Masih demam dengan karya filem Wes Anderson? Atau anda sudah melupakannya? Jika anda salah seorang yang masih tidak jemu mencipta simetri dan skema warna ikonik untuk dikongsi di media sosial, perkongsian ini mungkin menarik perhatian!
Bagi mereka yang ingin membintangi filem Wes Anderson mereka sendiri, Airbnb dan Universal Pictures telah berkongsi beberapa penyenaraian dari seluruh dunia yang menepati estetiknya.
Daripada The Grand Budapest Hotel kepada filem baharunya Asteroid City, sekaligus memberikan peminat peluang untuk mencipta semula momen filem Wes mereka sendiri, sama seperti Jason Schwartzman dan Scarlett Johansson.
Asteroid City, yang bakal ditayangkan di pawagam pada bulan ini, berlatar belakangkan sebuah bandar padang pasir fiksyen sekitar tahun 1955.
Dalam filem itu, sebuah konvensyen Junior Stargazer/Space Cadet yang dianjurkan untuk membawa pelajar dan ibu bapa dari seluruh negara untuk sebuah pertandingan ilmiah, terganggu akibat peristiwa-peristiwa yang mengubah hidup mereka.
Bersiap sedialah untuk filem ini dengan menerokai penginapan-penginapan Airbnb di bawah, yang menawarkan suasana yang ideal untuk sesiapa sahaja yang bermimpi untuk mencipta semula momen mereka sendiri yang diilhamkan oleh Wes Anderson.
1. Off Grid and Forty Feet Up, Tiller, Oregon, AS
Penginapan yang dihoskan oleh Dabney And Alan mendapat ulasan cemerlang. Dek kerana itu tempahannya telah penuh sehingga Oktober hadapan. Penginapan ini boleh memuatkan tetamu sehingga empat orang.
2) Futuro styled Flying Saucer, Redberth, UK
Bermalam di dalam piring terbang pasti menyeronokkan, biarpun ia tidak mampu terbang. Terletak di Redberth, United Kingdom mempunyai dua bilik dan sebuah bilik air yang boleh memuatkan empat orang dewasa. Bahkan, anda juga dibenarkan membawa haiwan peliharaan.
3) Camp Grits Solar Yellow Camper, Tennessee, AS
Camp Grits' Solar yellow Camper terletak di halaman di antara kediaman pemiliknya sendiri. Biarpun kecil, tidur malam anda pasti lena kerana ia menyediakan linen vintaj yang lembut, banyak ruang untuk bermalasan sambil membaca buku, bermain permainan papan di meja atau memasak di atas dapur propana. Bayangkan anda bercuti di sini pada musim luruh atau sejuk, pasti persekitarannya cukup luar biasa.
4) Private island, Vesterøy, Norway
Norway negara yang terkenal dengan keindahan semula jadi yang menakjubkan. Benar bercuti ke sini memerlukan bajet yang bukan sedikit. Namun, jika anda pergi secara berkumpulan, perbelanjaan boleh dikongsi bersama.
Penginapan yang satu ini merupakan sebuah kabin kecil di pulau persendirian seluas 10, 000 meter persegi di kepulauan Hvaler yang mencabar. Boleh menampung satu keluarga (2+3) atau empat orang dewasa (2+2).
5) Kind of Blue 1959 Airstream, Joshua Tree, California
Penginapan yang diubah suai menjadi ruang moden yang minimum ini diilhamkan oleh padang pasir yang mengelilinginya. Persembunyian yang sempurna untuk anda melarikan diri daripada sebarang gangguan. Isi masa terluang dengan berkarya dan bersatu dengan alam.
6) Pop art apartment, Casamassella, Puglia, Itali
Penginapan yang satu ini memang mampu membuat sesiapa pun tersenyum puas. Cantik! Kekal dalam karya seni yang sebenar. Pangsapuri ini telah dicipta oleh tukang-tukang Salento dan artis muda untuk menawarkan pengalaman yang benar-benar unik, dengan warna, rujukan yang menyeronokkan dan aksesori perabot yang tidak dijangka.
7) Colorful Canalside Flat, Venice, Itali
Hotel-hotel yang terletak di kawasan tumpuan utama pelancong di Venice bukanlah murah. Jadi lebih baik pilih penginapan yang membolehkan anda berkongsi dengan teman-teman.
Penginapan tiga bilik yang boleh memuatkan lapan orang tetamu ini dipenuhi dengan warna-warna cerah dengan lukisan yang menarik dan permaidani. Ia mempunyai taman peribadi yang rimbun di bahagian belakang.
Sangat mudah untuk diakses, hanya 5 minit berjalan kaki dari stesen kereta api dan 10 minit dari hentian bas dan tempat letak kereta di Piazzale Roma. Manakala dari Riva di Biasio hanya 3 minit berjalan kaki dan 5 minit dari hentian bas air S. Tomà.
8) Secret Suite, Santorini, Greece
Penginapan ini telah diubah suai dengan cantik menjadi sebuah rumah yang cerah, ceria dan selesa. Terletak hanya beberapa minit dari perkampungan Oia. Jika anda pencinta matahari terbenam, Secret Suite menjanjikan pemandangan yang menakjubkan.
Penginapan ini terdiri daripada satu bilik tidur dengan katil bersaiz ‘queen’ dan satu bilik mandi dengan pancuran mandian. Ia juga mempunyai dapur kecil dan ruang makan yang menghadap pemandangan laut yang memukau. Bahkan, tab mandinya juga terletak di balkoni luar. - Getaran, 17 Jun 2023
Peringatan : Semua penginapan ini yang disenaraikan ini adalah untuk rujukan dan sebagai inspirasi anda merancang percutian. Airbnb dan Getaran tidak mengesyorkan atau mengendors penyenaraian ini atau mana-mana penginapan lain di platform.