, di sini malam tadi.
Kumpulan Ubi yang dianggotai pelawak Fad Bocey, Sharif Zero dan Namie bersyukur kerana dipilih sebagai pemenang bagi edisi kali ini.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada juri-juri kerana memberikan input setiap minggu supaya kami mampu memberi yang terbaik, bukan untuk kami, tetapi untuk semua terhibur,” kata mereka selepas menerima trofi kemenangan itu.
Kemenangan kumpulan itu melayakkan mereka membawa pulang RM150,000 beserta trofi sekali gus menewaskan tiga finalis lain iaitu Kumpulan CILI, Kumpulan BAHROY dan Kumpulan OOD.
Persembahan final, UBI mendapat pujian hebat daripada juri tetap iaitu Najip Ali yang menyifatkan lawak mereka sebagai kreatif dan sungguh luar biasa.
“Persembahan kreatif, anda beri tanpa batasan. Idea sangat luar biasa. Anda sudah berikan seni lawak yang berkesan,” ujarnya dengan memberi lima bintang bagi persembahan mereka di pentas akhir itu.
Ubi berjaya memberikan persembahan mantap dalam dua pusingan di pentas akhir itu. Pusingan pertama bertemakan benua Australia, manakala pusingan kedua bertemakan bebas dan mereka meraih lima bintang bagi kedua-dua persembahan.
Sementara itu, kumpulan Cili yang dianggotai Ali Puteh, Achey dan Shiha Zikir diumumkan sebagai naib juara dan menggondol wang tunai sebanyak RM75,000.
Tempat ketiga pula menjadi milik Kumpulan Bahroy yang dianggotai Nizam Jentik Jentik, Shashic Eiwan dan Roy Azman wang membawa pulang wang tunai RM50,000.
Manakala kumpulan finalis terakhir OOD yang dianggotai Man RL, Chiwan dan Zahid diumumkan menduduki tempat keempat. Kemenangan tersebut melayakkan mereka memenangi wang tunai dan membawa pulang RM25,000 beserta trofi.
Dalam pada itu Shiha Zikir dari kumpulan CILI berjaya mengalas gelaran Superstar Paling Gempak secara keseluruhan musim ketiga ini.
Finalis MLS3 diadili 75 peratus oleh juri tetap iaitu Datuk Awie, Siti Saleha dan Najip, manakala 25 peratus lagi undian daripada penonton awam.
Pentas akhir yang dihoskan Sharnaaz Ahmad dan Elly Mazlein siaran secara langsung di saluran Astro Warna HD (107) itu turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Khir Rahman dan Luqman Hafidz. – Getaran, 24 September 2022,