KUALA LUMPUR - Dia pernah menjadi penagih tegar dengan rekod kemasukan ke penjara sebanyak 20 kali, malah pernah 10 kali bergelar penghuni di pusat pemulihan dadah.
Pengalaman pahit dilalui Rahim Jaafar, 50, menyebabkan lelaki itu sama sekali tidak pernah menyangka, kehidupannya mampu berubah menjadi lebih baik.
Terjebak dengan najis dadah seawal usia 20 tahun, Rahim berkata, segalanya bermula dengan pengaruh dan ajakan rakan, sehingga terkurung di sebalik tirai besi.
"Sepanjang terjebak dengan dadah, saya sama sekali tidak pernah menjangka mampu berubah menjadi lebih baik kerana hidup yang terumbang-ambing disebabkan kerap kali keluar masuk penjara serta pusat pemulihan.
"Apabila dibebaskan 25 Ogos tahun lalu, saya ditawarkan oleh pegawai penjara untuk program penempatan pekerjaan dan terus bersetuju dengan tawaran tersebut," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian program Second Chances & Opportunities For People to Excel (SCOPE) di Damansara, di sini.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, Pengarah Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Seri Jamil Salleh dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Rahim yang bekerja dalam sektor perkilangan di sebuah syarikat swasta di Rawang, Selangor berkata, inisiatif program berkenaan perlu diteruskan memandangkan ia membuka jalan terbaik buat bekas banduan dalam mencari pekerjaan.
“Majikan juga amat menjaga kami, malah rekod kami sebagai banduan dirahsiakan dan perkara ini membangkitkan semangat untuk bergaul serta mendekati rakan-rakan sekerja dengan selesa.
“Ini adalah kaedah terbaik kerana bekas pesalah seperti kami sukar untuk mencari kerja. Jarang ada majikan sanggup mengambil risiko apabila melihat rekod jenayah dimiliki," keluhnya.
Enggan mensia-siakan peluang diberi, Rahim berazam untuk tidak kembali terjerumus dengan najis dadah dan nekad menjadi insan berguna agar mampu memberi manfaat kepada dirinya sendiri serta keluarga.
“Sudah pelbagai pekerjaan yang saya lakukan, saya pernah menerima gaji sebesar RM25,000 sebulan namun jiwa saya tidak puas dan tidak tenang.
"Bila saya sertai program terbabit, inilah rezeki halal pertama yang saya perolehi,” luahnya sambil menitiskan air mata.
Bagi Low Weng Seng, 36, dia terharu kerana masih ada yang sudi menerima golongan sepertinya bekerja biarpun persepsi masyarakat sering memandang negatif golongan bekas banduan.
Menyifatkan tawaran itu sebagai peluang untuknya berubah, dia yang sebelum ini dihukum penjara lima tahun atas kesalahan berkaitan dadah dan judi berkata, peluang tersebut bakal dimanfaatkan sebaiknya.
“Saya berterima kasih kepada pihak penjara kerana membantu saya mendapatkan pekerjaan selepas dibebaskan.
“Saya akan bekerja bersungguh-sungguh untuk diri saya. Terima kasih kerana menerima kami bekas banduan,”katanya.
Sementara itu, bekas banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Mahmud, 30, nyata teruja apabila dipilih untuk menyertai program berkenaan dan menyifatkan ia sebagai titik permulaan bagi mengubah kehidupan selepas keluar dari penjara.
Dia yang dihukum penjara tujuh tahun atas kesalahan merogol kini mampu menyesuaikan diri bergaul dengan masyarakat selepas dua tahun ‘terperap’ dalam penjara.
“Alhamdulillah, saya gembira dan terharu dengan peluang yang diberi dan saya berazam untuk melakukan yang terbaik untuk diri dan keluarga.
“Pada masa sama, saya bersyukur kerana keluarga dari Melaka sangat memberi sokongan kepada saya untuk berubah ke arah yang lebih positif dan menjadi seorang berguna,” katanya. – Getaran, 18 November 2021.