web statsweb stats

Berita Terkini

11 jam yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Reviu Filem : Pingat Emas Buat Adrian Teh Dan Filem 'Gold'

Pengarah filem yang terkenal dengan genre aksi, Adrian Teh mengambil langkah berani menghasilkan filem autobiografi tentang wira yang tidak didendang, iaitu pemain badminton negara, Cheah Liek Hou yang memenangi pingat emas di temasya Paralimpik Tokyo 2020.

Filem & TV Dikemaskini 2 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 12 Jul 2024 7:59AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tersentuh melihat video atlet badminton paralimpik negara, Cheah Liek Hou menyarungkan pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 kepada jurulatih, Datuk Rashid Sidek menjadi asbab pengarah terkenal, Adrian Teh menghasilkan filem Gold.

Gold merupakan sebuah filem autobiografi Cheah Liek Hou terbitan Astro Shaw dan Act 2 Pictures yang mengisahkan kehidupannya dari zaman kanak-kanak sehinggalah dia berjaya mengharumkan nama negara, sebagai atlet badminton paralimpik pertama yang meraih pingat emas di temasya Paralimpik. 

Pada mulanya, Liek Hou tidak bersetuju apabila Adrian menyampaikan hasratnya untuk menerbitkan filem ini. Tetapi selepas beberapa kali dipujuk, akhirnya dia rela. 

Adrian bijak mengambil peluang untuk menayangkan filem ini ketika bahang Olimpik Paris 2024 semakin terasa.

Gold dibuka dengan babak imbas semula ke tahun 1992, ketika Malaysia berjaya memenangi Piala Thomas. Watak Rashid Sidek dijayakan oleh Farid Kamil. 

Liek Hou yang ketika itu masih kecil menonton perlawanan akhir Piala Thomas bersama keluarganya dan jiran tetangga di rumah kedai mereka.

Sejak dari itu dia menanam azam untuk bergelar pemain badminton negara tambahan pula itu adalah impian besar bapanya yang pernah mengeluarkan kata-kata bahawa dia akan mati sambil tersenyum sekiranya anaknya dapat menjadi pemain badminton berjaya. 

Bakat Liek Hou mula dikesan oleh guru sekolahnya saat dia bertarung dengan rakan sebaya yang mencabarnya gara-gara raketnya dirampas. 

Bermula dari situ, Liek Hou berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi pemain badminton. Namun hasratnya ditentang oleh ibunya yang mahu dia fokus pada pelajaran. 

Sewaktu meningkat remaja, Liek Hou disahkan menghidap penyakit Erb's Palsy di bahagian tangan kanannya yang membuatkan dia tidak mampu untuk bermain badminton dengan baik. 

Di sinilah bermulanya transisi yang lebih meruntun jiwa dalam filem ini. Impian besar seorang remaja musnah dalam sekelip mata. 

Namun, kasih seorang bapa tidak akan membiarkan anaknya hanyut dalam lautan duka. Bapanyalah yang menjadi tunjang utama penggerak semangat Liek Hou untuk tidak berputus asa. Dan akhirnya Liek Hou bermain sebagai atlet para. 

Lumrah menjadi atlet para, biarpun 11 kali dijulang menjadi juara dunia,  nama Liek Hou masih sepi dalam kalangan pencinta sukan badminton Malaysia. 

Setiap kali temasya Paralimpik bakal bermula, Leik Hou akan melihat sama ada acara badminton dipertandingkan. Namun setiap kali itulah, dia hampa.

Titik terendah dalam hidup Liek Hou terjadi saat bapanya meninggal dunia sewaktu dia berada di luar negara berjuang untuk Malaysia di salah satu kejohanan. 

Babak Liek Ho terduduk di dalam bilik air sambil menangis benar-benar meruntun kalbu. Liek Ho semakin hilang semangat selepas pemergian bapanya dan mengambil keputusan untuk berhenti daripada menjadi pemain badminton dan bekerja di sebuah syarikat jualan langsung. 

