Pada ketika dunia sedang berdepan cabaran dalam menentang wabak COVID-19, para kurator muzium telah mula menggunakan kaedah baharu iaitu lawatan secara maya dalam mempersembahkan pameran-pameran di muzium.
Dengan berpaksikan hala tuju baharu ini, bagaimanakah Muzium dan Galeri Seni BNM (BNM MAG) pada masa hadapan?
Pemangku Pengarah Jabatan Hospitaliti BNM MAG, Noreen Zulkepli berkata, halangan pameran fizikal seperti lawatan sekolah atau lawatan berpandu disebabkan oleh pandemik ini merupakan pengalaman yang asing kepada kita.
"Bagaimanapun norma baharu ini telah memberi peluang kepada kami untuk meneroka cara baharu yang lebih inovatif. BNM MAG adalah muzium terawal di dalam negara yang memulakan pameran secara maya,” katannya.
Buat masa ini, BNM MAG melangsungkan tiga pameran maya, bazar seni maya dan pelbagai program serta pertandingan secara dalam talian.
#1 Karya Logam: Seni Mata Wang
Bank Negara Malaysia adalah pengeluar tunggal untuk mata wang kertas dan syiling rasmi di Malaysia. Namun, tahukah anda duit syiling telah wujud sejak lebih 2,000 tahun dahulu?
Sejarah duit syiling ini menarik sebagaimana sejarah tamadun-tamadun sepanjang zaman itu. Sebenarnya, ia memainkan peranan penting dalam kemajuan mata wang dan perdagangan dunia.
Melalui pameran maya ini, pelawat berpeluang meneroka peranan besar duit syiling dan mendalami perkembangan seni penghasilan duit syiling.
Menariknya, anda juga boleh mereka cipta duit syiling sendiri serta berkongsi pendapat tentang masa hadapan wang logam ini di era globalisasi serta dunia tanpa tunai nanti.
Klik pautan untuk mulakan lawatan: Karya Logam
#2 Scarcity
Semua orang mempunyai peranan dalam pemanasan global! Pameran maya ini amat bermanfaat untuk mereka yang ingin mempelajari tentang kecemasan iklim yang sedang berlaku.
Bagi memelihara persekitaran, terokai kesan rutin harian kita dengan lebih baik. Ketahui mengapa isu perubahan iklim menjadi perhatian bank-bank dunia.
Pelawat juga boleh meneroka hubung kait antara perubahan iklim dan kekurangan (scarcity) melalui pelbagai medium seperti gambar, video dan permainan interaktif.
Para pelawat juga dapat melihat video yang menerangkan sains di sebalik pemanasan global dan kecemasan iklim serta kajian kes tentang isu alam sekitar di seluruh dunia.
Klik pautan untuk mulakan lawatan: SCARCITY
#3 Keringat
Pameran maya ini menggambarkan kronologi peristiwa yang membentuk perkembangan sosio ekonomi Malaysia menerusi pelbagai karya yang mengagumkan.
Ia menampilkan 53 karya catan dan fotografi yang memaparkan usaha gigih para pendahulu negara dalam sektor awal seperti pertanian, perikanan, perlombongan dan perniagaan.
Antara tokoh yang dipamerkan seperti Yong Mun Sen (1896-1962, Sarawak), Abdullah Ariff (1904-1962, Pulau Pinang), Sultan Ismail Nasiruddin Shah (1907-1979, Terengganu) dan ramai lagi.
Klik pautan untuk mulakan lawatan: KERINGAT
#4 Jari (Jaringan Akal Kreatif)
Bazar seni maya ini menampilkan 30 bakat muda dalam pelbagai kemahiran. Buat pertama kali, karya yang dipamerkan secara maya ini boleh dibeli.
Bagi memupuk sokongan yang lebih baik dengan harga berpatutan, semua karya dijual pada harga RM1,500 dan ke bawah. JARI berlangsung sepanjang September.
Cara-cara pembelian tersedia di laman sesawang BNM MAG. Jangan lepaskan peluang memiliki karya-karya terhad ini sementara masih ada!
Klik pautan untuk mulakan lawatan: JARI
Layari Muzium dan Galeri Seni Bank Negara untuk maklumat lanjut. - Getaran, 16 September 2021
Semua gambar: Bank Negara Malaysia