Semalam pelakon utama filem Mat Kilau iaitu Datuk Adi Putra telah memuat naik status yang mencetuskan spekulasi ramai di akaun Instagram.
Dalam hantaran berkenaan, Adi menyampaikan pesanan kepada pihak Studio Kembara yang dikatakan susah untuk dihubungi dan mendedahkan dia tidak akan turut sama ke tayangan gala filem Mat Kilau yang bakal berlangsung di Jakarta, Indonesia.
Getaran menghubungi pemilik Studio Kembara iaitu Abdul Rahman Mt Dali untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut tentang kemelut yang berlaku di antara pihaknya dengan Adi.
Menurut Abdul Rahman, dia juga juga terkejut dengan hantaran yang dibuat Adi selepas diberitahu salah seorang rakannya.
“Saya baru tahu tentang perkara ini pagi tadi. Jadi saya terus periksa dengan kakitangan saya. Saya difahamkan, Adi ada menghubungi pihak produksi sewaktu mereka sedang sibuk dengan urusan mesyuarat sehingga lewat malam,” katanya ketika dihubungi.
Ditanya adakah isu yang tercetus ini disebabkan salah faham yang berlaku dari kedua belah pihak, Abdul Rahman menafikan perkara itu.
“Bagi pihak kami tiada sebarang salah faham yang berlaku. Cuma mungkin pihak kami terlambat untuk memberikan respons terhadap panggilan Adi kerana ada mesyuarat.
“Namun, saya difahamkan pihak kami telah pun menghubungi Adi selepas dia membuat hantaran berkenaan.
“Jadi tiada istilah konflik yang berlaku, saya anggap mungkin itu reaksi spontan Adi ketika situasi itu berlaku,” jelasnya.
Disebabkan hantaran yang dibuat oleh Adi, ramai pihak terutamanya netizen dilihat membuat spekulasi kurang enak mengenai Studio Kembara.
Ditanya adakah dia kecewa dengan tindakan Adi memuat naik status seperti itu, Abdul Rahman enggan memberikan respons yang negatif.
“Studio Kembara buat filem Mat Kilau kerana kita membawa semangat persaudaraan, perjuangan dan sikap kematangan dalam menguruskan krisis dan sebagainya. Tidak elok rasanya andai tiba-tiba nak menunjukkan seolah-olah kita ada pertembungan atau konflik.
Bagi saya tiada konflik yang berlaku sebenarnya. Cuma kita perlu jadi lebih matang. Kalau tengok semangat Mat Kilau itu sendiri, jika ada apa-apa berita muncul dia akan dengar dahulu dan selidik, mungkin ada berlaku salah faham.
“Saya buat filem Mat Kilau kerana saya nak ajak umat kita bersatu dan bersama, itu pun saya sudah bersyukur. Takkanlah saya buat filem seperti ini dan saya pula nak buat masalah pada bangsa,” ujarnya.
Ditanya tentang kenyataan Adi yang berkemungkinan enggan turut serta ke tayangan gala filem Mat Kilau di Jakarta, kata Abdul Rahman demi membawa nama negara dan industri filem Malaysia seharusnya pelakon yang terlibat turut serta dalam rombongan ini.
“Kita sedang membawa filem dan nama Malaysia ke sana. Jadi kita perlu pergi dalam keadaan yang kemas, lengkap dan bersemangat supaya kita dapat pergi dengan sesempurna mungkin. Pihak sana mengharapkan barisan pelakon yang terlibat perlu ada.
“Atas semangat nasional dan nama baik negara seharusnya kita kena pergilah. Kalau ada perkara yang kita tak suka sekalipun, cubalah tolak ke tepi.
“Inilah yang dinamakan perjuangan. Dia pun telah bersetuju untuk pergi, takkanlah disebabkan perkara sebegini dia tak jadi pergi,” katanya.
Bakal ditayangkan di 200 buah pawagam seluruh Indonesia pada 31 Ogos ini, Abdul Rahman berharap sambutan yang sama turut diberikan penonton-penonton di Indonesia seperti mana Mat Kilau mencetuskan fenomena di Malaysia.
“Apa yang paling penting bagi saya adalah saya berharap rakyat Indonesia juga dapat menerima mesej yang cuba disampaikan filem Mat Kilau ini sama seperti rakyat Malaysia,” katanya menutup bicara. – Getaran, 12 Ogos 2022