Melihat pada tajuknya, 'Sorry Naik Lori’, mungkin ada yang beranggapan bahawa ia adalah sebuah drama bergenre romantik komedi, semata-mata indah-indah dan manis-manis belaka.
Hakikatnya, drama bersiri 12 episod terbitan iQIYI ini sebenarnya cuba mengangkat dilema tentang pengorbanan dalam mengejar sesuatu impian yang tidak ramai orang berpeluang untuk mencapainya, terutama dalam dunia media sosial yang serba pantas dan mudah ‘viral’.
Pengarahnya, Aidilfitri Mohamed Yunos berkata, drama ini membawa kisah realiti sebenar yang dihadapi rakyat Malaysia khususnya golongan B40 mengenai kepayahan yang terpaksa dilalui apabila ada yang terpaksa meninggalkan kampung halaman dan berpindah ke Kuala Lumpur untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik.
“’Namun, jalan ceritanya yang berkait dengan masyarakat hari ini iaitu masyarakat yang terlibat secara langsung dengan media sosial dan mereka yang bercita-cita menjadi pempengaruh untuk menjadi kaya dan terkenal.
“Ia turut menceritakan betapa pentingnya hubungan dan sokongan keluarga dan bagaimana ikatan kekeluargaan mampu dikukuhkan ketika berdepan kesusahan.
“Penggambaran yang kebanyakannya dilakukan di Pulau Pinang ini memaparkan kepelbagaian budaya dan pemandangan indah yang ada di Malaysia selain memperkenalkan makanan tempatan dan dialek Pulau Pinang dalam siri itu,” katanya.
Jelas Aidilfitri lagi, pihaknya turut bekerjasama dengan foodpanda yang merupakan peneraju platform penghantaran makanan dan barangan runcit dalam talian terkemuka di Asia Tenggara.
“Dalam ‘Sorry Naik Lori’, foodpanda akan diadaptasi sebagai sebahagian dari jalan cerita dengan penghantar makanan foodpanda memainkan salah satu watak utama dalam siri ini.
Dengan cara ini, pendedahan perkhidmatan foodpanda serta tawaran baharunya serta jenama foodpanda dapat diselitkan dalam pelbagai babak jalan cerita drama ini,” katanya.
Mempertaruhkan dua bintang tempatan yang popular dalam kalangan GenZ dan millennial, siri ini menampilkan pelakon Nazim Othman yang memegang karakter sebagai individu yang ketinggalan zaman dan 'buta' media sosial bernama Khairul, manakala Nadia lakonan Ruhainies adalah wanita moden yang bercita-cita menjadi influencer.
Selain itu, siri ini turut dijayakn penyanyi Tajul Arif, Nafiz Muaz, TikToker terkenal Ahmad Saffuan dan ramai lagi.
‘Sorry Naik Lori’ akan membuat penonton terpikat dengan kepelbagaian jalan cerita dan pembangunan karakter.
‘Sorry Naik Lori’ berkisar tentang watak Khairul, pemandu lori muda yang menetap di Pulau Pinang dan ‘alah’ kepada media sosial, namun isterinya, Nadia pula bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang influencer.
Selepas siaran video secara rawak di aplikasi NikNok membabitkan Nadia di restoran Pasembur ibunya menjadi tular, dia menerima pelbagai tawaran daripada agensi pencari bakat tetapi perlu merahsiakan hubungan dan status perkahwinannya kepada orang ramai.
Nadia menolak nasihat suaminya untuk berhenti dan memutuskan untuk terus mengejar impian dengan sokongan keluarganya.
Tanpa disedari, Khairul pula cuba memasuki dunia viral dan kemasyhuran media sosial tetapi pada masa sama cuba mempertahankan hubungan perkahwinannya.
‘Sorry Naik Lori’ akan ditayangkan bermula 4 November 2022 secara eksklusif di aplikasi iQIYI dan iQIYI International www.iq.com bersama episod baharu yang akan disiarkan setiap Jumaat dan Sabtu. – Getaran 1 November 2022