Dari dulu hingga sekarang, isu buli terutama melibatkan pelajar sekolah masih lagi tiada kesudahan. Boleh dikatakan setiap tahun isu tersebut hangat diperkatakan di media sosial, malah terus mendapat liputan media dari masa ke masa.
Paling menyedihkan, apabila kes buli ini sentiasa bermula di asrama sekolah yang merupakan tempat untuk hidup berdikari dan juga adalah permulaan kehidupan sebelum dunia kerjaya kelak bukan membuli.
Dengan inspirasikan, daripada kisah benar yang pernah terjadi di Malaysia, Astro Originals mempersembahkan siri premium terbaru iaitu ‘High Council’.
Drama yang bakal bersiaran Astro Ria saluran 104 bermula 23 Januari, setiap Isnin, jam 9.00 malam, membawa isu tentang buli dan diskriminasi yang berlaku di asrama sekolah.
Naskah arahan Anwari Ashraf bersama pengarah baharu berbakat besar, Zulaikha Zakaria, ini turut membawa kisah budaya gangsterisme dan diskriminasi di sekolah.
Menurut Anwari Ashraf, siri ‘High Council’ ini bukanlah menghidangkan hiburan semata-mata tetapi sebagai naskah yang memberi pengajaran dan lebih kefahaman tentang apa yang berlaku.
“Mungkin ada yang mempertikaikan siri ini bakal memberi gambaran yang tidak baik seperti satu ‘galakan’ kepada golongan remaja, tetapi Astro Originals bukanlah menghidangkan hiburan semata-mata tetapi sebagai naskah yang memberi pengajaran dan lebih kefahaman tentang apa yang berlaku.
“Ini seterusnya akan menjadikan kita lebih peka dan mampu mengawalnya dari terus terjadi. Setiap nilai positif boleh dijadikan teladan dan yang buruk itu boleh dijadikan iktibar,” kata Anwari.
Idea siri ini dicetuskan oleh show runner Anwari, yang membawa, watak-watak 'Projek: High Council’ bakal menempuh rintangan-rintangan yang lebih ‘kasar’ di Kolej Ungku Deramat (KUDRAT), dalam usaha mereka untuk mendalami, erti sebenar di sebalik menjadi seorang ‘lelaki’.
Naskah ‘High Council’ menerusi 10 episod, bakal membawa kisah dengan isu kumpulan gangsterism ‘High Council’ di sebuah sekolah berasrama penuh dan isu tersebut menjadi fenomena apabila melibatkan satu kumpulan pelajar yang berkuasa menjalankan aktiviti salah laku termasuk dalam aktiviti membuli pelajar.
Berdasarkan maklumat, budaya ‘High Council’ ini telah wujud sejak tahun 1992 dan kegiatan seperti ini tidak berlaku dalam satu sekolah sahaja.
High Council yang merupakan francais ‘Projek ’selepas drama premium popular, Projek Anchor SPM (2020) berkisarkan tentang dua beradik, Fakri dan Naim yang telah terpisah sejak mereka masih kanak-kanak dan bertemu semula di KUDRAT, sebuah sekolah asrama berprestij tinggi.
Mereka berdua memasuki gelanggang ‘Pilihan Raya’, sebuah pertandingan tradisi yang dilangsungkan secara sulit dan diseliakan oleh ‘High Council’. Pemenang ‘Pilihan Raya’ akan dianggap sebagai pelajar paling berkuasa di KUDRAT.
Jika terdahulu, francais ‘Projek: Anchor SPM’ mempersembahkan sisi-sisi ideal kehidupan di sekolah berasrama, ‘High Council’ pula tidak segan membongkarkan aspek-aspek gelap yang sehingga kini, menjadi realiti sebahagian besar pelajar-pelajar sekolah berasrama.
Meskipun bergenre aksi fiksyen remaja serta membawa isu tentang buli dan diskriminasi, banyak mesej positif yang ingin disampaikan kepada penonton.
‘High Council’ menggabungkan isu-isu gangsterisme yang dihadapi pelbagai jenis sekolah. Diharapkan kehadiran naskhah ini dapat membantu pihak tertentu mengkaji punca, kitaran dan langkah yang boleh diambil untuk menamatkan budaya tersebut.
'High Council' membariskan para pelakon baru dan berpengalaman pelbagai latar seperti Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Naim Daniel, Yusof Hashim, Daiyan Trisha, Sazzy Falak, Ben Tan, Sathisvaran M Magesvaran dan Kahoe Hon. - Getaran, 12 Januari 2023