Setiap tahun menjelang Hari Kebangsaan, pastinya terdapat pelbagai iklan menarik yang dicipta oleh pelbagai jenama dan industri tempatan. Ada yang memaparkan semangat patriotik dengan jelas, ada juga yang membawa maksud tersirat.
Tahun ini, secara peribadi penulis berpendapat, iklan yang paling memberi makna kepada Malaysia sempena menyambut Hari Kebangsaan 2023 dihasilkan oleh RHB Group. Mari baca ulasan lima iklan terbaik sempena menyambut Hari Kemerdekaan negara tahun ini.
Samsung
Memaparkan iklan tentang perjalanan tiga sekawan berbangsa Melayu, Cina dan India sedang bercuti di Malaysia sambil merakamkan detik-detik bahagia menggunakan Samsung Galaxy Z Flip 4. Antara tempat yang dihadiri ialah Sekinchan, Pulau Perhentian, Air Terjun Lata Kinjang dan banyak lagi.
Iklan berkenaan turut memaparkan beberapa juadah enak di Malaysia seperti rojak, nasi lemak, cendol dan buah durian. Penceritaan iklan selama 2 minit 42 dua saat ini menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai banyak tempat untuk dikunjungi dan memperlihatkan betapa bertuahnya bumi ini, sesuai dengan slogan yang diberikan iaitu ‘Malaysia, There’s No Place Like Home”.
Shopee
Iklan Merdeka untuk platform e-dagang Shopee agak unik kerana menggunakan elemen wayang kulit untuk menyebarkan pengisian serta maklumat terhadap pencapaian negara sepanjang Shoppe bertapak di Malaysia.
Bukan sahaja menunjukkan kesenian wayang kulit dalam video tersebut, iklan ini juga menggunakan teknologi grafik dan animasi. Dengan penyampaian informasi menggunakan ayat “Kali Pertama” pada setiap permulaan penerangan, video tersebut menceritakan tentang sejarah dan kecemerlangan Malaysia.
Diakhiri dengan kenyataan Shopee yang merupakan platform pertama beli belah digital di Malaysia, iklan ini pasti memberikan nostalgia kepada ramai penonton.
Etiqa
Untuk iklan Merdeka Etiqa pula, ia memiliki sedikit nilai sentimental yang memberikan perasaan terharu dan bangga apabila mereka menayangkan pengorbanan seorang guru yang mengajar di perkampungan Orang Asli.
Guru tersebut menganggap setiap anak murid adalah keluarganya yang patut diambil berat walaupun berlainan bangsa dan agama. Selepas kehadiran murid di dalam kelas semakin merosot, dia mencipta bilik darjah di luar yang dinamakan ‘Sekolah Pokok’.
Selain memaparkan kaedah pengajaran digunakan, iklan ini turut menampilkan kan seni tarian, budaya dan pakaian komuniti Orang Asli. Lebih menarik, iklan ini mengambil inspirasi sebuah kisah benar yang berlaku di Malaysia.
Perodua
Dalam iklan Perodua pula, mereka menyajikan video berdurasi satu minit yang menyentuh semangat patriotik dalam diri.
Mesej dibawa amat jelas; jangan hanya memandang luaran seseorang kerana realitinya, tidak menampakkan secara nyata keghairahan menyambut Hari Kebangsaan bukan bermakna semangat itu hilang dari dalam diri.
Ini adalah perspektif yang unik berbanding subjek atau paparan secara terus tentang kepelbagaian kaum atau Hari Kebangsaan yang selalu dihasilkan sebelum ini.
RHB Group
RHB menampilkan Iklan ringkas namun memberi mesej yang sangat epik. Memaparkan masalah antara kaum yang berbeza agama dan budaya melalui warna baju berlainan sebagai metafora, iklan ini membawa mesej jelas iaitu mengelakkan sebarang pertelingkahan berunsur perkauman.
Plot twist yang menarik dipertontonkan apabila semua individu di dalam video tersebut tiba-tiba bertukar pakaian berwarna putih dan bersatu demi agama, bangsa dan negara dalam menyelesaikan masalah yang berlaku.
Semoga semua iklan yang disenaraikan ini mampu membangkitkan kesedaran dan semangat patriotisme kita. Selamat menonton! - Getaran, 2 September 2023