Industri teknologi permainan kini semakin mendapat perhatian dan berkembang luas di rantau asia mahupun dunia. Pelbagai inisiatif dicipta untuk membuka peluang dalam kalangan rakyat Malaysia terutama golongan muda untuk menceburi bidang ini.
Di Malaysia, kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) turut mengorak langkah bersama-sama membangunkan permainan video atau permainan dalam talian dan seumpamanya
‘LEVEL UP KL 2022’ atau Persidangan Pembangun Permainan Asia Tenggara kali kelapan anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) diadakan baru-baru ini, secara fizikal melibatkan 1,500 peserta, 80 penceramah serta lebih 100 pempamer dari seluruh dunia.
Ia merupakan sebuah pameran mengenai industri permainan video digital yang mensasarkan pemerkasaan industri tersebut ke arah hab permainan serantau menjadikan Malaysia sebagai negara yang memiliki pemain yang hebat dan lokasi pertandingan terbaik di dunia.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, ‘LEVEL UP KL 2022’ merupakan komitmen kerajaan dalam mewujudkan dan memperkasa Malaysia sebagai peneraju ekosistem permainan video digital bertaraf dunia di Asia Tenggara.
“Acara ini akan mempamerkan potensi bakat dalam industri permainan Malaysia kepada pemain antarabangsa, mewujudkan peluang untuk perkongsian dan pelaburan masa depan dari serata dunia,” tambahannya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts. Mahadhir Aziz memaklumkan bahawa ‘LEVEL UP KL 2022’ kali ini adalah sejajar dengan inisiatif strategik nasional yang dilancarkan baru-baru ini iaitu Malaysia Digital (MD). Ia bertujuan untuk menggalak dan menarik bukan sahaja syarikat, tetapi juga bakat dan pelaburan.
Pada acara kali ini juga, MDEC akan menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dalam industri permainan pertama bersama Nine66 iaitu sebuah syarikat permainan yang berpangkalan di Arab Saudi. Ini bagi meneroka dan mempromosikan kerjasama pembangunan permainan antara Malaysia dan Arab Saudi.
Kedua MoU bersama Magnus Games Studio yang merupakan studio permainan tempatan, bagi mempromosikan inisiatif dan projek Metaverse khususnya dalam Festival Kandungan Digital Malaysia 2022 (MYDCF) yang akan datang.
Melalui MoU ini, Magnus Games akan menyokong aspek pemasaran dan promosi MYDCF di platform Metaverse mereka.
Akhir sekali MoU Bersama SEA Gamer Mall (SEAGM) untuk melancarkan Festival Permainan Malaysia (Malaysia Game Fest). Inisiatif yang didorong oleh MDEC ini bertujuan untuk mempromosikan produk permainan tempatan dan membudayakan pengkomersialan hak harta intelek dengan memanfaatkan rakan platform Asia Tenggara.
Justeru itu, ‘LEVEL UP KL 2022’ akan terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau dengan mewujudkan ekosistem kandungan digital yang kondusif, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.
Pada masa sama, ini bagi mendedahkan serta mewujudkan kesedaran terhadap teknologi permainan baharu dengan menyediakan platform kepada masyarakat berinteraksi, belajar dan berkongsi pengetahuan dalam dunia pembangunan permainan. - Getaran, 9 Oktober 2022