Pengarah SS Rajamouli ketika ini mungkin masih lagi berada di awang-awangan apabila lagu berjudul 'Naatu Naatu' ciptaan MM Keeravaani dalam filem arahannya iaitu RRR telah berjaya memenangi anugerah Golden Globe pada 10 Januari lalu.
Dalam satu tayangan di Amerika Syarikat baru-baru ini, SS Rajamouli juga turut mendidik penonton di sana bahawa RRR bukanlah sebuah filem Bollywood.
Pengarah filem itu membuat kenyataan tersebut apabila seorang wartawan dari Amerika menggelar RRR sebagai filem Bollywood dalam satu sesi wawancara selepas tayangan.
SS Rajamouli turut menyatakan bahawa RRR bukanlah filem Bollywood, tetapi filem Telegu yang datang daripada India Selatan.
"Saya menggunakan lagu itu untuk menggerakkan cerita ke hadapan daripada menghentikan filem dan memberi anda sebuah babak muzik dan tarian. Saya hanya menggunakan elemen-elemen itu untuk menggerakkan cerita ke hadapan.
“Di akhir filem, jika anda mengatakan saya tidak merasakannya selama tiga jam, maka saya tahu saya seorang pembuat filem yang berjaya," kata pengarah itu kepada penonton, selepas tayangan di Directors Guild of America.
Komen pengarah dalam klip tular itu kini menyebabkan pengguna Twitter berbelah-bahagi dengan pendapat masing-masing.
Ada yang berkata, "Rajamouli betul, RRR bukan filem Bollywood dan ia tidak boleh dibenarkan untuk digambarkan sebegitu.
Seorang lagi menambah: "Tidak ada yang dapat mengubah hakikat bahawa RRR adalah filem Telugu dan Rajamouli mengatakan bahawa hanya untuk menjelaskan bahasa asal kerana kebanyakan orang Amerika masih berfikir bahawa ia adalah filem Hindi / Bollywood. Ia mudah, sungguh.
Namun, ada juga yang tidak bersetuju dan memuatnaik klip pengarah Sanjay Leela Bhansali, yang juga pernah memperbetulkan kenyataan wartawan sewaktu menjayakan panel diskusi filem Gangubai Kathiawadi di Festival Filem Berlin.
Kata Sanjay: "Gangubai adalah filem India. Ia sinema India, kami datang ke sini dan berdiri di sini dan mewakili dunia.
"Benar, itu bukan filem Bollywood tetapi ia adalah filem India dan jika anda akan menafikannya juga maka anda tidak dapat meraikan kemenangan Olimpik Neeraj Chopra juga kerana dia tergolong dalam Utara India. #Rajamouli ada memalukan,” bahas seorang lagi.
"Apabila filem seperti #RRRMovie memerlukan pasaran Hindi, ia dikatakan filem pan India. Apabila mahu mendapatkan #RRRforOscars, ia dikatakan filem Telugu atau Tamil atau Malayalam. Bukankah ini satu double standard?" soal yang lain.
Bagaimanapun, ada pihak yang mempertahankan pengarah itu: "Dia berkata ia bukan filem Bollywood, ia adalah filem Telugu. Bollywood pada dasarnya hanya mewakili pawagam Hindi arus perdana sahaja."
Seorang lagi turut bersetuju: "Ya, Barat harus tahu bahawa industri di India bukan hanya Bollywood semata-mata. Rajamouli membuat kita semua bangga”.
Magnum opus Rajamouli meraih perhatian apabila lagu 'Naatu Naatu' daripada RRR memenangi Anugerah Golden Globe bagi kategori Lagu Asal Terbaik. Lagu ini menewaskan lagu 'Lift Me Up' nyanyian Rihanna daripada Black Panther: Wakanda Forever dan 'Carolina' nyanyian Taylor Swift daripada Where the Crawdads Sing.
Kini, semua mata tertumpu pada Oscar untuk melihat apakah filem RRR ini akan menempa sejarah dan mendapat tempat dalam senarai pencalonan Filem Terbaik anugerah tersebut.
Selepas memenangi Golden Globe untuk Lagu Terbaik, ada laporan mendakwa bahawa filem ini juga bakal mencatatkan kejayaan di Anugerah Academy bagi kategori Lagu Asal Terbaik. - Getaran, 16 Januari 2023