Selalunya jika ke luar negara, penulis lebih suka menginap di hotel kerana ia menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk keselesaan tetamu. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk bermalam di rumah percutian kerana ‘malas’ untuk mengemas ini dan itu.
Namun, persinggahan penulis ke Tokyo pada hujung Januari lalu lain pula ceritanya. Demi sebuah pengalaman yang berbeza di negara matahari terbit itu, penulis mengambil kesempatan untuk menginap di rumah percutian warga tempatan.
Pencarian di platform Airbnb membawa penulis ke SY House, yang terletak di Honmachi, Shibuya City, Tokyo. Satu faktor yang membuat hati tertarik untuk menginap di sini adalah, rumah ini bolehlah dikatakan masih baru kerana ia hanya siap dibina pada 2020. Selain itu, foto-foto yang dikongsi juga cantik. Begitu juga dengan ulasan daripada tetamu terdahulu, semuanya positif.
Bagaimanapun, ada satu kekurangan iaitu kemudahan pengangkutan awam. Satu-satunya stesen kereta api bawah tanah yang ada di Honmachi adalah Stesen Hatsudai di Laluan Baharu Keiō (laluan merah).
Tapi, tak kisah pun kerana penulis memang mahu mengambil teksi sebaik sampai dengan beg besar. Hari-hari lain boleh sahaja berjalan kaki selama 10 ke 15 minit untuk ke stesen kereta api.
“Bolehlah nikmati dinginnya cuaca di musim sejuk”, itu yang terlintas di fikiran.
Paling penting, penulis mahu tinjau keadaan rumah warga Tokyo yang kos sara hidupnya cukup tinggi.
Selama seminggu menginap di rumah ini, tidak ada kejadian yang menjengkelkan berlaku. Semuanya okay. Ia adalah sebuah rumah tiga tingkat dengan dua bilik tidur dan ruang tamu yang selesa, di kawasan kejiranan yang sangat tenang dan selamat.
Biarpun tiga tingkat, ia adalah rumah kecil yang ideal untuk dua hingga empat orang tetamu. Tingkat bawah menempatkan bilik mandi dan bilik tidur kedua serta ruangan mesin basuh.
Tingkat dua pula menempatkan ruang tamu yang bersambung dengan ruang makan dan dapur, serta tandas. Manakala tingkat paling atas menempatkan bilik tidur utama.
Pujian untuk pemilik rumah, Seika Yoshioka kerana memastikan kebersihan rumah ini ‘tip top’. Kemudahan yang disediakan juga lengkap.
Selain mesin basuh, dapur modennya lengkap dengan ketuhar gelombang mikro, pembakar roti dan mesin kopi. Malah, alatan dan bahan-bahan untuk memasak seperti garam, gula, dan beras juga turut tersedia. Memang tak lokek.
Seronok dapat bermalas-malasan macam di rumah sendiri. Patutlah ramai kenalan yang suka tempah Airbnb apabila bercuti. Selain boleh susun jadual sendiri, boleh merasai pengalaman berada di kejiranan luar negara. Jauh dari hiruk-pikuk walaupun jaraknya tidaklah sejauh mana.
Lain, memang lain. Biarpun rumah dibina dekat-dekat, tetapi suasana sekeliling sepi. Sesekali terdengarlah jiran yang lalu-lalang di hapadan rumah. Oh ya! Kawasan sekeliling juga bersih.
Pendek kata, penulis memang berangan kononnya sudah menetap di luar negara. Jalani hari ikut rentak sendiri, Bangun pagi, bancuh kopi, sediakan sarapan ringkas, dan tonton Netflix. Menjelang tengahari, barulah keluar untuk makan tengahari dan ke tempat-tempat menarik.
Mungkin anda bukanlah pengembara yang ‘sekepala’ dengan penulis, tetapi inilah yang boleh dilakukan jika anda bermalam di rumah percutian. Tiada orang luar, hanya anda dan pasangan atau keluarga. Lebih privasi, mungkin juga lebih menjimatkan kerana anda boleh sediakan makanan sendiri.
Maklumlah harga makanan di Tokyo bukanlah murah. Harga semangkuk ramen pun boleh mencecah RM50. Bayangkan jika anda bercuti sekeluarga, dan perlu makan di luar sebanyak dua atau tiga kali sehari. Tinggi juga kosnya bukan?Cuma adalah ‘house rules’ yang perlu patuhi. Hormatilah hak orang lain.
SY House juga menyediakan kemudahan WiFi seandainya anda perlu bekerja. Jadi tak perlu risau.
Kalau punya rencana ke Tokyo dan berkenan dengan rumah comel ini, boleh buat tempahan di platform Airbnb. Apa-apa kemusykilan boleh ajukan soalan di situ sebelum buat tempahan. Kalau tak suka, boleh cari yang lain kerana ada senarai yang panjang di platform itu. – Getaran, 4 Mac 2024