Cuti sekolah sudah pun hampir bermula! Inilah masanya untuk anda membawa anak-anak berjalan dan bersiar-siar.
Alang-alang sudah merancang, apa kata manfaatkan percutian keluarga anda itu tadi dengan memilih lokasi-lokasi menarik di sekitar Lembah Klang?
Tidak perlu jauh, Lembah Klang ini khususnya mempunyai banyak tarikan pelancongan domestik yang bertaraf antarabangsa, namun dengan harga tiket yang berpatutan!
Beriadah sambil belajar, lokasi-lokasi ini juga boleh membantu anak-anak anda menimba ilmu pengetahuan yang berbeza daripada sesi pembelajaran dalam kelas.
Kami senaraikan lima lokasi percutian sesuai keluarga dengan harga berpatutan yang berbaloi untuk anda membawa anak-anak makan angin sempena cuti sekolah ini, seperti di bawah:
#1 Jejantas Rimba, Taman Botani Kepong
Terletak kira-kira 20 kilometer dari Kuala Lumpur, Jejantas Rimba atau Forest Skywalk selian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) ini sememangnya menakjubkan!
Pada aras 141 meter dari aras laut, anda sekeluarga boleh menikmati saujana kehijauan rimba sambil dilatari pemandangan bandar raya Kuala Lumpur.
Anda boleh melihat menara-menara ikonik negara di sini seperti Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur dan terbaru adalah Menara Tun Razak Exchange serta Menara Merdeka 118.
Di sini anda sekeluarga boleh bersiar-siar sambil melihat kanopi pohon-pohon hutan tropika tertinggi di Malaysia yang menakjubkan.
Selain itu, anda juga boleh berkelah bersama keluarga serta mempelajari tentang keunikan hutan kita melalui renjer yang bertugas atau melalui papan-papan informasi yang terdapat di sini.
Alamat: Forest Research Institute Malaysia, Taman Botani FRIM, 52109 Kepong, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu Operasi: 8:30am – 13:30pm
Tiket: Dewasa (RM15), Warga Emas (RM10), Kanak-kanak (RM8)
#2 Rollerwa
Annyeonghaseyo! Untuk keluarga yang menyukai budaya pop Korea Selatan, Rollerwa ialah lokasi pilihan yang tepat untuk anda!
Terletak di District K, One Utama, gelanggang kasut roda yang terkenal dari Korea Selatan ini menawarkan pengalaman bermain kasut roda dengan bergaya.
Mana tidaknya, roda kasutnya berwarna-warni dan bakal bercahaya seiring dengan larian anda. Kawasan gelanggang juga dilimpahi dengan lampu-lampu neon yang terang dan menarik.
Menarilah seperti idola-idola K-Pop dengan menggunakan kasut roda bergaya, mengikut rentak lagu-lagu K-Pop kegemaran anda.
Bukan itu sahaja, di aras yang sama, anda sekeluarga juga boleh membeli-belah barangan runcit dan makanan khas yang diterbangkan dari Korea Selatan di Korean Grocer.
Alamat: Lot F603A, Aras 1, District K, One Utama Shopping Centre, 47800 Petaling Jaya, Selangor
Waktu Operasi: 10:00am – 10:30pm
Tiket: Bayaran masuk (RM12), Dewasa (RM50 untuk 2 Jam), Kanak-Kanak (RM40 untuk 2 jam)
#3 Taman Eko Rimba KL
Digazetkan pada 1906, Hutan Simpan Bukit Nanas merupakan salah satu hutan simpan tertua di Malaysia.
Terletak di tengah-tengah jantung Kuala Lumpur, Taman Eko Rimba KL dikelilingi oleh menara-menara pencakar langit yang menakjubkan.
Pemandangan yang sangat kontras, bayangkan anda sekeluarga menjelajahi sebuah hutan sebenar di sebalik ‘hutan konkrit’ Kuala Lumpur.
Malah, gerbang masuk ke taman eko ini hanya terletak bersebelahan dengan pintu masuk ke Menara Kuala Lumpur.
Di taman eko ini, anda boleh menjejaki denai-denai semula jadi yang terdapat di sini. Antaranya Denai Merbau (361 meter) dan Denai Jelutong (300 meter).
Jika bertuah, anda sekeluarga boleh melihat pelbagai spesies rama-rama dan serangga yang sesekali melintas di denai-denai tersebut.
Alamat: Lot F603A, Aras 1, District K, One Utama Shopping Centre, 47800 Petaling Jaya, Selangor
Waktu Operasi: 10:00am – 10:30pm
Tiket: Dewasa (RM10), Kanak-kanak (RM1), Warga Emas (RM1), OKU (Percuma)
#4 Sky Deck, Menara Kuala Lumpur
Alang-alang sudah berada di Taman Eko Rimba KL, apa kata anda sekeluarga melangkah pula ke Menara Kuala Lumpur.
Memegang rekod sebagai menara komunikasi ketujuh tertinggi di dunia, Menara Kuala Lumpur menawarkan pemandangan 360 darjah bandar raya Kuala Lumpur di pelantar peninjauan..
Tarikan terbaharunya, Sky Deck iaitu pengalaman berada di pelantar peninjau terbuka tertinggi di Kuala Lumpur dan Sky Box, sebuah kotak kaca yang seakan-akan ‘terapung’ di Sky Deck ini.
Untuk yang mahukan lebih cabaran, anda juga boleh mencuba Tower Walk 100, dimana anda boleh berjalan di atas platform kaca dan merasai sendiri hembusan angin di menara ini!
Anak-anak anda pastinya teruja melalui pengalaman yang mencabar dan menyeronokkan ini.
Alamat: Menara Kuala Lumpur, No 2 Jalan Punchak Off, Jalan P.Ramlee, 50250 Kuala Lumpur
Waktu Operasi: 7:00am – 10:00pm
Tiket: Sky Deck - Dewasa (RM71), Kanak-kanak (RM37)
Tower Walk - Dewasa (RM20), Kanak-kanak (RM15)
#5 Taman Burung Kuala Lumpur
Ramai yang tak tahu, sebenarnya Kuala Lumpur memiliki taman unggas terbuka terbesar di dunia! Segala jenis burung bebas berterbangan dan berjalan di Taman Botani Perdana ini.
Dengan lebih 3000 spesis burung, inilah masanya untuk anda membawa anak-anak anda mengenali, mempelajari dan berinteraksi dengan haiwan bersayap ini dengan lebih dekat.
Terdapat empat zon utama yang boleh anda sekeluarga jelajahi. Antaranya, Zon Satu yang menawarkan kawasan burung bertebangan secara terbuka.
Zon Dua, kawasan habitat burung-burung sungai. Zon Tiga, kawasan habitat burung Kenyalang dan Zon Empat, kawasan habitat burung kakak tua.
Terdapat juga pelbagai tarikan menarik lain yang ditawarkan di sini seperti Sekolah Burung, Sangkar Cinta, Bul Bul Land dan Stesen Pembelajaran.
Alamat: 920, Jalan Cenderawasih, Tasik Perdana, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu Operasi: 9:00am – 6:00pm
Tiket: Dewasa (RM35), Kanak-kanak (RM15) – Getaran, 23 Ogos 2022