Bertempat di Encore Melaka, Yong Tai Berhad dengan kerjasama Kumpulan Kebudayaan Guangxi mempersembahkan The Bountiful Harvest of BAIYUE, sebuah persembahan menakjubkan melibatkan sekumpulan ahli akrobat yang hebat.
Persembahan akrobatik sempena Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China dan Ulang Tahun ke-10 penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) itu dijangka memukau penonton menerusi gabungan persembahan artistik, elemen tradisional dan keindahan ekologi rakyat yang unik.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Yong Tai Berhad, Datuk Leong Sir Ley memberitahu visi beliau adalah untuk menaikkan status Melaka sebagai sebuah bandar raya antarabangsa, dan kerana itu beliau dan pasukannya berusaha gigih untuk meningkatkan reputasi Teater Encore Melaka di mata dunia.
“Visi saya ialah menaikkan status Melaka sebagai sebuah bandar raya antarabangsa. Saya bersama pasukan saya telah berusaha dengan gigih untuk meningkatkan reputasi dan pengiktirafan Teater Encore Melaka ke peringkat antarabangsa.”
“Sebagai hab budaya kebanggaan Melaka dan Malaysia, Teater Encore merupakan inisiatif penting untuk seni dan budaya, di samping usaha sama lain yang melibatkan fesyen, kesejahteraan dan AI yang menjadi sebahagian daripada pelan induk ‘City of Hope’ yang bakal saya perkenalkan.”
“Dengan kerjasama Kumpulan Budaya Guangxi, kami bersama-sama mempromosikan perkembangan seni pentas bagi memperkayakan persembahan tradisional dan menyokong seni rakyat bagi menghidupkan kembali warisan budaya kita,” ujar beliau.
The Bountiful Harvest of BAIYUE juga dianggap sebagai salah satu persediaan untuk meraikan Tahun Melawat Melaka yang dijadualkan pada 2024.
Dalam persembahan yang hebat ini, ahli akrobatik Guangxi tampil di atas pentas sambil menunjukkan inovasi dan kemahiran mereka. Kehebatan ahli akrobat Guangxi dapat dilihat menerusi skil mereka menggabungkan peralatan ladang yang inovatif dan prop unik yang menjadi intipati kepada seni kraf tangan.
The Bountiful Harvest of BAIYUE bertujuan untuk menambat hati penonton menerusi persembahan akrobatik yang berani, visual yang menarik dan bunyi latar yang hebat di mana penonton akan terpesona dengan kemahiran dan ketepatan pergerakan ahli akrobatik.
“Kami gembira dan berbesar hati mempersembahkan The Bountiful Harvest of BAIYUE buat pertama kali di Malaysia. Persembahan ini menampilkan seramai 60 orang artis berbakat dari Institut Seni dan Kebudayaan Guangxi.”
“Menerusi visi dan semangat yang dikongsi bersama, kami teruja untuk meneruskan kerjasama dengan Yong Tai Berhad bagi membawakan lebih banyak persembahan yang hebat pada masa akan datang.”
“Kami juga berharap agar persembahan yang gemilang ini dihayati dan diraikan bersama, seterusnya memberi kesan kepada para penonton melalui nilai warisan dan budaya yang mewah,” ujar Setiausaha Jawatankuasa Parti dan Pengerusi Kumpulan Industri Budaya Guangxi, Huang Kehong.
Menyentuh sedikit tentang Teater Encore Melaka, pentas teater yang terbesar dan termaju di rantau ini menawarkan ciri versatil dengan memiliki pentas-pentas yang berbilang fungsi. Selain persembahan kebudayaan, komitmen Encore Melaka terhadap kesenian dan kebudayaan turut memacu industri pelancongan dan menggalakkan pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat.
Tiket-tiket persembahan akan mula dijual dalam sedikit masa lagi. Untuk maklumat lanjut, ikuti Laman Facebook Encore Melaka atau layari www.encore-melaka.com. Anda juga boleh menghubungi talian tempahan tiket di +606-270 7777 atau +6012-650 7010. - Getaran, 5 Ogos 2023