Artis yang menceburi bidang perniagaan adalah sesuatu yang tidak asing lagi di mana-mana.
Namun di kalangan mereka ini, tidak ramai yang berkemampuan memiliki hotel atau resort mereka sendiri.
Di Indonesia ada beberapa artis terkenal yang mempunyai perniagaan sedemikian.
Antaranya adalah penyanyi veteran, Hetty Koes Endang , penyanyi dangdut, Inul Daratista dan pelakon serta penyanyi Marshanda.
Mereka boleh dianggap sebagai usahawan yang berjaya sehingga mampu memiliki resort mereka sendiri.
Pasti ramai yang tidak tahu bahawa penyanyi serta penghibur legenda terkenal, Hetty Koes Endang adalah pemilik Kalana Resort & Villa yang terletak di Jalan Kebun Raya Cibodas, Bogor, Indonesia.
Perjalanan ke resort ini hanya mengambil masa sekitar satu jam jika memandu dari Jakarta. Kawasan peranginan ini amat sesuai buat mereka yang mengimpikan suasana ala country living berdekatan dengan alam semula jadi.
Sekiranya tidak menyanyi atau menjadi juri untuk program televisyen, Hetty yang mesra disapa sebagai bunda Hetty itu biasanya akan berehat seketika untuk menghirup udara segar dalam suasana dingin di resort miliknya bersama suami tersayang, Yusuf Erwin Faisal.
Eksklusif kali ini, kami telah menghubungi bunda Hetty di Jakarta untuk berkongsi perihal dirinya sebagai seorang usahawan.
Pada asalnya, kawasan peranginan miliknya itu telah dibuka 12 tahun lalu hanya sebagai penginapan untuk anggota keluarga ketika anak-anaknya masih kecil lagi.
“Anak-anak saya waktu kecil, mereka belum tau bermain golf tapi bermain bola keranjang di resort. Bila sudah besar, sibuk dengan pelajaran, mereka jarang ke resort. Banyak kali pengunjung datang ke resort bertanya jika biliknya boleh disewa. Kebetulan kita juga ada perniagaan kayu di Jakarta,” kata penyanyi yang popular dengan lagu 'Kasih' itu.
Dari situ, Hetty sekeluarga membuat keputusan untuk membangunkan resort dan vila Kalana menggunakan kayu yang sudahpun dimiliki mereka sebagai bahan untuk membina kesemua bilik serta perabot-perabot di resort tersebut.
“Kita sudah punya bahan mengapa harus kita beli lagi kerana kalau kita panggil orang untuk membangunkan rumah kayu, ia akan menjadi lebih mahal,“ tambahnya lagi.
Resort yang mempunyai 34 bilik itu sudah pun tersenarai dalam kebanyakan platform langganan penginapan digital seperti Agoda dan seumpamanya.
Menurut bunda Hetty, beliau ada sebab mengapa memilih untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
“Kita harus pandai melabur dan harus pintar simpan (wang) kerana kita tidak menyanyi selamanya. Selagi kita masih lagi produktif apa lagi setelah pandemik ini semua terasa, kan?” ujarnya.
Anak lelakinya bernama Amir yang memiliki ijazah dalam bidang perniagaan memilih untuk menguruskan resort milik kedua orang tuanya. Pada masa yang sama, Hetty tetap memantau juga urusan resort tersebut.
Kalana Resort mempunyai dua kolam renang selain berdekatan dengan sebuah sungai yang memudahkan tetamu bermandi-manda di sungai yang airnya bersih dan jernih.
“Mungkin susah melihat sungai sekarang. Selain air dari gunung, anak-anak juga boleh perah susu lembu berdekatan resort kita.
“Konsep seperti country living, tidak mewah tapi yang dicari adalah kenyamanan, dingin dan enak untuk tidur kerana di Jakarta tercemar udaranya dan panas. Kalau malam suhu boleh mencecah 16 darjah celsius di resort,” tambahnya lagi.
Malah, tetamu boleh juga mengadakan majlis taman seperti majlis perkahwinan seramai 400 orang (namun harus akur dengan prosedur operasi standard sewaktu pandemik kini).
Hetty yang seringkali juga menginap di resort miliknya menjelaskan, tempahan di resort tersebut penuh selalunya. Sekiranya mereka bernasib baik, mereka akan terserempak dengan penyanyi yang pernah membawakan lagu-lagu ciptaan komposer Datuk Ahmad Nawab sebelum ini.
“Kebanyakan tetamu dapat lihat foto keluarga bunda di kaunter penyambut tetamu hotel. Mereka bertanya dan terperanjat. Kalau ada rezeki jika saya tidur di resort, mereka selalu minta berfoto sewaktu check out.
“Tapi kala pandemik ini tamu tetap harus pakai pelitup muka dan jaga jarak. Ada yang minta ibu buka pelitup muka tapi ibu kata tak boleh, kita harus tetap mengenakannya.”
Beliau merasa sangat bahagia melihat tetamu bersama keluarga masing-masing yang seronok bercuti di resort miliknya itu. Itu juga kepuasan baginya kerana formula yang beliau lakarkan bersama keluarga untuk Kalana Resort menjadi.
“Saya lihat mereka gembira saat mereka bersarapan apabila saya mengintip dari tingkap kamar saya. Itu satu kebahagian kerana mereka datang ke resort seperti rumah sendiri.
“Berbeza kalau tidur di hotel kerana konsep resort ibu memberi kenyamanan. Anak-anak tamu pun gembira berenang di kolam-renang waktu malam walaupun dingin.”
Saat ditanya adakah penghibur tersebut turut terjejas disebabkan oleh COVID-19 seperti yang dirasakan oleh penyanyi-penyanyi lain di negaranya, bunda Hetty menjawab tenang.
“Oh tidak, kerana ibu ada kesibukan lain. Ibu juga sibuk dengan persiapan anak ibu, Afifah yang berkahwin tahun lepas. Itu yang membuat ibu tidak boleh jadi juri Gegar Vaganza tahun lepas,” akuinya kepada kami.
Ternyata, dialog trademark beliau yang seringkali diucapkan sewaktu siaran langsung program Gegar Vaganza iaitu ‘tembakannya tepat’ amat dirindui oleh penggemar GV. Pihak produksi juga mengharapkan agar Hetty Koes Endang dapat kembali menjadi juri tetap untuk tahun ini.
Namun disebabkan beliau juga diminta menjadi juri untuk program realiti DA Asia di Jakarta juga pada Oktober ini membuatnya bingung membuat keputusan untuk memilih DA Asia atau GV.
“Ibu harus pilih yang mana satu tahun ini? Bingung ibu. GV minta ibu kerana ramai peminat minta ibu menjadi juri GV tahun ini. Masih sedang fikir. Mudah-mudahan sudah ada kelonggaran di Malaysia nanti jadi tidak terlalu lama dikuarantin.
“GV bermula Oktober dan anak saya Afi dijangka bersalin 22 September jadi ibu nanti hanya boleh bermanja dengan cucu cuma dua minggu inshaAllah,” katanya mengakhiri bicara.
Sempena bulan Ramadan ini, Hetty Koes Endang juga mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dengan penuh kesabaran dalam keadaan pandemik sekarang ini kepada kesemua pembaca Getaran. – Getaran, 25 April 2021.
Semua gambar: Ihsan Hetty Koes Endang, kecuali tertera