Beberapa tahun berlalu, tubuh Liek Hou juga semakin membesar. Dia tidak lagi pedulikan sukan badminton sehinggalah satu hari dia melihat berita tentang temasya Paralimpik kini membuka penyertaan untuk sukan badminton. 

Segala impiannya untuk memenangi pingat emas di temasya sukan terhebat itu kini kembali mengejarnya. 

Lantas dia bertemu dengan Datuk Rashid Sidek dengan harapan jurulatih itu akan melatihnya sebagai persediaan ke temasya Paralimpik Tokyo 2020. 

Namun Rashid pada mulanya enggan melatih Liek Hou melihatkan fizikalnya yang sudah gemuk serta usia yang sudah melebihi 30 tahun. 

Tetapi atas nasihat isterinya, dia akhirnya bersetuju sehingga akhirnya dia dan Liek Hou berjaya mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Bagi penulis, filem ini harus ditonton oleh setiap lapisan masyarakat di Malaysia. Malah filem ini juga layak ditayangkan di luar negara kerana jalan ceritanya yang sangat memberi inspirasi dan penuh emosi.

Gold adalah sebuah kisah wira yang tak didendang dan berupaya membuka mata penonton tentang dunia sukan badminton negara yang tidak semuanya indah belaka. 

Bukan mudah untuk melakonkan watak figura yang masih hidup, namun Jack Tan berjaya menggalas tanggungjawab sebagai Cheah Liek Hou biarpun dia seorang yang tidak tahu bermain badminton. 

Dedikasi Jack untuk mentransformasikan tubuhnya daripada kurus ke gemuk kemudian kembali 'fit' harus diberikan pujian. Dia berjaya menaikkan berat badan sebanyak 20 kg untuk babak Liek Hou menjadi gemuk. Jack juga berlatih bermain badminton dengan bekas atlet badminton negara.

Pujian juga harus diberikan kepada Freddie Ng yang membawa watak sebagai bapa kepada Liek Hou, begitu juga dengan Lynn Lim yang membawa watak sebagai ibunya. 

Kedua-dua individu ini berjaya menghidupkan watak masing-masing yang dirasakan begitu dekat dengan penonton. 

Menghasilkan filem tentang sukan sememangnya bukan sesuatu yang mudah tambahan pula diinspirasikan daripada kisah benar. 

Adrian berjaya mencipta semula momen pertarungan badminton di Piala Thomas 1992 dan juga Paralimpik Tokyo 2020. Dengan bantuan teknologi CGI, suasana di dalam Stadium Negara kelihatan seperti pertandingan sebenar. 

Sinematografi filem ini juga agak cantik dengan beberapa teknik kamera yang tidak dijangka untuk sebuah filem bertemakan sukan. 

Biarpun tampak seperti hampir sempurna, namun ada beberapa aspek yang membuatkan penulis berasa sedikit canggung, terutamanya apabila ada babak setiap pelakon bermonolog dengan penonton. Ia seolah-oleh mencacatkan 'mood' dan momentum babak tersebut. 

Kesimpulannya, Adrian Teh dan seluruh produksi yang terlibat layak diberikan 'pingat emas' kerana berani menghasilkan filem ini dan berjaya menghasilkannya dengan baik. – Getaran, 12 Julai 2024

Jumlah Getar : 4/5

Kredit photo : Astro Shaw

Berita Berkaitan

1

Filem & TV 1 bulan yang lalu

Hiburan Penuh Komedi Dan Keganasan Dalam Deadpool X Wolverine

2

Filem & TV 2 bulan yang lalu

'Unfading Memoirs' Jelajah 4 Destinasi Popular Di Malaysia

3

Filem & TV 3 bulan yang lalu

Kutip Lebih RM60 Juta Di Tempat Sendiri, Tapi Sheriff Gagal Tawan Hati Penonton Indonesia

4

Filem & TV 3 bulan yang lalu

MONSTA Lancar Promosi Boboiboy Galaxy Windara

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara