Dunia kenderaan kuasa elektrik (EV) menjadi kecoh baru-baru ini susulan pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Motor, Elon Musk bagi membincangkan pelaburan Tesla di Malaysia. Seperti sedia maklum, Tesla membuka ibu pejabatnya di Cyberjaya, pada 20 Julai lalu.
Sebelum Tesla, banyak jenama kereta yang sudah memperkenalkan model EV di pasaran Malaysia antaranya Mercedes-AMG EQE 53 4Matic+, BMW iX dan Kia Niro serta beberapa motosikal elektrik. Namun, adakah Malaysia sudah bersedia membuat perubahan untuk menggunakan kenderaan EV?
Mari baca dan bincangkan perkongsian ini.
Secara amnya, tidak adil untuk mengatakan bahawa EV tidak sesuai untuk pasaran negara ini memandangkan peratusan rakyat Malaysia membeli atau menukar kereta baharu adalah tinggi. Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kenderaan di Malaysia meningkat 19 peratus pada Januari 2023 berbanding Januari tahun lepas.
Bagaimanapun, adakah kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan untuk kenderaan EV ini dipandu sudah mencukupi? Masalah asas yang sering kali berlaku dan diperkatakan ialah kekurangan tempat pengecasan dan jumlah unit parking EV.
Penulis mendapati ketika ini, beberapa stesen minyak, parkir pusat beli belah, kawasan rawat dan rehat serta hotel-hotel terpilih mempunyai kemudahan berkenaan tetapi dengan jumlah petak letak kereta yang terhad.
Sungguhpun alat pengecasan boleh dipasang di rumah pemilik EV, namun keberadaannya di tempat lain perlu diambil kira apatah lagi yang memandu jarak jauh.
Perkara ini berkait rapat juga dengan masa yang diambil untuk mengecas kenderaan EV. Masa pengecasan EV agak subjektif kerana ia bergantung kepada punca kuasa elektrik dan kadar baki bateri yang tinggal. Secara purata, bateri kereta EV biasa memerlukan 30-40 minit untuk mengecas sehingga 80 peratus.
Lama tak? Mungkin tidak terasa lama jika tiada pemandu EV lain yang ingin menggunakan alat pengecasan tersebut. Cuba bayangkan ketika musim perayaan atau cuti sekolah, pemandu EV pasti perlu beratur dan menunggu giliran seterusnya mengundang kesesakan lalu lintas.
Sudahlah petak parkirnya sedikit, masa diambil pun agak lama untuk ia dicas. Bukankah kenderaan ini menggunakan kuasa bateri, sudah tentulah amat penting kemudahan seperti ini diperkasakan.
Berbicara pula mengenai kos ganti pek bateri baharu, tahukah anda harganya boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit? Kita ambil contoh Tesla, kos penukaran sebuah baterinya bernilai antara $3,000 (RM14,000) and $7,000 (RM33,000) akan tetapi itu bateri sahaja.
Laporan Current Automotive pada 2021 menyatakan, seorang pemilik Tesla telah membelanjakan sejumlah $16,000 (RM74,720) untuk menukar pek bateri Tesla Model 3. Jumlah tersebut termasuk kos buruh ($2,299.27) berdasarkan kiraan $175 setiap jam dan penggantian bateri tersebut yang memakan masa melebihi 13 jam.
Jadi bersediakah anda untuk menanggung kos tersebut? Tepuk dada tanya selera.
Akhir sekali, ketersediaan mekanik yang terlatih tentang EV. Mungkin apabila Ibu Pejabat Tesla sudah buka di Malaysia, proses pembaikian dan penyelengaraan mampu dilaksanakan kerana sudah pasti mereka mempunyai mekanik yang terlatih.
Malah, anda akan berasa lega jika segala proses tersebut masih dalam tempoh jaminan. Habis tempoh jaminan pemilik masih boleh menghantar EV mereka ke pusat servis cuma harganya sudah tentu lebih mahal. Jadi mungkin satu polisi boleh dibuat untuk memanjangkan tempoh jaminan bagi pemilik EV seterusnya menambahkan lagi keyakinan rakyat Malaysia membeli kenderaan tersebut.
Pada masa sama, tanggapan bahawa pasti ada mekanik di luar sana yang mampu membaiki apa jenis enjin kenderaan, namun jangan sesekali menyamakan hal ini dengan EV kerana sebelum ini EV tak wujud di Malaysia untuk mekanik mempelajarinya.
Jadi mekanik yang berkemahiran EV ini amat penting dan perlu diperbanyakkan barulah rakyat Malaysia yakin, berani dan bersedia untuk menerima EV sepenuhnya.
Kesimpulannya, kehadiran EV di Malaysia perlu dilihat daripada aspek yang mempengaruhi manusia untuk bersedia melakukan peralihan kenderaan seperti kewangan, keselesaan, gaya hidup dan seumpamanya. Penulis berharap penerangan di atas dapat menjadi garis panduan dan ukuran untuk menjadikan Malaysia 100 peratus bersedia menerima kemasukan EV. – Getaran, 12 Ogos 2023