Walaupun Malaysia diberkati dengan sumber air yang mencukupi, tidak semua rakyat bernasib baik dapat menikmati bekalan air bersih untuk kegunaan harian dengan mudah.
Terutamanya masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman, mereka terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh semata-mata untuk mendapatkan sumber air yang bersih.
Sejak berkurun, penduduk di perkampungan Orang Asli di pedalaman Pahang memperolehi air untuk kegunaan harian dari perigi atau sungai berhampiran kerana kampung mereka yang terletak jauh di pedalaman menyukarkan mereka untuk mendapatkan bekalan air paip terawat.
Situasi ini mendedahkan mereka kepada bahaya penyakit bawaan air akibat pencemaran sungai yang meluas sejak kebelakangan ini. Ia secara tidak langsung menjadi salah satu penyumbang utama kepada pelbagai masalah kesihatan masyarakat Orang Asli pada hari ini.
Menyedari betapa pentingnya permasalahan yang mereka hadapi dalam mendapatkan akses air bersih yang terawat ini, Waterco Malaysia menyediakan penapis air bersama mesin tekanan air untuk sembilan perkampungan Orang Asli di sekitar Pekan dan Rompin, Pahang.
“Air merupakan salah satu keperluan terbesar dalam kehidupan manusia, namun hakikatnya masih ramai lagi belum dapat menikmati bekalan air bersih.
“Pandemik yang melanda negara turut menekankan kepentingan untuk gaya hidup yang sihat dan bersih bagi meningkatkan imuniti badan kita dalam mencegah sebarang jangkitan.
“Kami percaya keperluan kepada air bersih dan selamat di perkampungan Orang Asli dapat meningkatkan perlindungan dan keselamatan mereka daripada ancaman penyakit.
“Ia antara sebab utama mengapa kami menghulurkan bantuan kepada masyarakat Orang Asli yang jauh di pedalaman dan kurang bernasib baik dalam menikmati bekalan air bersih terawat,’ kata Pengurus Pembangunan Serantau Waterco Malaysia, Koo Zao Cheong.
Tambah Koo, melalui kerjasama dengan Global Peace Foundation, pemasangan sistem penapisan air ini membolehkan penduduk kampung menikmati air bersih, bukan sahaja untuk tujuan peminuman dan pemakanan, malah untuk rutin harian lain seperti mencuci, mandi dan sanitasi.
“The Clean Water Project adalah inisiatif yang sangat bermakna dan kami amat berbesar hati untuk melengkapkan kemudahan sistem penapisan air yang bermanfaat ini.
“Kami bersyukur kerana dapat menghulurkan bantuan dan kepakaran kami kepada masyarakat Orang Asli yang memerlukan bekalan air bersih dalam jangka masa panjang,” akhiri Koo.
Layari Waterco Malaysia untuk maklumat lanjut. - 6 Oktober 2021
Gambar: Waterco Malaysia