Menyusuli Hati Tercarik Luka di slot Samarinda, saksikan drama bersiri baharu Menanti Senja menggandingkan barisan pelakon hebat Malaysia seperti Johan As’ari, Trisha Ooi, Faizal Hussein dan Khatijah Tan bermula semalam, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3.
Drama bersiri 15 episod terbitan Anomali Media & Production itu merupakan idea asal pengarah, Faizal Nadxaman dengan nukilan skrip oleh Shaza Talib. Menanti Senja mengisahkan pengorbanan serta kasih sayang seorang ayah dan suami yang diuji apabila isteri dan anak dipisahkan daripadanya akibat kesalahan yang tidak dilakukan.
Selepas ayahnya meninggal dunia, Syukri (Johan As’ari) mengambil alih tanggungjawab menjaga ibunya, Mak Milah (Khatijah Tan). Syukri membuka sebuah kedai membaiki alatan elektrik/elektronik dengan sahabat baiknya, Epul. Walaupun perniagaan mereka hanya kecil-kecilan, namun ia dapat menampung keluarga masing-masing.
Kehidupan sederhana Syukri berubah selepas berkenalan dengan Sarah (Trisha Ooi), anak kepada pemilik syarikat perindustrian kayu. Mereka berkahwin dan dikurniakan seorang anak perempuan, Suhana walaupun perkahwinan mereka tidak direstui oleh ayah Sarah, Kamal (Faizal Hussein).
Kamal meminta Syukri bekerja di kilangnya. Satu hari, Syukri dituduh pecah amanah. Malangnya, Syukri gagal membela diri dan dipenjara akibat kesalahan yang tidak dilakukannya. Setelah dibebaskan, Syukri bertekad untuk membersihkan namanya demi menambat hati Sarah semula dan mendapatkan hak jagaan anaknya Suhana. Adakah perjuangan cinta seorang suami dan ayah ini berpihak kepadanya?
Mengulas tentang drama terbaharunya ini, Johan As’ari memberitahu dia menerima tawaran daripada pihak produksi kerana tertarik dengan skrip dan ingin bergandingan dengan Faizal Hussein.
“Saya tertarik dengan skrip Menanti Senja dan tidak ingin melepaskan peluang untuk bekerjasama dengan pelakon senior, Faizal Hussein dan Khatijah Tan, serta Trisha Ooi, gandingan yang sangat senang untuk bekerja.
“Watak Syukri banyak bermain dengan emosi dan ia agak berlainan dengan watak-watak yang pernah saya lakonkan. Seiring dengan usia pembabitan saya di industri ini, saya ingin menerokai kepelbagaian sisi watak dan menjadikan watak itu lebih hidup dan dekat dengan penonton.
“Terima kasih TV3 kerana masih mempercayai bakat lakonan saya. Semoga drama bersiri Menanti Senja ini mendapat tempat di hati peminat-peminat”, ujar Johan.
Jangan ketinggalan untuk menonton Menanti Senja menerusi slot Samarinda. Anda juga boleh strim eksklusif secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my, muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store. - Getaran, 18 Januari 2024
Foto : TV3