Filem Roh arahan Emir Ezwan dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-31 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi.
Kemenangan ini sekali gus melayakkan dia untuk memenangi trofi beserta Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000.
Filem terbitan Kuman Pictures yang dibintangi Farah Ahmad, Mhia Farhana, Harith Haziq, Namron, Junainah M. Lojong dan Putri Qaseh ini turut membawa kemenangan dalam lima kategori lain iaitu Lakon Layar Terbaik, Skor Muzik Terbaik, Rekaan Busana Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Putri Qaseh) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Junainah M. Lojong).
Kemenangan Roh seakan-akan mengulang semula kejayaan filem One Two Jaga apabila filem bebas diberikan pengiktirafan dalam acara anugerah yang berprestij ini dengan kemenangan enam kategori.
Filem ini juga pernah dihantar untuk mewakili negara bagi penyertaan Academy Awards ke-93 atau Oscars pada tahun ini.
Filem Sangkar terbitan Primeworks Studios, Astro Shaw, Infinitus Gold dan MM2 Entertainment juga turut meraih kejayaan besar apabila kategori dua pelakonnya, Zul Ariffin dan Remy Ishak masing-masing meraih kemenangan menerusi kategori Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Ini adalah trofi FFM pertama buat Zul Ariffin sebagai Pelakon Lelaki Terbaik FFM dan Remy Ishak untuk Pelakon Lelaki Terbaik.
Sangkar juga memberi peluang buat Kabir Bhatia untuk menjulang trofi kemenangan sebagai Pengarah Terbaik buat julung kalinya dalam sejarah penganjuran FFM.
Filem bergenre aksi ini juga menerima kemenangan menerusi Penataan Seni Terbaik dan Tatarias Terbaik.
Pelakon Angelica Li Sinja atau Sinje Lee menerusi filem The Garden Of Evening Mists pula diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik.
Filem terbitan Astro Shaw bersama HBO Asia ini juga turut memenangi dua lagi anugerah iaitu Kesan Khas Visual Terbaik dan Cerita Asal Terbaik.
Filem Fly By Night terbitan Another Planet Sdn Bhd memberi kemenangan buat pengarahnya, Zahir Omar yang diangkat sebagai Pengarah Harapan Terbaik.
Filem ini juga turut memenangi tiga lagi kategori iaitu Poster Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Suntingan Terbaik.
Kemenangan berpihak buat bekas peserta Akademi Fantasia Musim Kedua, Anding Indrawani Zaini untuk diangkat sebagai Pelakon Harapan Lelaki menerusi filem bahasa Iban, Headhunter, manakala Fify Azmi pula memenangi trofi Pelakon Harapan Wanita untuk filem Wira.
Filem animasi, Ejen Ali The Movie memenangi anugerah Filem Box-Office dan Penataan Bunyi Terbaik.
Suatu Ketika, Geran dan Headhunter pula dipilih untuk memenangi Anugerah Khas Juri kerana mengangkat unsur warisan budaya dan semangat patriotisme dan kepelbagaian Bangsa Malaysia.
Suatu Ketika juga turut membawa kemenangan apabila lagu ‘Ayuhlah’ yang dipersembahkan oleh Datuk Zainal Abidin dan digubah oleh Michael Veerapen diangkat sebagai Lagu Tema Terbaik, manakala Poster Terbaik dimenangi filem Walk With Me.
Anugerah Khas Penggiat Belakang Tabir diberikan kepada komposer legenda Datuk Seri Ahmad Nawab di atas segala sumbangannya terhadap kerja-kerja muzik dan skor di dalam bidang perfileman, manakala Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman pula dianugerahkan kepada seniwati Fauziah Nawi.
Dianjurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), FFM31 menyaksikan 55 filem yang dipertandingkan dari tahun 2018 sehingga 2020.
Daripada 55 filem ini, 32 daripadanya adalah dalam Bahasa Malaysia, lapan (Bahasa Cina), 11 (Bahasa Tamil) dan dua dalam bahasa Inggeris dan Iban.
Malam kemuncak FFM31 yang dipancarkan secara langsung menerusi TV2, dihadiri hampir 1,300 penggiat seni dan karyawan industri serta dikendalikan Awal Ashaari dan Sharifah Shahirah sebagai hos utama beserta hos karpet merah iaitu Nazruddin Rahman dan Natasha Charmaine.
Ia turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa, Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin, Ketua Setiausaha, General Datuk Seri Mohammad Mentek, Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Eksekutif FINAS, Prof .Dr. Md Nasir Ibrahim.
Barisan penyampai pula terdiri daripada Bade Azmi, Erra Fazira, Fauziah Datuk Ahmad Daud, A. R. Badul, Mimi Lana, Dr. Vimala Perumal, Fimie Don, Datin Lisa Surihani, Saw Teong Hin, Sangeetha, Datin Lisa Surihani, Saw Teong Hin, Susan Lankester, Faizal Hussein, Puan Sri Tiara Jacquelina, Aziz M. Osman dan Liyana Jasmay.
Manakala barisan artis yang membuat persembahan adalah Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Jaclyn Victor, Sabri Yunus, Liza Hanim, Haqiem Rusli, Mus May, Ella dan Datuk Syafinaz Selamat. - Getaran, 11 Disember 2021
Senarai Pemenang
1. Sinematografi Terbaik - Low Soon Keong (Fly By Night)
2. Pelakon Kanak-Kanak Terbaik - Putri Qaseh (Roh)
3. Lagu Tema Terbaik - Ayuhlah (Suatu Ketika)
4. Penyunting Terbaik - Heng Yin Chau (Fly By Night)
5. Pelakon Wanita Harapan - Fify Azmi (Wira)
6. Pelakon Lelaki Harapan - Anding Indrawani (Headhunter)
7. Pengarah Harapan - Zahir Omar (Fly By Night)
8. Cerita Asal Terbaik - Tan Twan Eng (The Garden Of Evening Mists)
9. Lakon Layar Terbaik - Emir Ezwan (Roh)
10. Anugerah Khas Penggiat Belakang Tabir - Datuk Seri Dr. Ahmad Nawab
11. Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman - Hajah Fauziah Nawi
12. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Junainah M. Lojong (Roh)
13. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik - Remy Ishak (Sangkar)
14. Film Box-Office - Ejen Ali The Movie
15. Poster Terbaik - Christopher Chua Eng Hui (Walk With Me)
16. Kesan Khas Visual Terbaik - VHQ Post (The Garden Of Evening Mists)
17. Tatarias Terbaik - Ella Sandera (Sangkar)
18. Rekaan Busana Terbaik - Tengku Syahmi (Roh)
19. Skor Muzik Terbaik - Reinchez Ng (Roh)
20. Penataan Seni Terbaik - Nazrul Asraff Mahzan (Sangkar)
21. Penataan Bunyi Terbaik - Fadhli Abu Shafian, Hakim Kamal & Shafiq Isa (Ejen Ali The Movie)
22. Anugerah Khas Juri 1 - Filem Suatu Ketika
23. Anugerah Khas Juri 2 - Filem Geran
24. Anugerah Khas Juri 3 - Filem Headhunter
25. Pelakon Wanita Terbaik - Sinje Lee (The Garden Of Evening Mists)
26. Pelakon Lelaki Terbaik - Zul Ariffin (Sangkar)
27. Pengarah Terbaik - Kabir Bhatia (Sangkar)
28. Filem Terbaik - Roh
Gambar: FINAS