Penerbit dan penulis skrip drama Lelaki Itu, Erma Fatima akui tidak dapat membuat keuntungan menerusi drama tersebut kerana bayaran untuk para pelakon yang terlibat sangat tinggi.
Menurut Erma, kesemua pelakon yang terlibat ialah nama-nama besar di dalam industri dan dia terpaksa mengurangkan penampilan mereka agar tidak muncul dalam semua episod.
"Saya tidak untung satu sen pun. Kalau anda perasan, watak Imani lakonan Fazura tiba-tiba tiada dalam beberapa episod.
"Biarpun penampilan mereka hanya dua atau tiga babak sahaja dalam satu episod, tetapi saya bayar mereka harga penuh.
"Pada mereka, kesemua mereka adalah pelakon utama baik Sarimah, Fazura atau Nabila Huda. Mereka tidak terima bayaran sebagai pelakon pembantu tetapi sebagai pelakon utama," katanya kepada Getaran.
Fenomena drama Lelaki Itu sangat luar biasa sehingga mendapat capaian di platform media sosial sebanyak 1.13 bilion.
Dengan jumlah capaian sebanyak itu, pasti mana-mana penerbit mahu menghasilkan musim kedua. Namun tidak bagi Erma.
"Tak mungkin ada Lelaki Itu 2. Saya sudah beritahu awal-awal lagi pada TV3 yang saya tidak akan sambung drama ini. Tak kisah la drama ini meletup sehingga empat bilion ke 10 bilion ke saya tetap tidak akan sambung.
"Lelaki Itu sudah berada di tahap yang tinggi. Saya tidak mahu rosakkan dan jatuhkan ke bawah kerana saya sudah tidak ada idea. Saya tidak mahu lakukan dalam keadaan terpaksa.
"Lebih baik saya hasilkan drama baharu yang lebih baik untuk lawan Lelaki Itu seperti mana saya hasilkan Lelaki Itu untuk lawan Perempuan Itu," ujarnya.
Terdahulu drama Lelaki Itu yang dibintangi oleh barisan pelakon handalan seperti Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Nur Fazura, Nabila Huda, Hannah Delisha, Aedy Ashraf, Sophia Albrakbah Nadia Brian dan ramai lagi ini telah mencetuskan fenomena tersendiri sejak ditayangkan di slot Samarinda TV3 pada 19 Mac lalu.
Drama ini mengangkat kisah lelaki yang berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertama dan akhirnya meninggal dunia. Selepas meninggal, satu persatu rahsia dalam hidupnya terbongkar sehingga mencetuskan konflik yang melibatkan hukum agama seperti faraid dan nasab keturunan. - Getaran, 2 Mei 2024
Foto : Helmi Anuar, Instagram