KUALA LUMPUR - Sentiasa berpandangan positif biarpun diuji dengan penyakit buah pinggang tahap kronik, Mohammad Syahmi Azman enggan berputus asa, jauh sekali mahu menyalahkan takdir.
Pemuda berusia 27 tahun itu sebaliknya reda menerima ketentuan dan kini giat memberi motivasi kepada pesakit senasib, agar bangun dan jangan berputus asa.
Hingga kini beliau aktif berkongsi pengalaman memerangi penyakit buah pinggang.
“Dalam sekelip mata, semuanya berubah. Hanya dalam satu malam, hidup saya bertukar 180 darjah dan terpaksa bergantung kepada mesin.
“Saya disahkan oleh doktor menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir pada awal 2019 dan terkejut kerana ia terjadi secara tiba-tiba sedangkan saya tidak merokok, aktif bersenam termasuk bermain badminton, malah menjaga pemakanan dan mengamalkan minum air kosong,” katanya ketika berkongsi kisah hidup pada majlis perasmian Duta Ginjal dan Program Pendidikan Pra-Dialisis di sini baru-baru ini.
Syahmi berkata, apa yang lebih membuatkan berita itu sukar dipercayai adalah tiada ahli keluarga lain pernah menghidap penyakit itu dan dirinya menjadi individu pertama disahkan sedemikian.
“Tiga hari juga saya menangis ketika makan, solat dan tidur. Pada awalnya saya hanya berkongsi berita sedih ini dengan ayah, sebelum mengambil keputusan berterus-terang dengan emak.
“Dalam keadaan itu, sokongan dan dorongan keluarga amat mustahak bagi memberi semangat dan motivasi untuk saya bangkit semula dan maju ke hadapan,” katanya.
Menurut Syahmi, selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang pada tahap kronik, beliau pada mulanya buntu dan sukar memahami kaedah rawatan yang diberi.
“Pada mulanya, pakar mencadangkan renal biopsy, iaitu satu kedah bagi mengenal pasti punca kegagalan buah pinggang berfungsi, namun setelah mendapati buah pinggang saya hanya berfungsi pada kadar 10 peratus, pakar terus melakukan rawatan hemodialisis air.
“Rawatan hemodialisis air atau Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) disyorkan pakar kerana keadaan saya yang kronik, tetapi pada masa sama membolehkan saya menjalankan kehidupan seharian seperti orang biasa,” katanya.
Pemuda tabah itu memberitahu, dia kini memfokus kepada aktiviti berkongsi pengalaman selepas setahun menjalani rawatan, khusus membantu pesakit yang masih buntu.
“Saya aktifkan akaun TikTok tahun lalu, sebagai platform untuk berkongsi pengalaman dan rawatan kepada pejuang penyakit buah pinggang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
“Niat dan tujuan saya adalah untuk memberi kesedaran dan berkongsi dengan orang ramai mengenai penyakit buah pinggang dan rawatan sesuai, termasuk CAPD,” katanya.
@syahmiazmannn Agak-agak bermanfaat tak ? Kalau nak saham ilmu ? Jom Like, Comment & Copylink ✨ #kidneyfighter?? Educated&SpreadAwareness
♬ Steven Universe - L.Dre
Bukan sekadar berkongsi pengalaman, Syahmi turut mendidik pesakit dan menjelaskan dengan lebih terperinci kaedah rawatan CAPD yang menjadi rutin hariannya.
Katanya, penting untuk berkongsi ilmu dan pengalaman itu kerana ada segelintir keluarga pesakit menolak rawatan dialisis, sedangkan ia perlu dilakukan seumur hidup selagi belum mendapat penderma buah pinggang.
Syahmi berkata, Modul Khas oleh Yayasan Buah Pinggang dengan kerjasama pelbagai pihak berkaitan mampu memberi pendedahan yang sepatutnya kepada pesakit buah pinggang.
“Usaha seperti ini, harus diperhebatkan oleh kerajaan, malah inisiatif untuk memperbanyakkan kempen menderma organ merupakan salah satu langkah yang amat bagus.
“Penting diwujudkan Modul Khas seperti ini, untuk berkongsi ilmu dan pengalaman itu kerana ada segelintir keluarga pesakit menolak rawatan dialisis sedangkan ia adalah keperluan seumur hidup selagi belum mendapat penderma buah pinggang,” katanya. - Getaran, 28 Mac 2022